20 Januari 2010

Tergamaknya pengurusan felda ugut peneroka.

Setelah peneroka felda Kemahang 3, di Tanah Merah, Kelantan, berjaya didalam tuntutannya mencari keadilan semalam, maka munkin ramai dikalangan umum mahu mengetahui, bagaimana mulanya kejadian, apa yang di panggil " felda tipu peneroka " ini.

Setelah saya membelek kisah lama, sejak bermulanya kes ini di Mahkamah, maka inilah yang saya temui =


PENEROKA DIUGUT OLEH PENGURUSAN FELDA


PUTRAJAYA 8 Jan.2009 – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pernah didakwa mengugut untuk mengusir 354 orang peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan daripada tanah rancangan itu jika mereka mengambil tindakan yang boleh menjejaskan reputasi agensi kerajaan tersebut.

Peguam Yusfarizal Yusof berhujah, ugutan itu dibuat dalam satu pertemuan antara pengurusan tertinggi Felda dan pihak peneroka pada pukul 9.30 malam, 1 November 2002 di Pusat Kegiatan Ummah Felda Kemahang Tiga.

Beliau yang mewakili kumpulan peneroka tersebut menyatakan, perjumpaan itu turut dihadiri oleh Datuk Mustapa Mohamed yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Jeli. Turut hadir, Naib Pengerusi Felda Kemahang 3 , Aziz Zakaria.

Yusfarizal berhujah, berikutan ugutan itu, peneroka-peneroka tersebut membuat laporan polis, dua hari kemudian.

Menurut peguam, pada 13 Oktober 2001, mereka pernah membuat laporan polis lain setelah mengesyaki wujud unsur-unsur penipuan dan konspirasi terhadap sistem timbangan kelapa sawit bagi mengurangkan mutu hasil tanaman itu bermula tahun 1997 hingga 2002.

Keadaan itu disedari apabila seorang daripada plaintif menemui salinan asal `Akuan Penerimaan BTS (berat timbang sawit)' yang dikeluarkan defendan ketiga yang mengandungi cop `penjual mengakui hantaran mutu BTS di bawah KPG (kadar perahan gred) 18 peratus.'

Mengikut salinan asal surat akuan berkenaan, `penjualan BTS itu adalah di atas dasar kehendak penjual dan penjual bersetuju KPG yang dibayar.' Plaintif bagaimanapun menegaskan mereka tidak pernah bersetuju dan tiada pengetahuan mengenai persetujuan penjualan terbabit.

Menurut plaintif, mutu KPG di bawah 18 peratus bagi buah sawit yang diusahakan mereka adalah salah, tidak tepat dan bercanggah dengan mutu perahan sawit yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Selanjutnya, plaintif menegaskan defendan pertama dan kedua sama-sama (sebagai pihak menjalankan tanggungjawab menjual), berkonspirasi dengan defendan ketiga (sebagai pihak membeli) dengan melakukan penipuan mutu KPG hasil/buah sawit yang diusahakan plaintif. Plaintif mendakwa disebabkan penipuan dan/atau konspirasi itu, mutu KPG buah/hasil sawit mereka susut nilai antara dua dan tiga peratus KPG bagi setiap tan dan mengalami kerugian antara RM30 dan RM50 setiap tan yang dijual kepada defendan ketiga sepanjang tempoh penipuan itu dilakukan iaitu sejak defendan ketiga ditubuhkan pada 1995.

Plaintif juga menegaskan penipuan dan konspirasi menipu plaintif oleh defendan pertama, kedua dan ketiga dilakukan dengan sengaja dan berniat jahat untuk mendapatkan balasan kewangan yang dibahagikan mengikut persetujuan masing-masing, walaupun sedar cara yang digunakan tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan tuntutan moral.

Plaintif juga mendakwa sudah berkali-kali mendesak dan menuntut daripada defendan pertama, kedua dan ketiga untuk menunjukkan semua rekod jual beli dan membayar ganti rugi bagi setiap tan buah/hasil sawit yang dijual tetapi tidak dipenuhi.

Sehubungan itu, plaintif menuntut defendan supaya membayar segala kerugian yang ditanggung selama tempoh penipuan dilakukan. Mereka juga meminta ganti rugi teladan terhadap tindakan defendan yang mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan plaintif.

Plaintif juga menuntut kadar faedah lapan peratus setahun dikenakan bagi jumlah kerugian berkenaan dari tarikh memfailkan writ saman sehingga kes diselesaikan, lain-lain kerugian am dan khas, kos peguam, kos tindakan dan apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peneroka mendakwa, penipuan itu menyebabkan mutu KPG buah/hasil sawit susut nilai antara dua dan tiga peratus KPG bagi setiap tan menyebabkan mereka kerugian di antara RM30 dan RM50 setiap tan buah yang dijual.

Peguam itu berhujah, pihak peneroka kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi selepas mereka diugut untuk diusir dari kawasan penempatan itu berikutan penyerahan memo kepada seorang pegawai Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah menolak rayuan Felda terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang tidak membenarkan permohonan agensi itu untuk membatalkan penghakiman ingkar selepas ia diperintah membayar RM7.8 juta kepada 354 peneroka itu.

‘‘Mereka telah menunggu selama enam tahun supaya kes mereka didengar dan hingga kini seramai 54 peneroka telah meninggal dunia dan dikhuatiri hak mereka untuk menuntut keadilan akan dinafikan,” ujar Yusfarizal.





2 ulasan:

Jeepers Creepers berkata...

dedahkan saja sekiranya ada penyelewengan didalam felda.felda sepatutnya membantu peneroka bukannya menyusahkan peneroka.

LKTP1436 berkata...

Terima kasih YB Raz kerana sudi menziarahi blog saya,
Hai....YB Raz ni, Yang berhormat ke...
guna nama samaran YB.

Sebenarnya didalam kes tipu peneroka di Kemahang 3 ni....sesuatu yang unik dan munkin berlaku di sana sahaja.

Yang geramnya, apabila peneroka mengadu kepada pihak atasan, mereka bukannya nak tolong tetapi mengugut pula.....

Sial punya orang, ini suatu pengajaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menzalimi orang susah.

Semoga ini adalah kes yang pertama dan terakhir yang dialami oleh felda.

Namun jika ada lagi kes yang menyerupai kes ini di masa hadapan ...
tak tahu nak cakaplah.