29 April 2009

Expose Mistik…................Hati-Hati Dengan Penipuan

Lagi penipuan, kali ini, berkaitan perubatan tradisional seperti mana yang di ceritakan oleh.....

Sejak aku menulis entry berkaitan dengan program Expose Mistik yang terkenal di Astro baru-baru ini, aku menerima komen yang luar biasa hingga mencecah lebih 100 komen kesemuanya

kebanyakannya mencari nama dan alamat pengamal perubatan Islam yang tersiar dalam program tersebut

aku mengambil keputusan untuk meluluskan semua komen yang diberi dengan niat untuk memudahkan mereka yang bermasalah ini mencari jawapan kepada persoalan yang bersarang di benak mereka masing-masing

tidak kurang juga ada visitor blog ini yang ‘recommend’ atau mencadangkan si polan dan si polan kononnya orang tersebut pandai dalam bidang perubatan tradisional ini dan macam-macam lagi

namun aku sangat terkejut kerana mendapat tahu ada orang yang tidak bertanggung jawab telah menggunakan populariti rancangan ini untuk menipu orang ramai

oleh itu aku berharap sangat mereka yang mempunyai masalah supaya jangan menambah masalah mereka dengan percaya atau tertipu dengan kelicikan orang yang tidak bertanggung jawab ini

siasat dulu sebelum pergi berubat dengan mana-mana pengamal perubatan yang mereka percaya, dan yang penting, pihak produksi dan stesen penyiar ASTRO tidak pernah melantik mana-mana ejen atau individu untuk jadi ‘orang tengah’ di antara pesakit dan juga pengamal perubatan yang dimaksudkan

Jangan sampai ditipu dan tertipu!

28 April 2009

Hantu-hantu boleh curi duit dari internet ?.....................

Posting ni aku petik dari blog anak cucu nabi Adam, yang tak seronoknya, aku juga menggunakan atau membuat pembayaran bil melalui internet, cuma aku gunakan bank CIMB, memang memudahkan, tak payah beratur, cuma masukkan duit di bank, lepas tu, apabila kita nak bayar bil, gunakan saja perbankan internet.

Ni dah keluar berita, hantu-hantu yang pandai curi duit kita, yang peliknya kebanyakkan pakar-pakar ni dari indon, hai nampaknya orang indon lebih pakar dari kita didalam bab-bab komputer ni..................


Laman web Maybank tipu


Sebelum apa apa yang tidak diingini berlaku, eloklah kita update patch untuk antivirus, firewall dan yang sewaktu dengannya. Ini dapat menghalang kita daripada anasir yang tidak diingini. Sila lihat screenshot yang saya ambil.

Apabila saya click pada link yang disertakan, perisian saya dengan serta merta menghalang kita daripada memasukinya, sekiranya kita masin berdegil, click ajer pada "ignore warning". Bolehlah kita merasa bagaimana manisnya kehilangan wang simpanan kita.
Aku dah terima banyak emel daripada mangsa2 yang kehilangan duit yang tidak seberapa dan mungkin tidak dapat dikesan. Tapi bayangkan berapa ratus ribu dalam sehari yang terkumpul?
Kecanggihan teknologi memang menyenangkan kita namun kita perlu tahu semasa kita melayari internet untuk membuat urusan perbankan online, banyak spam2 yang sedang memerhatikan kita terutama dari Indonesia.
Fikirlah jika seseorang dengan kepandaian mencipta teknologi ada pula seseorang yang pintar memesong teknologi. Jangan terlalu malas untuk beratur jika keadaan tidak terdesak. Jangan bagi petugas-petugas kaunter makan gaji buta pula. Jadi hati-hatilah sebab kita belum kena tapi jiran kita dah pun kena.
Felda Logo

26 April 2009

Kenapa pasangan dahulu boleh kekal lama.... ?

Setelah membaca artikel berkaitan kadar perceraian yang tinggi yang dialami oleh sesetengah pasangan muda sekarang ini, terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti yang didedahkan oleh Berita Harian bertajuk .......
  • Jodoh singkat

    ISTILAH janda atau duda muda, ibu tunggal atau bapa tunggal tidak lagi membawa konotasi menjelikkan dewasa ini berbanding pada era 60an dan 70an kerana pada zaman itu perceraian ... [+]

Maka terfikir saya, kenapa pasangan dahulu, khususnya di era Datuk, Nenek, Bapa ,Emak kita dahulu, usia perkahwinan mereka, kebanyakkannya akan kekal sepanjang hayat, tetapi kini, terutama yang berjawatan tinggi, artis, serta lain-lain dan tinggal pula dibandar-bandar besar, menghadapi kesukaran untuk mempertahankan usia perkahwinan masing-masing.

Pelbagai pendapat yang diutarakan oleh para pakar mengenai issue ini, mengikut persepsi masing-masing, manakala saya, yang tidak pun pakar, juga ingin mengulas mengikut pandangan dan pengamatan saya sendiri.

Berdasarkan pemerhatian saya, antara sebab kenapa golongan muda kini, terutama yang berpelajaran tinggi, kadar percerian mereka lebih tinggi dari golongan yang berpendidikan rendah dan tinggal dikampung-kampung ialah ........

(1) Kaum wanita kini sudah ada kerjaya sendiri dan tidak mengharapkan pendapatan suami semata-mata untuk menanggung hidup mereka, oleh itu jika mereka mendapati suami mereka kurang bertanggung jawab, mereka akan mudah meminta cerai.

(2) Pergaulan yang lebih terbuka, menyebabkan banyak pasangan akan mula menilai pasangan masing-masing, sama ada masih sesuai atau tidak setelah bersama beberapa tahun, atau puluhan tahun bersama .

(3) Terpengaruh dengan corak hidup kawan-kawan yang lebih senang, sedangkan dirinya tidak memperolehi kemewahan yang sebegitu rupa.

Manakala persoalan kenapa pasangan dahulu, usia perkahwinan mereka kebanyakkannya boleh kekal lebih lama, adalah juga disebabkan oleh faktor yang berlaku disebalik dari apa yang dihuraikan diatas.

Kadang-kadang pasangan dahulu, mereka tiada pilihan, tiada pilihan itulah yang menyelamatkan perkahwinan mereka, sebagai contoh, banyak sekali yang boleh kita temui, dikampung-kampung atau dimana-mana sahaja, si suami kita perhatikan, adalah seorang yang sangat tidak bertanggung jawab, seperti suka berjudi, suka berpoya-poya atau terlalu mengikutkan perasaan dengan mendahulukan hobinya, seperti memancing, memikat ayam atau burung dan lain-lain lagi yang tidak berfaedah, sehingga mengabaikan kehidupan kekeluargaan dirumah.

Dengan perangai yang sedemikian rupa, telah menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga terumbang ambing, anak-anak tidak bersekolah atau lain-lain lagi masaalah, tetapi kita perhatikan rumahtangga mereka masih lagi utuh, masih lagi kekal, malah sampai keakhir hayat.

Kenapa begitu ? sebabnya seperti yang saya katakan diatas, si isteri tiada pilihan, mereka tiada pekerjaan, tiada pendapatan, oleh itu mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada suami yang tidak berguna tadi dan itulah antara puncanya kenapa rumah tangga mereka boleh kekal.

Walau bagaimana pun, ada juga pasangan yang memang serasi dan boleh melayari kehidupan berumah tangga dengan baik, tanpa sebarang masaalah dan pasangan begini memang wujud baik di zaman dahulu atau pun di zaman yang penuh mencabar sekarang ini.

Kesimpulannya disini, dunia moden kinilah yang telah merosakkan usia rumahtangga sekarang ini, tetapi yang baiknya pula ialah, kaum isteri kini tidak lagi terpaksa terus tinggal bersama dengan lelaki yang tidak bertanggung jawab, kerana mereka ada pendapatan sendiri dan boleh membuat keputusan sendiri.

Kepada saudara-saudari yang membaca posting ini usahlah diambil hati sangat terhadap apa yang saya tulis, kerana saya bukanlah pakar didalam apa-apa bidang pun, saya cuma jenis suka menulis terhadap apa yang saya fikirkan........................ itu saja.............jangan marah......

Felda Logo


25 April 2009

Hidup pekebun bagaikan ombak dilaut ..........................

Berita gembira buat peneroka-peneroka felda di seluruh negara, apa dia ?............. beritanya ialah mengenai Harga sawit tertinggi bagi empat bulan sejak dari awal tahun 2009.

Setelah masuk tahun baru 2009, inilah kali pertama harga melonjak kembali, kini harga nya berada di sekitar RM500.00 setan, sayangnya buah pula berkurangan akibat musim melawas, maka jadi lah 2x5, 5x2..............

Sebenarnya harga murah bermula sejak bulan Nov 2008, pada ketika itu harganya menjunam kepada RM246.00 bagi satu tan metrik, cubalah bayangkan, di ketika itu harga jatuh merudum, sedangkan baja dan racun iaitu satu keperluan asas bagi sawit, masih ditahap harga lama ................. macam mana nak beli baja dan racun.

Namun setelah beberapa bulan harga kelapa sawit harga murah, kemudian barulah harga racun dan baja turut jatuh, yang peliknya, harga racun yang naik mendadak semasa harga kelapa sawit tinggi dulu, kini apabila harga kelapa sawit jatuh, harga racun pun turut jatuh, alasan kenaikan dulu ialah kononnya bahan-bahan untuk membuat racun naik, tetapi setelah harga kelapa sawit jatuh kenapa harga racun boleh jatuh pula ( marah tu....)

Sebenarnya saya sangat percaya bahawa kenaikkan harga racun dan baja diketika harga kelapa sawit tinggi dulu adalah di sengajakan oleh pengedarnya kerana mengambil kesempatan diatas kemampuan pembeli yang bersemangat membeli baja dan racun diketika itu.

Di ketika harga sawit murah, jangankan nak beli baja dan racun, nak beli barang-barang keperluan hidup harian pun terkial-kial, kalau ada apa-apa yang telah di beli secara ansuran bulanan lagilah teruknya.

Setelah harga kelapa sawit jatuh, semangat pekebun pun turut jatuh, ada diantara pekebun yang hanya membeli garam sebagai ganti kepada baja.......................

Saya hairan juga, di mana dia orang belajar, garam boleh digantikan sebagai baja.........................
munkin ada diantara pembaca yang boleh memberikan pendapat tentang garam menggantikan baja ni............

Kini setelah harga kelapa sawit melonjak kembali, maka pengedar sekali lagi kemunkinan akan mengambil kesempatan menaikkan harga, tetapi oleh kerana pendapatan pekebun meningkat, maka kebanyakkan pekebun tidak menghiraukan lagi harganya yang mahal itu.

Sebenarnya kalaulah kerajaan boleh mengawal harga kelapa sawit agar stabil di tahap RM 500.00 setan, alangkah bagusnya, jangan naik tinggi sangat dan jangan turun teruk sangat.

Begitulah hidup sebagai pekebun, sentiasa macam ombak dilaut, ada tinggi dan ada rendah, ada pasang dan ada surut, terimalah hakikat tersebut seadanya................
Felda Logo

23 April 2009

Adap sopan di dunia blog .................................

Setelah melayari blog MAHAGURU58 yang bertajuk Majlis Ramah Mesra YB Menteri Penerangan saya merasakan ada sesuatu yang boleh di kongsikan bersama dengan para pembaca sekelian terutama yang berkaitan dengan dunia blog......... Mahaguru58 menulis bahawa =

Naluri semulajadi penulis blog berdasarkan kepada prinsip dan pegangan masing masing menjadi teras kepada usaha dan perjuangan masing masing.

Memang tidak dinafikan bahawa setiap Blogger ada kecenderungan terhadap sesebuah organisasi atau aspirasinya tersendiri.

Ada yang berjuang untuk menyampaikan berita terkini yang membabitkan perkembangan dunia politik tanahair, ada yang menggunakan blog untuk menyampaikan kefahaman tentang agama masing masing, hobi, hal ehwal masyarakat dan apa sahaja bidang yang disukainya?

Kita boleh berlainan pendapat dan pegangan tetapi tidak lah perlu kita berlaku kurang tertib diantara penulis blog dan pembaca.

Seandainya kita tidak bersetuju dengan apa yang seseorang penulis blog itu tulis, maka ada cara dan kaedahnya untuk menyampaikan perselisihan pendapat masing masing dengan cara dan adab yang boleh diterima ataupun diterbitkan dilaman blog terbabit.

Agak janggal keadaannya bila seseorang pembaca atau pelayar blog mengirim komen memaki hamun mencerca dan menghina seseorang penulis blog itu dan kemudiannya mengharapkan sipenulis blog terbabit terbitkan makian dan cacian serta fitnah tersebut diatas alasan kebebasan bersuara?

Umpama membiarkan orang masuk menceroboh ke rumah kita dan dia berak kencing di ruang tamu rumah kita kemudian mengharapkan kita biarkan dia bebas berlaku sesuka hatinya berlaku biadap dan kurang ajar sebegitu?

Kalau begitulah kehendak sang penulis komen yang tak reti bahasa, minta maaf lah!

Hanya orang yang kurang waras sahaja akan mengizinkan si durjana bermaharajalela diruang tamunya begitu!

Menziarahi blog seseorang seumpama bertandang kerumah penulis blog itu.

Ada adab dan adat resam yang perlu diamalkan.

Didalam ajaran Islam kita, diwajibkan memberi salam kepada tuan rumah. Ada penulis komen yang kurang berakhlak tidak mengamalkan penulisan salam kepada penulis laman blog Muslim yang dikunjungi mereka.

Kemudiannya tanpa mukadimah atau awal bicara, terus disergahnya tuan empunya blog itu dengan caci maki dan kata nesta sesuka ia dan kemudiannya mengomel tak sudah bila komen taraf tahinya itu tidak diterbitkan tuan rumah blog tersebut?

Bukankah perbuatan gila sebegitu?

Usah dipersalahkan peredaran zaman sebagai alasan tidak berbudi bahasa bila bertandang ke laman blog orang!

Selaku manusia yang mendabik dada sebagai orang berilmu pelajaran dan faham akan keadaan semasa didalam apa sahaja bidang yang diceburinya, seseorang pelayar blog haruslah bersikap secara orang budiman didalam menyampaikan pendapat, komen atau ulasan terhadap sesuatu artikel terbitan mana mana blogger di alam siber ini.

Cara hendak menyampaikan pendapat, komen atau ulasan tersebut mencerminkan tahap kefahaman sesuatu perkara atau peribadi si pengulas atau pelayar blog.

Seandainya bahasa yang digunakan itu molek dan boleh diterima pakai serta sesuai untuk diterbitkan serta berkaitan dengan topik penulisan, maka ada kemungkinan si tuan empunya blog itu akan mempertimbangkan penerbitan ulasan atau komen yang dihantar kerana bersabit dengan perkara yang diutarakan si blogger.

Kekadang saya akan menerima komen komen yang memang tak ada nilai atau mutu langsung serta intipati ulasan atau komen itu tidak ada kena mengena langsung dengan topik artikel yang diterbitkan!

Jangan bermimpilah untuk melihat saya melayan komen komen merapu dan penuh fitnah atau merepek meraban tersebut!

Sekiranya ada pembaca artikel ini yang pernah mengirim sebarang komen berkelas sampah kepada saya, harap maklum bahawa blogger ini akan tetap menyaring dan melupuskan komen komen yang tidak berkualiti atau sesuai untuk penerbitan dilaman ini.

Penulis komen merapu tidak akan dilayan lagi sampai bila bila melainkan mereka bertaubat nasuha dan kembali ke jalan berinteraksi sesama manusia yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Begitulah pendapat yang diberikan oleh Blogger Mahaguru58 diblognya, penulis merasakan bahawa banyak panduan dan pengajaran yang berguna yang kita perolehi dari tulisannya, terima kasih dan izinkan saya menceduknya dan siarkan kembali diblog saya ini.
Felda Logo

21 April 2009

Menteri bermalam dirumah peneroka felda


AHMAD Maslan (duduk dua dari kanan ) beramah mesra dengan tuan rumah, Mohd. Zahari Marjuki (kanan) dan ibunya, Aminah Abdullah di Felda Bukit Batu, Kulaijaya, Johor, kelmarin.


KULAIJAYA 20 April - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan mempunyai cara tersendiri untuk menyelami masalah Felda apabila turut bermalam di rumah peneroka ketika mengadakan lawatan ke tanah rancangan berkenaan.

Sebagai permulaan, beliau memilih rumah, Mohd. Zahari Marjuki untuk menginap apabila mengadakan majlis mesra bersama rakyat di Felda Bukit Batu di sini semalam.

"Sebelum ini pun program atau aktiviti menemui para peneroka telah dilakukan oleh para pegawai kita, tetapi pada masa akan datang, saya meminta mereka turut menginap di rumah peneroka.

"Pendekatan ini sekiranya dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan sayangkan masa depan Felda, tentunya ia dapat membantu menyelesaikan apa jua masalah yang berlaku," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Cheong Chin Lian; Pengurus Besar Felda Wilayah Selatan, Kasimon Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Adam Abd. Hamid.

Ahmad yang diberi tanggungjawab terhadap urusan berkenaan Felda berkata, tanah rancangan tersebut sepatutnya menjadi contoh bagi masyarakat luar bandar dan seharusnya bebas daripada sebarang masalah.

Menurutnya, sebagai sebuah kawasan penempatan yang dibangunkan secara terancang, Felda perlu diurus tadbir dengan baik seiring harapan dan matlamat penubuhan oleh pengasasnya, bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Ahmad berkata, beliau akan melawat 11 buah wilayah pentadbiran Felda di seluruh negara bagi menemui kira-kira 1.2 juta peneroka serta 40,000 kakitangan Felda.

Katanya, selain mengadakan lawatan menemui para peneroka Felda, beliau juga akan menganjurkan majlis dialog di pejabatnya bersama pertubuhan atau persatuan yang mewakili golongan tersebut.

"Ini termasuklah golongan atau kumpulan yang dilihat kurang senang dengan pihak Felda yang telah memberikan pelbagai gambaran kurang baik kepada institusi tersebut akhir-akhir ini," ujarnya.

Menurutnya, sebagai sebuah agensi yang telah berkembang ke seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti ekonomi, para peneroka perlu melihat kejayaan Felda sebagai kejayaan mereka bersama.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua kawasan Felda menghadapi masalah, ada antaranya telah berjaya menjadi contoh kepada penempatan yang lain dengan mengecapi pelbagai kejayaan.

"Sejajar dengan slogan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' sewajarnya langkah itu diberikan perhatian oleh pegawai dan kakitangan Felda," ujarnya.

Kisah Menteri bermalam di rumah peneroka ini pernah berlaku di masa Rais Yatim menjadi Menteri felda, tahunnya saya tak ingat dah, tapi lama dulu........... beliau dengan isterinya, telah memandu sendirian, dan apabila hari hampir malam, beliau telah singgah dirumah peneroka yang difikirkannya sesuai..............

Apa lagilah, terkejut pegurus felda, tak sempat buat persediaan, dan selepas makan malam bersama peneroka, beliau mengadakan dialog bersama peneroka, berbagai-bagai persoalan dan masaalah yang disuarakan oleh peneroka dimalam tersebut.

Selepas Rais Yatim, tiada lagi Menteri yang buat macam tu, sehinggalah Ahmad Maslan ini yang melakukannya.................................

Cumanya diharapkan, Ahmad Maslan semasa nak buat lawatan, janganlah dimaklumkan kepada pengurus terlebih dahulu...................barulah dapat mengetahui masaalah peneroka sebenar.........

Felda Logo

19 April 2009

Tiba-tiba semuanya berterbangan..............................

Petang tadi sekitar jam 4.00 ptg, telah berlaku satu ribut yang agak kuat, yang telah menerbangkan atap serta menumbangkan beberapa batang pokok di felda kota gelanggi 01, antara yang terlibat ialah kedai Saali Talib .
Kedai kopi Sahak yang sedang mengatur mejanya untuk beroperasi petang ini, habis tercampak kerusi mejanya, dan bumbungnya kedainya ranap.
Juga Cyber Cafe Hj.Kassim telah tercabut bumbungnya, menyebabkan beliau tidak boleh beroperasi untuk beberapa hari......
Juga warung kakyah turut terpelanting atapnya................
.Dan kereta Rahman Ghani yang diletakkan di depan kedainya di hempap pokok sena yang tumbang, nasib baik keretanya tidak rosak.............
.Tetapi Pasar malam tetap meneruskan operasinya seperti biasa selepas ribut tersebut, walaupun Setapa apam balik, terpaksa balik awal kerana payung dan alatannya musnah di tiup angin kencang.
Dan hari ini 20.04.09 kontraktor telah memgetar di kawasan Pekan Sari........................
Kerja dimulakan dari jam 10.00 pagi......................
Dan siap jam 6.00 ptg............................................

Felda Logo

16 April 2009

Posmen menyembunyikan surat di felda kota gelanggi 01 ...................


Kisah Posmen menyembunyikan surat pernah berlaku di felda Chini, beberapa tahun dahulu, saya tidak pasti tahun berapa dan Chini berapa, munkin rakan saya blogger " gaya peneroka" ada maklumat tentang perkara tersebut.

Kini kes yang sama berlaku pula di felda kota gelanggi 01, Posmen tersebut bertugas merangkumi juga di felda kota gelanggi 03, iaitu jiran kampung felda kota gelanggi 01 serta di felda kota gelanggi 02 dan 04, juga di felda sungai tekam getah.

Memanglah diakui kawasan tugasannya agak luas, tetapi saya tidak pasti pula adakah beliau seorang yang bertugas dikawasan seluas itu atau ada Posmen lain yang membantunya, tetapi surat yang perlu diagihkan setiap hari tidaklah banyak jika hari-hari biasa, cuma dihari perayaan iaitu kad hari raya dan diawal tahun iaitu penyata dividen ASN sahaja yang banyak.

Jikalau dia menghantar surat tersebut setiap hari, munkin masaalah lambakkan surat tersebut tidak akan berlaku, tetapi munkin dia membiarkan sahaja surat tersebut dengan tidak dihantar kepada penerimanya, dengan berbuat demikian, pada fikirannya dan memang pun begitu, kerjanya menjadi ringan, relax dan senang.

Akhirnya beliau ditangkap, setelah ada yang memberikan maklumat kepada polis bahawa dia menyembunyikan surat sebanyak 15 guni ? didalam bilik dirumahnya.

Patutlah beberapa bulan lepas, saya tidak menerima bil internet dan telefon menyebabkan internet saya hampir kena potong, rupanya dia menyembunyikan surat tersebut didalam biliknya, memang dia sengaja mencari susah.

Kini dia didalam penyiasatan polis dan akan dibicarakan dan jika didapati salah, munkin akan di penjarakan macam Posmen di felda Chini dulu................................

( gambar posmen yang tersiar diatas, bukan yang kena tangkap itu )
Felda Logo

14 April 2009

Setelah pencen baru dia sedar betapa deritanya rakyat ............

Posting dibawah adalah petikan dari blog Anak Cucu Nabi Adam..................munkin ada diantara
coretannya yang boleh dijadikan tauladan.




Dulu masa jadi menteri tak pernah bayar tol...tak pernah merasa – demikian akhbar memetik ahli Parlimen Padang Besar, Azmi Khalid sebagai berkata ketika diminta mengulas kenaikan tol mulai 1 Mac yang diumumkan Menteri Kerja Raya ketika itu, Mohd Zin Mohamed.

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," kata yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Demikianlah manusia, selagi dia tidak alami sendiri, dia tidak tahu, itulah sebabnya dalam dunia ini banyak orang sombong, selepas masuk enam kaki dalam tanah barulah dia tahu hakikat kehidupan; malangnya semuanya sudah terlambat. Kalau sudah masuk ke kubur tiada ruang untuk kembali kerana perjalanan ke alam kubur (barzakh) adalah 'one way ticket' (perjalanan sehala, tiada kembali kembali).

Dalam kes Azmi, baguslah; dia mula sedar. Apabila sudah sedar mulakan langkah untuk memahami derita rakyat seterus berusaha membaikinya. Gunakan masa yang berbaki untuk menyantuni rakyat terutama di kawasan pedalaman yang benar-benar menderita; hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagi orang miskin, keperluan mereka mudah saja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kalau perkara ini dapat dibantu dipenuhi oleh tokoh yang berkuasa seperti Azmi dulu alangkah baiknya; ini tidak, hanya selepas tidak lagi berkuasa baru dia mahu belajar penderitaan rakyat. Barulah tokoh-tokoh ini berkokok, bercakap mengenai penderitaan dan kesusahan rakyat.

Pemimpin berkuasa di Malaysia perlu difahamkan bahawa harga barangan makanan adalah mahal. Beras sebagai makanan asas begitu mahal. Sekampit 10 kilogram boleh mencecah sehingga RM25.00. Untuk menanak beras perlu bahan api. Harga gas setong adalah RM25.00. Kemudian perlu ada cili, asam garam dan ikan. Harga ikan cencaru dan kembong (lauk biasa rakyat miskin) sudah meningkat sehingga RM10.00 sekilogram.

Jadi bayangkan apa yang boleh dimakan oleh sebuah keluarga jika si bapa berpendapatan RM500 atau kurang sebulan! Tak percaya, pergilah ke kampung-kampung. Ada keluarga membeli beras setengah, sekilo atau dua kilo setiap hari; sayur cari sendiri di belakang rumah manakala untuk lauknya, si bapa akan beli ikan kering atau ikan yang sudah pecah-pecah perut (murah). Kalau yang lebih susah, mereka pergi ke lombong atau parit, cuba menangkap atau mengail ikan.

Dari segi pakaian saya percaya rakyat Malaysia tidak mengalami masalah sangat kerana iklim negara yang panas sepanjang tahun, tidak seperti sesetengah negara yang keadaan musim dingin yang memerlukan pakaian khas.

Namun orang miskin mempunyai mempunyai masalah dalam menyediakan pakaian dan kelengkapan anak-anak ke sekolah. Orang dewasa tidak berganti pakaian baru tidak mengapa tetapi anak-anak? Pakaian dan kelengkapan sekolah begitu mahal, perbelanjaan seorang anak saja pada awal tahun boleh mencecah sehingga RM300. Jadi bayangkan jika sebuah keluarga itu ada lima anak bersekolah, mana si bapa mahu mendapatkan RM1,500 sedangkan upahnya menorah getah dan membuat kerja kampung hanya RM500 sebulan?

Kemudian kita sentuh persoalan kediaman. Inilah antara masalah terbesar kebanyakan keluarga. Jika ketua keluarga dapat memenuhi keperluan makanan dan pakaian dan perbelanjaan rencah (seperti tambang bas, minyak motosikal dan belanja anak-anak ke sekolah) saja, bagaimana mereka mahu menyediakan bumbung untuk anak isteri masing-masing? Sebuah rumah kos rumah pun memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000-RM35,000. Jadi ramailah yang terpaksa menyewa rumah sepanjang hayat. Atau duduk dan bikin rumah di kawasan setinggan.

Isu rumah atau kediaman adalah permasalahan berat. Orang seperti Azmi Khalid, Khir Toyo (bekas MB Selangor) dan ramai lagi menteri dan orang besar-besar mana mengerti derita rakyat dalam bab ini. Sebab itu pemimpin tidak peduli untuk merobohkan rumah rakyat di Kampung Berembang, Chubadak dan sebagainya.

Seperti yang diakui Azmi, sebelum ini dia tidak merasai membayar tol, jadi mana dia tahu derita rakyat. Sudah rasa, barulah tahu. Sudah pencen daripada jawatan berkuasa barulah tahu. Sesetengah pemimpin tak tahu atau buat-buat tak faham derita rakyat sebab itulah mereka lancarkan kempen Setinggan Sifar, menghancurkan rumah rakyat.

Orang yang sudah mengalami derita barulah dia memahami derita orang lain. Orang yang tidak pernah mendiami rumah setinggan, manalah dia tahu kesusahan tinggal di situ.

Pengalaman ini bagus; tetapi ada sesetengah orang walaupun dia pernah duduk di kawasan setinggan atau kawasan kampung dan pedalaman yang serba-serbinya kekurangan, apabila dia sudah mendapat kuasa dan kekayaan, dia lupa diri, dia menjadi lebih zalim, sombong dan bongkak daripada orang yang dilahirkan di istana. Inilah pemimpin yang tidak sedar diri; dia hanya akan insaf selepas tanah masuk ke dalam mulut dan perutnya (dalam kubur)!

Kepimpinan negara sudah bertukar tangan. Satu persoalan besar yang perlu difikirkan apakah seorang yang dilahirkan di ISTANA seterusnya hidup mewah sepanjang hayat dapat memahami derita rakyat miskin apabila dia menjadi orang nombor satu nanti? Tahukah dia harga sekilo beras, kembung, cili atau sekampit gula?

Harap-harap dia dan isteri serta keluarga dapat MENGUBAH GAYA HIDUP pada kemuncak kuasa nanti!

Felda Logo

13 April 2009

Sikap orang Melayu di dalam perniagaan .......................

Sudah seminggu saya tidak mencoretkan apa-apa di blog ini, puncanya kerana tiada perkembangan baru untuk dilapurkan, tiada idea untuk ditulis, maka saya pun merayau-rayau ke pelbagai blog untuk mencari ilham........akhirnya saya terjumpa cerita menarik di blog MSO.

Ceritanya berkenaan pengalamannya semasa memasuki kopitiam kepunyaan Melayu, apa yang dimushkilkannya ialah tentang layanan dan sikap taukee kopitiam tersebut..........sila ikuti pengalamannya..................



KEWUJUDAN kopitiam kini sudah menjadi satu fenomena baru. Ia menjadi alternatif kepada kedai atau warung teh tarik mamak yang setengah kotor dan berlumut dan bergelewatan dengan tikus munduk.

Kewujudan kedai yang teratur, bersih, ceria dan lengkap dengan kemudahan wifi atau wireless ini memenuhi gaya hidup terkini. Kopitiam menjadi tempat lepak dan sembang yang popular.

Kopitiam yang bermaksud kedai kopi. Kopitiam adalah gabungan perkataan Melayu dan Hokkien, yang bermaksud kopi. Kopitiam kini bukan saja merujuk kepada kedai kopi tradisi kaum Cina yang menu khususnya roti bakar, telor, kopi dan teh tetapi sudah dipelbagaikan.

Malahan di sesetengah kopitiam, misalnya Bangi Kopitiam selain menghidangkan kopi tradisi Melayu yang ditumbuk sendiri, tersedia menu tradisi Melayu seperti sagu gula Melaka, popia serta nasi dan sebagainya. Mungkin kopitiam di Kelantan siap dengan laksam dan nasi kerabu!
Menariknya orang Melayu juga sudah menceburi bidang ini. Kesediaan orang Melayu untuk menceburi perniagaan ini sesuatu yang dibanggakan. Bahawa orang Melayu bukan saja mampu berniaga di bawah pokok tetapi beralih ke rumah gudang, kedai sempurna dan bentuk penyajian yang betul dan kemas.

Selalunya mereka yang menceburkan diri dalam bidang ini mereka yang ada pengalaman serta yang berada kerana modal untuk membuka sebuah kedai kopitiam ini memerlukan modal yang besar, sekurang-kurangnya RM500,000.

Bagaimana pun bila berbicara mengenai orang Melayu dan perniagaanya, tabiat asalnya berniaga di bawah pokok dan tepi lombong terbawa-bawa ke kopitiam. Kurang mesra pelanggan, lambat menyediakan makanan, makanan tidak berkualiti, masih ditemui di kopitiam diusahakan Melayu. Sepatutnya bila kita sudah memiliki kedai kopi moden, setanding dengan kaum lain, sifat-sifat dan tabiat begitu sudah tiada lagi.

Layanan adalah paling penting bagi sesebuah perniagaan. Walaupun pelanggan tidak memerlukan layanan berlebih, kerana kebanyakan mereka memasuki kopitiam untuk menggunakan beberapa kemudahan di situ, (membaca akhbar dan melayari internet) namun sebagai pengusaha perkara itu tidak boleh di kesampingkan. Tanggungjawab pengusaha kedai harus memenuhi kehendak pelanggan walaupun pelanggan tidak meminta.

Hujung minggu lepas ketika menjenguk anak di Shah Alam saya bersama isteri dan anak-anak memasuki sebuah kedai kopitiam di Seksyen 7, di Shah Alam. Melihat kepada lokasi dan suasana kedai berkenaan menyebabkan saya terbuka hati untuk mencubanya. Apa lagi kedai berkenaan milik Melayu.

Namanya kopitiam *** *** menggambarkan Melayu yang popular dan ramah. Nama itu biasanya seorang Melayu yang kelakar dan suka berjenaka dan jadi penghibur.

Ketika itu dalam kedai itu pelangganya tidak berapa ramai. Tidak seramai dan sesak di kopitiam milik Cina. Adalah dua tiga belas orang pelanggan saja. Satu kelompok anak muda di satu meja, sambil mengilai dan ketawa. Lagaknya macam mat rempit, tetapi mungkin saja mereka mahasiwa, pelajar UITM. Mat rempit dan mahasiswa sekarang ini pun sukar untuk dibezakan. Ada juga siswa yang jadi mat rempit.

Di sebelah meja kami pula satu lagi kelompok. Manakala di hadapan dua anak muda yang sedang termenung menunggu pesanan makanan atau minuman. Tengok ke gayanya sudah lama dia menanti pesanannya.

Saya meminta kopi, isteri teh tarik dan anak bongsu minta roti garlic dan ice blended. Pesanan itu cukup ringkas dan mudah. Kalau di White Coffee ianya akan tiba tidak sampai 15 minit. Selepas 20 minit makanan yang dipesan belum tiba. Kedai itu memang ada masalah, saya mula fikir.

Pelayan hanya dua orang, lelaki. Seorang cashier dan tiga tukang masak yang beruniform, tetapi mulut saya nampak sedang mengunyah sesuatu macam chewing gam atau gula-gula telor cicak.
Mungkin kedai itu baru. Tetapi kalau baru kenapa perlu beroperasi dalam keadaan tidak sedia? Inilah orang Melayu suka buat sesuatu sambil lewa dan tidak fokus. Walhasilnya kerja tak seberapa yang dapat akhirnya rugi dan lingkup.

Waktu Maghrib nak masuk baru kopi saya minta sampai. Roti garlic juga sampai diletakkan dalam bekas bakul, klasik dan tradisional. Kononnya dengan hiasan begitu ia menyelerakan lagi. Malangnya rupa roti berkenaan masyaAllah menakutkan. Separuh Bangla separuh Cina. Tepinya hitam, berarang kerana dibakar berlebihan. Terdapat butter yang disapu tidak serata kelihatan 'berdeneng', macam telinga menanah.

Saya komplen kepada pelayan itu, "macam mana nak makan, penuh dengan arang. Macam ni bahaya, dik jangan angkat...ini roti garlic dalam filem Musang Berjanggut yang sesuai dimakan dengan kopi P Ramlee yang dibuat dari arang!" kata saya.

Dia buat acuh tak acuh sahaja kemudian berlalu ke ruang dapur. Kelihatan dia mengadu sesuatu kepada tukang masaknya, dan tukang masak (yang membakar roti) itu hanya mengenyut bahu sahaja. Tidak ada apa-apa tindakan dari mereka samada untuk membakar roti lain atau apa.

Menurut anak saya yang sudah mencubanya, rupa roti itu memang begitu. "Minggu lepas lagi teruk, hangus dan penuh dengan arang," cerita anak saya.

Order yang selebihnya tidak juga sampai. Beberapa kali ditanya jawab pelayan seorang itu, ia sedang di buat. Kerana tidak tahan dan lambat sangat saya suruh isteri cancelkan saja. Sewaktu jenguk ke tempat buat air, baru pembuat air tergopah baru nak capai gelas, buka susu dan ambil teh. Air tidak pun dibuat lagi.

Sengaja saya tidak mahu komplen dan nak tengok macam mana cara pelayan itu melayan kami. Sewaktu membayar, saya tidak pun bantah mengenai roti garlic yang hangus dan tidak dimakan itu. Apakah ia dikira atau tidak. Bila tenguk resit ternyata roti berkenaan walaupun tidak makan dan hangus turut sama dikira.

Saya hanya mengelam kata-kata dalam diam, begitulah kedai Melayu. Mereka hanya mahu untung tetapi tidak tahu menjaga pelayan.Paling menyentuh saya ialah, orang bernama *** *** yang menjadi taukehnya ada terpacul dekat cashier sambil menghadap laptop, mungkin sedang baca blog saya kot.

Dia tidak pun peduli kepada pelanggan dan ambil hirau apa yang berlaku. Kedai dan segala-galanya diserahkan kepada pekerja sepenuhnya. Tidak menjadi keperluannya untuk memantau dan mempedulikan. Sebabnya mungkin satu saja, kerana dia sudah membayar segala gaji pekerjanya, maka dia harus menjadi taukeh tanpa perlu mempedulikan apa-apa lagi. Itulah sikap dan perangai orang Melayu suka menjadi taukeh!

Dan kopitiam berkenaan sudah pasti tidak akan saya masuki kerana sudah terkena dan serik.


Felda Logo

06 April 2009

Perlantikan Najib, menamatkan penantian selama hampir 35 tahun .


Dengan terlantiknya Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, maka sesungguhnya bagi kita orang Pahang, baik dari Parti Umno atau dari Pakatan Rakyat,
sangatlah wajar untuk bergembira, kerana setelah menunggu hampir 35 tahun, iaitu selepas Allah Yarham Tun Abdul Razak, untuk mendapat seorang Perdana Menteri yang berasal dari negeri Pahang.

Malah lebih malang lagi, kalau kita telitikan, baik didalam Umno atau dari Pakatan Rakyat, jika peluang menjadi PM selepas dari DSTNTR ini, tidak menjadi kenyataan, setakat ini kita tiada lagi tokoh muda yang ada harapan untuk menjadi Perdana Menteri dari negeri Pahang, untuk tempuh beberapa puluh tahun akan datang.

Biasanya seseorang tokoh itu akan menyerlah kepimpinannya untuk menjadi Perdana Menteri sekurang-kurangnya dari tangga ketua pemuda, ahli majlis tertinggi, naib presiden, seterusnya timbalan presiden dan akhir sekali presiden .

Kalau kita perhatikan dari Umno, exco pemuda tiada yang berkeliber, Ketua Pemuda........bukan orang Pahang, didalam AMT, tiada yang menyerlah, naib presiden tiada orang Pahang,timbalan presiden bukan orang Pahang...............

Begitu juga tiada orang yang datang dari Pahang yang berkeliber yang berada diperingkat tertinggi didalam PAS, didalam pemuda tiada yang benar-benar berkebolehan, didalam AMT atau naib presiden, kalau ada pun Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi beliau, saya rasa belum boleh sampai keperingkat boleh menjadi Presiden PAS, ............ didalam PKR juga tiada.

Maka setelah diteliti disemua peringkat dan di semua parti, jelaslah bahawa DSNTR sahajalah calun tunggal dari negeri Pahang yang mampu menjawat jawatan PM untuk alaf ini, sama ada kita suka atau tidak, itulah hakikatnya.

Keistimewaan jawatan PM bagi sesuatu negeri ialah, seseorang PM boleh menggunakan kuasanya untuk membuat sesuatu projek yang tidak boleh dilakukan, atau pada adatnya mustahil dilakukan, contohnya, Tun Dr Mahathir semasa menjadi PM telah menggunakan kuasanya membawa atau membina UUM........nun jauh kedalam hutan di Sintok, dekat sempadan Thailand, begitu juga beliau berjaya membawa industri ke Kedah.

Ketika Pak Lah jadi PM, beliau telah membuat keputusan meneruskan pembinaan Jambatan ke 2 di Pulau Pinang, meskipun diketika itu kewangan agak kurang mengizinkan.

Kalau kita toleh kembali sejarah silam, Allah Yarham Tun Abdul Razak, semasa menjadi PM telah berjaya membawa Satelit bumi yang sepatutnya di bina di Kuala Lumpur........... ke Kuantan, begitu juga beliau berjaya membina Pelabuhan Kuantan, kalau Tun Razak tidak menjadi PM masa itu, tidak munkin beliau boleh melakukannya.

Maka menjadi harapan besar penduduk Pahang, semasa DSNTR menjadi PM, semoga beliau berjaya membawa projek kereta api berkembar dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan sebuah lapangan terbang antara bangsa di Pahang.

Sesungguhnya tanpa jawatan PM di pegang oleh orang Pahang, adalah tidak munkin Projek Kereta Api yang dianggarkan bernilai lebih dari 2 billion tersebut dapat di bangunkan, tambahan pula pihak swasta tidak akan berminat dengan projek tersebut, dengan alasan kurang menguntungkan.

Projek kereta api berkembar diantara KL ke Kuantan dan lapangan terbang antarabangsa adalah penting, kerana kalau kita perhatikan negeri Pahang lambat membangun, adalah disebabkan tiada kemudahan tersebut, akibat kurangnya kemudahan pengangkutan yang selesa dan pantas, telah menyebabkan pelabur asing kurang berminat melabur di negari Pahang, dengan adanya projek tersebut, adalah diyakini Pahang akan lebih pesat membangun.

Akan tetapi jika sehingga DSNTR tamat perkhidmatannya nanti, projek tersebut tidak juga berjaya dilakukan, maka jangan harap orang Pahang dapat melihat projek tersebut lagi sampai ke entah berapa puluh tahun kehadapan.........

Malah lebih malang lagi, jikalau beliau gagal melaksanakannya, bermakna orang Pahang hanya boleh menang sorak sahajalah, kerana kalau setakat projek biasa-biasa, bukan Perdana Menteri pun boleh melakukannya.

Adalah sangat diharapkan agar DSNTR berjaya melakukannya, agar namanya terpahat sebagai seorang Perdana Menteri dari Pahang yang dikagumi dan diingati sebagaimana ayahnya Allah Yarham Tun Abdul Razak diingati dan dikenang jasanya sampai kehari ini.....................alfatihah.






Felda Logo

05 April 2009

Kejohanan motor lasak di felda kota gelanggi 01.....................

Oleh kerana tiada issue untuk di tulis, maka saya hanya menyertakan berita bergambar perihal dengan satu aktiviti yang dilakukan oleh orang muda.....................iaitu lumba motor, walau apa pun aktiviti sihat begini wajar diadakan sekali sekala, daripada di biarkan golongan muda kosong dengan tiada sebarang aktiviti, yang akhirnya boleh mendorong kearah perkara yang tidak sihat.

Beritanya =
Satu kejohanan motor lasak telah diadakan di felda kota gelanggi 01 pada 05.04.09, ianya bermula dari jam 8.00 pg-6.00 ptg, dengan penyertaan lebih dari 100 orang .........................syabas penyanjurnya iaitu persatuan Motor lasak k. gel 01, yang berjaya menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya.




Felda Logo