31 Disember 2012

Arahan Dari Pengarah Besar Felda


Faizol Ahmad, pengarah besar felda yang baru di lantik telah mengeluarkan arahan kepada pengurus-pengurus  felda diseluruh negara supaya menghalang segala aktiviti ceramah dari mana-mana parti politik agar tidak diadakan didalam kawasan felda, menggunakan kuasa yang sedia ada pada pengurus-pengurus  dibawah akta GSA, alasannya bagi mengekalkan keharmonian di dalam felda.

Arahan ini di berikan secara terbuka semasa taklimat kpd para perwakilan kpf di dewan perdana felda pada 27.12.12.

Yang menjadi persoalannya, kalau mengikut arahan yg di berikan, semua parti politik tidak boleh bergiat di dalam rancangan, hanya kakitangan felda sahaja yg boleh memberikan penerangan tetapi hakikatnya, umno boleh, malah di berikan kerjasama penuh, ini arahan apa namanya............... arahan taik kucing !

Di dlm negara demokrasi, rakyat bebas berpolitik, apabila di sebut berpolitik, mana munkin hanya di bolehkan menyokong kerajaan semata-mata, rakyat juga di bolehkan menyokong polisi parti-parti lain yang berdaftar bagi persediaan menghadapi PRU dan memilih kerajaan baru setelah parlimen di bubarkan.

Apa ni ....... umno dah betul-betul terdesak sehingga memperalatkan pengurus rancangan bagi menghalang peneroka dari mendapat maklumat selain dari BN. 

Konon kerana mahu jaga keharmonian, ini pun satu hujah yang tidak boleh dipakai, kita kena ingat, didalam felda atau di mana-mana perkampungan baik di kampung tradisional, dalam kawasan perumahan di bandar akan wujud pelbagai parti politik, apakah ada akta yang boleh menghalang rakyat dari menyertai mana-mana parti politik ?.

Kalau begitu usahlah di tulis di dalam perlembagaan negara Malaysia bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, sebut saja bahawa di Malaysia ini hanya Umno sahaja yang akan memerintah sampai kiamat.

Kesimpulannya  jika di takdirkan Allah selepas PRU ke13 nanti Pakatan Rakyat yg berkuasa, selepas itu kerajaan PR beri arahan, hanya parti yang menyokong PR saja boleh bergiat aktif di dalam rancangan, Umno atau mana-mana parti yang menyokong BN tidak boleh, apa kamu sokong ke....... itu sebab jika mahu buat peraturan mesti adil..... jika tak boleh berpolitik, semua tak boleh.......Umno tak boleh dan PR juga tak boleh..... boleh ke begitu ?


28 Disember 2012

Faizol Ahmad Sondol Demokrasi

Seperti yang saya tulis pada posting semalam 27.12.12 saya dan ramai lagi peneroka menghadiri apa yang  disangka, AGM KPF yang di panggil oleh pengurus rancangan atas arahan oleh pengarah besar felda, Faizol Ahmad, ternyata bukan AGM sebenarnya tetapi satu taklimat yang telah diambil kesempatan oleh Faizol untuk bercakap berkaitan politik.


Bagi menyejukkan hati peneroka kerana memberi arahan supaya hadir tetapi AGM tak jadi, awal-awal lagi si Faizol ni dah bagi tahu bahawa alaun RM 200.00 bagi setiap perwakilan yang hadir tetap juga akan di bayar apabila balik kerancangan masing-masing melalui pengurus felda.

Apa yang pelik apabila beliau secara terang mengarahkan pengurus felda supaya bertindak menghalang sebarang ceramah politik yang baginya boleh memecah belahkan masyarakat rancangan tetapi yang tidak boleh berceramah itu adalah penceramah pembangkang manakala kalau BN tak apa.

Kalau dah ceramah politik tidak boleh, sepatutnya semua orang politik tak boleh masuklah, umno tak boleh PR juga tak boleh, baru betul, kalau PR tak boleh tetapi UMNO/BN boleh, ini peraturan apa ?

Beliau juga menyebut bahawa kami para perwakilan di kehendaki hadir ke Dewan Perdana Felda sekali lagi, munkin dua minggu dari sekarang, kerana ada usaha dari pihaknya yang merayu melalui Mahkamah Rayuan bagi membatalkan arahan Mahkamah Tinggi berkaitan  AGM yang di batalkan ini.

Maknanya Isa Samad masih sedang berusaha untuk merampas kerusi pengerusi koperasi permodalan felda  ini, maklumlah kpf mempunyai simpanan tunai yang banyak, inilah yang membuatkan ada orang yang tidak senang duduk selagi tidak memperolehinya.

Saya juga sempat menghadiri himpunan oren selamatkan felda hari ini.......( sila klik di bawah)

( 1,000 orang berhimpun desak Isa letak jawatan )
Kira-kira 1,000 orang - rata-ratanya memakai baju berwarna oren - berarak daripada masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas solat Jumaat, menuju ke Wisma Felda Jalan Semarak hari ini untuk mengadakan perhimpunan dan serah memorandum kepada Felda.





26 Disember 2012

Arahan Mahkamah Cuba Di Persetankan

Pada hari semalam, telah heboh di internet memberitahu bahawa Hakim Mahkamah Tinggi KL, Abang Iskandar Abang Hashim, membenarkan KPF untuk mencabar keshahihan keputusan Panel Rujukan Pertikaian SKM pada 26 Nov lalu yang membatalkan Mesyuarat Agung Tahunan KPF ke 31, 20 Jun lalu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan KPF untuk menggantung arahan SKM yg mengarahkan KPF mengadakan semula AGM pada 27 Dis ini.


Tetapi itu semalam, namun hari ini lebih kurang jam 10.00 pg, saya menerima panggilan telefon dari seorang perwakilan KPF dari Keluang Johor, bekas pegawai felda dan pernah bertugas di gelanggi 1 satu masa dulu ia itu En Jaya, bertanyakan kepada saya, adakah terima berita baru yg kononnya mengatakan AGM tersebut di teruskan, saya kata saya tidak mendapat maklumat.
 
Pada petang ini lebih kerang jam 4.00 ptg saya ke pejabat felda kota gelanggi 1 untuk mendapatkan maklumat terkini dan di beritahu dengan di sertakan salinan e-mail dari ibu pejabat felda di KL yang berbunyi .........

E- mail terdahulu adalah di rujuk.

Adalah di sahkan MESYUARAT AGUNG KPF DIADAKAN SEPERTIMANA YANG TELAH DI TETAPKAN, walaupun ada E-mail dari KPF/SKM. Semua Pengurus sila ambil perhatian dan pasti semua perwakilan hadir ke mesyuarat tersebut.

Sekian harap maklum.

SAPIE EMBONG
Penolong Pengurus Besar (k)

Saya yang menerima salinan tersebut dan membacanya dengan teliti dan fahamlah saya duduk perkara, maksudnya, esok geng Isa Samad yang memperalatkan semua Pengurus Felda supaya menghimpunkan semua perwakilan KPF yang walaupun dari segi undang-undang tidak dibolehkan, kerana sudah ada arahan Mahkamah yang menangguhkan AGM tersebut esok, TETAPI demi matlamat peribadinya, dia sanggup melanggar arahan Mahkamah, untuk cuba juga meneruskan AGM tersebut............. itulah realitinya.

Oleh itu esok, kepada perwakilan yang faham duduk perkara yang sebenar mesti membantah perancangan ISA SAMAD ini, selain melanggar arahan Mahkamah, ISA SAMAD jugs jelas cuba menghuruharakan KPF atau lebih tepat menghancurkan KPF demi matlamat peribadinya.





24 Disember 2012

Mahkamah benar pemohonan batal AGM KPF 27 Dis






Ulasan -


Alhamdulillah, berjaya juga perjuangan " ANAK " membebaskan KPF dari cengkaman ISA SAMAD (walau pun jika ini utk sementara sekali pun) walau di kutuk, ditahan,di pukul oleh para penentang jelajah oren yg juga peneroka felda dan generasi kedua, ironinya perjuangan " ANAK " adalah utk semua.

Yg paling tdk adil didlm apa2 juga perjuangan ialah, kebiasaannya mereka yg tdk terlibat akhirnya mendapat manfaat yg paling besar, sebagai contoh di dlm pegangan KPF ini, para staf, meliputi pengurus felda dan lain2 baik di ibu pejabat felda atau di dlm rancangan felda lah yg mempunyai pegangan paling besar krn mereka boleh membuat pinjaman melalui Maybank sehingga beratus ribu ringgit ( bagi yg layak ) tetapi peneroka tdk boleh, ini dari pengalaman saya sendiri yg cuba mendapatkan pinjaman melalui Maybank di ibu pejabat felda KL di beritahu, pinjaman tersebut hanya utk staff felda sahaja, peneroka tdk terlibat, saya tanya, apa peneroka tak de duit nak bayar ke...... dia kata itu adalah arahan.

Begitulah lumrah alam !, yg bersusah payah berjuang sebenarnya tdk dpt apa2 atau dpt sikit je manakala yg senyap dan buat2 bodoh je tulah yg dpt manfaat besar..........hai...dunia2.

Lagi sebagai contoh, semasa menuntut kemerdekaan dulu pun begitu juga, yg masuk penjara keluar penjara adalah Ahmad Boestamam, Pak Sako dll tetapi yg akhirnya menjadi perdana menteri adalah Tunku Abdul Rahman yg sedap2 sebelum itu jadi DO........

Maka di sini saya mengambil kesempatan menyeru kpd yg terlibat, menentang perjuangan Mazlan Aliman dan lain2 ajk ANAK, insaflah, andalah sebenarnya yg lebih beruntung dari para penyokong jelajah oren contohnya, yg berpanas, berembun, dan menghadapi pelbagai rintangan lagi itu.

Munkin ada yg berhujjah kononya keputusan Mahkamah yg mengekalkan mesyuarat agung yg terdahulu itu merugikan kpf sendiri di masa depan krn akan timbul konfrantasi di antara geng Isa Samad dng pengerusi kpf skrg iaitu Datuk Zul, memang betul, namun jika geng Isa samad berjaya menggulingkan geng Datuk Zul juga mempunyai masaalah krn kita tahu Isa Samad adalah jerung yg sdg kelaparan.......

Kesimpulannya saya berpendapat KPF skrg ibarat mcm ikan termasuk dlm lukah, nak keluar tak boleh nak kedepan pun tak boleh, semuanya gara2 nafsu serakah manusia yg tamak yg tiada penghujungnya.

Utk selebihnya bolehlah sdr2 memberi komen masing2, saya mengeluarkan pendapat ini hanyalah sebagai seorg peneroka felda, pegangan saya didlm kpf pun sekadar puluhan ribu sahaja bukan ratusan ribu pun.......... sekian terima kasih.

10 September 2012

Cuma Petikan Dari Akhbar Harakah


FGVHB: Bukti peneroka dikhianati makin terserlah


Maka pada tarikh puaka 28 Jun 2012 tercatatlah di dalam sejarah Malaysia satu lagi pengkhianatan besar oleh pemimpin Melayu ke atas umat Melayu. Kali ini dalam bentuk penggadaian tanah perladangan yang telah diusahakan peneroka Felda berabad-abad lamanya bersama-sama dengan rangkaian perniagaan yang dibina di atas biaya wang peneroka kepada kapitalis rakus yang tidak pernah mencurah barang setitik keringat pun dalam membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang luas terbentang.
 Dalam tempoh 55 tahun, sudah terlalu banyak hak umat Melayu dikhianati. Dibawakan satu contoh di sini sebagai ilustrasi.
 Dalam awal tahun 1980an, pemimpin Melayu melalui Bank Bumiputra Malaysia Berhad (yang ditubuhkan kononnya untuk menyediakan pembiayaan kepada orang Melayu menerokai dunia perdagangan dan perindustrian) telah mengkhianati orang Melayu dengan memberi pinjaman berbilion-bilion ringgit  kepada seorang kapitalais penipu bernama George Tan, mengenepikan puluhan ribu umat Melayu yang pada ketika itu, amat dahagakan pembiayaan. Akhirnya, Bank Bumiputra Berhad kerugian RM3 bilion. Walau pun telah diselamatkan beberapa kali melalui suntikan wang Petronas (berbilion ringgit jumlahnya), BBMB akhirnya runtuh dan kini hanya tinggal batu nisan. Natijahnya, umat Melayu, setelah 55 tahun merdeka, kekal menjadi kaum termundur dalam dunia perdagangan dan perindustrian.
Dibandingkan dengan skandal BBMB, skandal penggadaian tanah Felda ini adalah satu pengkhianatan berganda-ganda besarnya. Harta paling strategik milik umat Melayu, iaitu, tanah tempat mereka dan keluarga bergantung hidup dan bertelapak, telah digadaikan kepada kapitalis yang sudah sedia kaya. Bukan tidak ada peneroka yang menentang pengkhianatan ini tetapi penentangan menjadi tidak bermaya apabila umat Felda disuakan dengan habuan kebendaan yang tidak seberapa nilainnya. Mereka telah termakan umpan keuntungan segera. Tidak cukup, mereka dibuai pula dengan lagu “putar alam” mainan media perdana yang menjadi alat pemimpin Melayu yang khianat.  Malang sekali umat Melayu yang memiliki pemimpin yang khianat.
Setelah kertas bernama saham (yang menjadi sijil milik ke atas aset yang dipindahmilik secara tidak sah kepada syarikat bernama Felda Global Ventures Holding Berhad)  bertukar tangan pada hari puaka itu, maka peneroka Felda hanya memilik 2.5% dari jumlah saham yang diapongkan dan 97.5% lagi berpindah ke tangan kapitalis yang mengejar keuntungan.
Jelas, peneroka telah termakan janji palsu bahawa “kepentingan mereka di dalam Felda tetap akan terpelihara dan tidak hilang barang seinci pun” walhal, akibat penyenarainan, pemilik majoriti kepentingan Felda sekarang ialah pelabur bukan peneroka. Apakah mereka mahu menafikan kenyataan bahawa mereka kini hanya memiliki 2.5% saham di dalam FGVHB dan 97.5% lagi sudah dikuasai dan dikawal oleh pelabur bukan peneroka? Sedarkah mereka bahawa daripada RM400 juta dividen awal yang bakal diagihkan, mereka hanya menerima RM10 juta sedangkan RM390 juta akan dinikmati pelabur bukan peneroka? Apakah mereka masih tidak mahu percaya bahawa akibat pengapongan saham FGVHB, pengurusan harta mereka termasuklah tanah milik peribadi mereka (seluas 10-14 ekar seorang) dan urusan jual-beli hasil, sudah dimonopoli dan diurus oleh FGVHB yang bukan lagi milik peneroka?
Satu perkara yang wajar didedahkan ialah, saham FGVHB pada awalnya dijangka diapongkan pada harga terbitan awam awal RM5.85 se saham. Tetapi, prestasi FGVHB yang menurun dan pasaran saham dunia yang lemah memaksa harga terbitan diturunkan kepada RM4.55 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.45 se saham.
Penyenaraian FGVHB yang dibuat dalam masa pasaran saham yang lemah ini telah membawa kerugian besar kepada Felda. Berdasarkan jumlah saham yang diapongkan, iaitu, 2.19 bilion unit, pada harga RM4.55 se unit, penyenaraian menjana RM9.93 bilion. Tetapi, pada harga RM5.85 seunit, dana yang dijana berjumlah RM11.8 bilion. Penyenaraian yang tergegsa-gesa yang gagal mengambilkira keadaan pasaran saham yang lemah telah membawa kerugian sebanyak kira-kira RM2 bilion kepada Felda dan FGVHB. Ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak professional dan mengkhianat Felda dan peneroka.  Sepatutnya penyenaraian dibuat dalam keadaan pasaran yang membawa keuntungan maksimum kepada Felda.
Saham FGVHB diapongkan pada 28 Jun 2012 pada harga terbitan awam awal RM4.55 se saham (harga pembeli institusi) dan RM4.45 sesaham (harga pembeli runcit). Pada hari pertama pengapongan harga ditutup pada RM5.30 sesaham, kenaikan sebanyak RM0.75 atau 16.5%. Kenaikan ini sederhana berbanding dengan jangkaan bahawa harga saham FGVHB akan melonjak tinggi sehingga ke RM6.00-7.00 seunit menghasilkan keuntungan durian runtuh kepada pemegang saham.  Ini tidak terjadi sehingga kini, setelah hampir dua setengah bulan saham diapongkan.
Harga tutup tertinggi pernah dicapai ialah RM5.50 se saham (pada 4 Julai dan 11 Julai). Harga tutup semalam (Rabu, 5 september 2012) ialah RM4.85 se saham, iaitu, premium sebanyak RM0.30 atau 6.6% di atas harga terbitan awam awal.   Kenaikan harga yang sederhana ini memeranjatkan ramai penganalisis pasaran kerana lonjakan besar yang dijangka dan diuwar-uwarkan oleh pengerusi Felda tidak terjadi.
Di dalam prospektus penyenaraian FGVHB, tidak didedahkan unjuran keutungan untuk tahun 2012. Yang ada ialah maklumat kewangan interim (laporan kewangan tidak terodit) yang mendedahkan bahawa untuk tiga bulan pertama berakhir pada 31 Mac 2012, FGVHB untung sebanyak RM223.212 juta berbanding RM350.158 juta untuk tempoh yang sama (3 bulan) dalam tahun 2011, kemerosotan sebanyak RM126.944 atau 36.2%.
Laporan kewangan terkini (disiarkan oleh media pada 28 Ogos 2012) menunjukkan bahawa keuntungan FGVHB pada setengah tahun 2012 (6 bulan pertama berakhir 30 Jun 2012) berjumlah RM380.5 juta, lebih rendah daripada unjuran kebanyakan pengalisis pasaran. Jumlah keuntungan ini hanyalah 39% dari untung yang diunjurkan bagi tahun 2012 (sekitar RM1.2 bilion). Dibandingkan dengan keuntungan 6 bulan pertama 2011 (RM638.4 juta), keuntungan dalam 6 bulan pertama 2012 merosot sebanyak 34%, berpunca  dari pengeluaran buah sawit (buah tandan segar) yang merosot, kenaikan kos operasi  dan sumbangan sektor gula yang megecil.
Walaupun keuntungan kurang memuaskan, pada 28 Ogos 2012, FGVHB telah mengishtiharkan dividen awal (interim) sebanyak 5.5% se saham yang bakal dibayar pada atau sebelum 28 November 2012. Ini adalah tindakan untuk menyokong pasaran tetapi kesannya kepada harga saham nampaknya tidak memberangkan.
Pembayaran dividen ini tidak membawa apa-apa makna kepada nasib 112,000 peneroka kerana mereka hanya memegang 800 unit saham FGVHB se orang. Sebahagian besar dividen akan dinikmati oleh pemegang saham utama (cornerstone investors) yang terdiri daripada Lembaga Tabugn Haji, Kumpulan Wang Persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pengurus dana antarabangsa seperti BlackRock Fund Advisors, FIL Investment Mangement (Singapore) Ltd., Goldman Sachs Asset Management Brazil Ltda., The Vanguard Group, Inc., ThreadNeedle Asset Mangement Limited dan Legal and General Investment Management Ltd. 

Kumpulan pemegang saham yang digelar “cornerstone investors” setakat ini menguasai 21.35% saham FGVHB dan merekalah yang akan mengaut sebahagian besar dividen. Golongan yang tidak pernah berjerih payah membangunkan hutan belentara menjadi perladangan terbesar di dunia kini mengaut nikmat terbesar sedangkan peneroka yang mengorbankan keringat, airmata dan darah - kerana mereka tidak mampu membeli sekeping kertas yang bernama saham - hanya menggigit jari.
Berikutan penyenaraian FGVHB, peneroka Felda diperuntukkan 800 unit saham setiap seorang. Namun, setelah lebih dairpada 2 bulan berlalu, didapati masih ramai yang belum membayar harga saham berkenaan (kira-kira RM3,800) kerana tidak mampu. Juga, ramai peneroka yang beranggapan saham itu adalah percuma. Ini bermakna, tanpa memiliki sekeping kertas bernama saham, peneroka tidak ada hak ke atas dividen 5.5% yang bakal dibayar.
Menyedari hal ini,  Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Felda akan membiayai pembelian saham oleh peneroka dengan bayaran balik yang mudah sebanyak RM50 sebulan. Langkah baru ini mengesahkan bahawa penyenaraikan FGVHB tidak membawa apa-apa keuntungan kepada peneroka.  Yang untung besar hanyalah kroni dan kaum pemodal tempatan dan antarabangsa yang sudah sedia kaya.  Pemberian pembiayaan ini tidak lain hanyalah umpan untuk memancing undi peneroka. Manakah dia saham percuma yang pernah dijanjikan?
Selain dari itu, peneroka kononnya bakal diberi “bonus” RM400 seorang. Ini satu penipuan kerana yang bakal diberi kepada peneroka itu bukan “wang percuma” tetapi itu adalah dividen daripada saham yang mereka pegang (5.5% daripada 800 unit saham). Bukan semua peneroka akan mendapat dividen ini kerana ramai yang tidak membeli saham.
Ada penganalis berpandangan bahawa prestasi keuntugan FGVHB bagi setengah tahun terakhir 2012 akan bertambah baik kerana pengeluaran buah meningkat. Namun, majoriti penganalis mengunjurkan bahawa keuntungan bagi tahun kewangan 2012 akan lebih rendah dari unjuran awal memandangkan lebih dari 50% pokok sawit yang ada sudah tua dan perlu ditanam semula. Kos penanaman semula bakal berjumlah RM2.6 bilion. Kenaikan kos operasi bersama penurunan hasil buah memberi kesan negatif kepada prestasi syairkat menyebabkan harga saham akan tertekan.  Jumlah saham yang besar dan keadaan pasar saham yang tidak menentu juga boleh membawa kesan menurun kepada harga saham. Persaingan sengit daripada pengeluar minyak sawit utama dunia, Indonesia, juga akan memberi kesan negatif kepada harga sawit and akhirnya menekan harga saham FGVHB.

16 Jun 2012

Menjelang Penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.


Maka pada jam 9.00 pagi 28.06.12 nanti ( tinggal 12 hari sahaja lagi ) tersenarailah saham FGVH di bursa saham Malaysia, Mulai dari hari tersebut, Para peneroka, Baik yang mengerti pasaran saham atau yang tidak faham langsung akan menunggu untuk menjual saham mereka melalui wakil yang di lantik di rancangan masing-masing, Soal sama ada akan beroleh keuntungan atau tidak, Ianya bergantung kepada keadaan.

Mulai dari tarikh tersebut, Segala harta Felda dan harta Koperasi Permodalan Felda sudah diserahkan kepada Konglomerat terbesar ini bagi tujuan penyenaraian tersebut, Persoalannya apakah keuntungan yang akan di perolehi oleh peneroka felda selain wang RM15,000.00 yang digembar gemburkan sebagai Durian runtuh itu ?  Saham yang sebanyak 800 unit itu bukan percuma tetapi terpaksa dibeli.


Bagi saya yang juga seorang peneroka felda, Kejayaan sebenar penyenaraian FGVH ini nanti ialah apabila selepas ini harga kelapa sawit berjaya bertahan di atas RM500.00 bagi satu tan metrik dan tidak turun dari aras tersebut.

Alasan saya kenapa saya meletakkan tanda aras kejayaan FGVH berdasarkan kejayaan mengekalkan harga kelapa sawit ? Antara sebabnya, Sebagaimana kita semua sedia maklum, Kehidupan peneroka felda banyak bergantung kepada paras harga kelapa sawit, Jika harga kelapa sawit jatuh maka secara otomatik kehidupan peneroka juga akan jatuh sehingga boleh berada dibawah paras kemiskinan.

Lagi pun selama ini Datuk Sri Najib sering mengwar-warkan bahawa dengan berjayanya FGVH nanti ke Bursa Saham, Kehidupan peneroka felda akan lebih terbela, Bagi saya terbela yang sebenar ialah berkaitan pengekalan harga terbaik Kelapa Sawit, Jikalau setakat nak beri RM 1,300.00  ke  RM 2,000.00 setahun   atau bersamaan RM108.00 ke RM166.00 sebulan dari hasil dividen saham FGVH yang ditabungkan kepada peneroka felda sebanyak 20% itu tiada maknanya,  memang betul ada yang berkata, walau sedikit lebih baik dari tiada langsung, betul ! tetapi saya percaya bukan itu matlamat Datuk Sri Najib.

Oleh itu adalah diharapkan selepas penyenaraian FGVH nanti, mereka-mereka yang diamanahkan akan bekerja bersungguh-sungguh mencari jalan meluaskan pasaran Kelapa Sawit dan mematahkan sebarang percubaan untuk memanipulasi harga serta membuat penyelidikan R&D di dalam memperbanyakkan lagi kegunaan Minyak Kelapa Sawit.

Andaikata  ini berjaya dilakukan, saya percaya Datuk Sri Najib memang berjaya meneruskan legasi Bapanya Allah Yarham Tun Abd Razak di dalam pembentukan kejayaan Felda menaikan taraf hidup para peneroka.

Tetapi jika apa yang menjadi harapan semua peneroka Felda ini menjadi sebaliknya, Jelas dan benar seperti mana yang dinujumkan oleh banyak pihak, Bahawa penyenaraian FGVH ini  hanyalah bagi mereka-mereka yang berkepentinagn termasuk Datuk Sri Najib sendiri menjadikan peneroka Felda sebagai BATU LONCATAN  untuk mereka mengaut kekayaan melalui penyenaraain FGVH ke Bursa Saham Malaysia.

Saya sangat berharap semoga ramalan pak-pak Nujum ini tidak menjadi kenyataan.........itulah harapan saya sebagai seorang peneroka felda.

















11 Mei 2012

Perlanggaran Maut Di Kota Gelanggi 01

Pagi ini lebih kurang jam 9.30 pagi, berlaku satu perlanggaran yang mengerikan diantara Lori membawa batu dengan Jeep Felda Kota Gelanggi 4 di satu selekoh dekat kilang sawit Kota Gelanggi 01 yang penduduk Gelanggi 01 menamakannya sebagai selekoh Betik.

Akibat dari perlanggaran tersebut menyebabkan driver Jeep meninggal dunia kerana tersepit didalam Jeep





Bertudung merah adalah isteri simati (Fauziah), seorang kerani di pejabat felda gelanggi 02, seorang anak peneroka Gelanggi 03.


Dan berita paling terbaru  :   
Selepas perlangaran yang di beritakan diatas maka berlakulah tumpahan minyak diatas jalan raya, oleh kerana kesibukan, pihak bomba tidak berpeluang membersihkan tumpahan tersebut.
Pada jam 4.00 ptg berlaku pula kemalangan yang melibatkan kereta proton milik seorang guru dari  Lepar, akibat kemalangan tersebut kereta tersebut berpusing-pusing dan terbabas kedalam longkang, nasib baik tiada kereta di belakang atau dihadapan jikalau tidak, apa yang akan terjadi hanyalah Allah yang tahu.....

Sebenarnya saya sendiri mempunyai pengalaman buruk di selekoh maut ini, kira-kira 10 tahun yang lalu, isteri saya yang memandu keseorangan dari bandar Jerantut ketika melalui selekoh ini telah terbabas ketepi jalan yang ketika itu baru lepas hujan, keretanya berpusing-pusing beberapa kali diatas jalan raya, nasib baik tiada kereta dari hadapan atau belakang jika tidak apa nak jadi pun tidak tahulah, lebih bernasib baik kereta tersebut mengundur secara perlahan dengan cara tayarnya terus berpusing laju kehadapan lalu terus turun kedalam paya sehingga tercabut sepokok anak sawit, namun begitu tidak melibatkan sedikit kerosakan pun, cumanya saya terpaksa membayar upah kereta tunda untuk menarik kereta tersebut dari dalam paya ke atas jalan raya serta upah basuh kereta .

Perhatikan kesan hitam tayar kereta yg bergerak perlahan secara menggundur sehingga masuk kedlm paya.

Kereta masih didlm keadaan baik meskipun melanggar pokok sawit sehingga terbalik.



04 Mei 2012

Polisi Felda Berubah Demi Politik

Hari ini saya bersama dua orang rakan dari felda Kota Gelanggi 01 pergi ke ibu pejabat felda diatas dua urusan, urusan pertama ialah berkaitan penarikan balik sijil saham, Skim Pinjaman KPF Peneroka dan perkara kedua berkaitan Penyata Hutang Peneroka.

Berkenaan perkara pertama, iaitu Skim Pinjaman KPF Peneroka, skim ini adalah satu kemudahan pinjaman yang mana peneroka tidak perlu membayar balik pinjaman dimana felda mendahulukan pembelian saham kpf sebanyak RM10,000 dan dari dividen yang diperolehi dari pelaburan RM10,000 itu terus diberikan kepada peneroka didalam bentuk saham kpf.

Untuk memperolehi kemudahan ini peneroka dikehendaki membayar duti stem sebanyak RM50.00 dan menandatangani satu surat perjanjian dimana peneroka bersetuju untuk tidak menjual saham tersebut selagi tidak mancapai tarikh matang.

Didalam kes yang saya hadapi ini, setelah tahun pertama saya telah menerima dividen sebanyak RM1,000 dan masuk ditahun kedua tiba-tiba ianya ditarik balik iaitu pelaburan pokok dan dividen, Saya dan rakan-rakan yang terlibat ada memprotes namun jawapan yang diberikan ialah kerana saya dan rakan-rakan telah engkar dari perjanjian kononya saya telah menarik diri dari menyertai felda.

Takrifan menarik diri dari menyertai felda ditafsirkan kerana saya dan rakan-rakan telah mengambil alih semula pengurusan kebun dari diuruskan oleh felda technoplant dan menguruskannya sendiri kebun pada 1hb jan.2008 yang lalu.

Saya dan rakan-rakan pada mulanya akur dengan tindakan tersebut dan hanya mendiamkan diri, namun setelah masa berlalu saya dapati peneroka yang mengambialih kebun mereka kemudian daripada saya tidak pula ditarik kemudahan pinjaman tersebut. Setelah disiasat, rupanya dimasa-masa mutakakhir ini felda sudah menukar polisi mereka, kalau dahulunya peneroka yang mengambil alih kebun mereka dianggap musuh, kini mereka dianggap sahabat pula.

Semuanya adalah kerana muslihat politik, ini berlaku kerana peneroka yang mengambialih kini semakin ramai dan tidak terhad kepada penyokong pembangkang sahaja sebaliknya termasuk dari kalangan penyokong kerajaan sendiri, semuanya gara-gara felda technoplant gagal menjaga kebun peneroka secara sempurna.

Oleh itu jika felda meneruskan polisi lama dengan menganggap peneroka yang mengurus sendiri kebun mereka sebagai musuh, maka kerajaan BN bimbang akan kehilangan sokongan dan oleh itu polisi pun diubah.

Sesampai saya ke ibu pejabat felda, saya dan dua orang rakan tadi terus berjumpa pegawai yang berkaitan, saya juga membawa bersama senarai nama 41 orang lagi peneroka yang mengalami nasib yang sama seperti saya, setelah menceritakan masaalah saya dan berhujah sedikit sebanyak dengannya seperti mana saya jelaskan diatas, beliau akhirnya akur dan berjanji akan meperbetulkan semula keadaan.

Berkaitan masaalah kedua iaitu Penyata Hutang Peneroka, juga berlaku kekeliruan dimana satu jumlah yang sepatutnya ditolak dari hutang saya sebaliknya dicampur pula menjadikan hutang saya yang sepatutnya sedikit menjadi banyak dan alhamdulillah setelah diterangkan pegawai berkaitan berjanji akan memperbetulkan semula segala kekeliruan tersebut.




19 April 2012

Perwakilan KPF Beri Cek Kosong Kepada Isa Samad

Setelah begitu lama saya tidak menulis, maka hari ini saya ingin mencoretkan beberapa perkara, sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF dimana  saya adalah salah seorang dari 1,227 orang perwakilan yang membuat keputusan berkaitan penjualan pegangan KPF sebanyak 51%  didalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik felda holding kepada FGVH yang diadakan di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur.








Setelah Ahli Lembaga Pengarah yang di ketuai oleh Pengerusi KPF iaitu Y.Bhg Dato` Dzulkifli Abd.Wahab memberikan taklimat kepada para perwakilan berkaitan penjualan dan kesannya kepada organisasi kpf di masa hadapan, serta para perwakilan di berikan kesempatan membahaskan usul penjualan tersebut,  maka para perwakilan pun di benarkan membuat keputusan dengan membuat pengundian secara sulit melalui kertas undi.

Semasa taklimat tersebut, ALP Koperasi telah meperingatkan para perwakilan bahawa walau pun ALP bersetuju berkaitan penjualan tersebut namun ada beberapa perkara lagi yang di tuntut oleh ALP Koperasi demi kepentingan para peneroka masih tidak mendapat jawapan dari pihak FGVH.

Oleh itu secara tersirat ALP KPF seolah-olah meminta para perwakilan supaya jangan mengundi  menyokong penjualan tersebut sebaliknya membuat keputusan bijak demi masa depan peneroka sendiri.

Namun saya perhatikan kebanyakan perwakilan sudah tidak mengambil kira lagi apa juga kesan dari penjualan tersebut, bagi mereka keputusan sudah di buat dan nekad supaya kpf melupuskan kepentingan di dalam felda holding, oleh kerana itulah apabila pengundian dilakukan di dapati hanya 120 undi sahaja yang menentang manakala 1102 undi lagi menyokong.

Tahniah Isa Samad, kau telah berjaya membuat peneroka menjadi seperti kerbau di cucuk hidung, kini kau boleh tarik peneroka kemana sahaja engkau mahu., jangan risau mereka tidak melawan punya.........

Dengan keadaan ini yang berlaku, saya menafsirkan bahawa para perwakilan telah memberikan cek kosong yang telah siap ditanda tangani oleh para perwakilan supaya Isa Samad menuliskan jumlahnya mengikut rasa hati beliau sendiri, sekurang-kurangnya itulah yang boleh saya difahami.

Apa tidaknya, dari keadaan rundingan berkaitan penjualan tersebut masih belum jelas, para perwakilan sudah bersetuju dengan majoriti besar mengundi menyokong.

Kenapa ini terjadi ?

Antara sebabnya dari pandangan saya ialah kerana para perwakilan rasa terlalu teruja untuk mendapatkan durian runtuh seperti mana yang diwar-warkan oleh Isa Samad, persoalannya sebanyak
manalah bayarannya..........bagaimana jika jumlahnya tidak sebesar mana ?

Faktor kedua saya rasa ialah, kerana rasa percaya kononnya " tak kanlah Datuk Sri Najib mahu menginiayai para peneroka di mana ayahnya Tun Razak merupakan pengasas felda "

Saya percaya kedua-dua faktor inilah yang membuatkan para perwakilan telah hilang akal sehingga memberikan undi yang begitu besar menyokong penjualan harta kpf yang begitu berharga dengan tidak pula kpf memperolehi apa-apa kuasa di dalam FGVH, sesuatu yang pelik tetapi benar.

Persoalan meletakkan kepercayaan kepada  Datuk Sri Najib bagi saya tidaklah boleh dijadikan sandaran, ini kerana tidak mentahil Datuk Najib juga sudah mendapat nasihat yang salah dari pihak yang berkepentingan, yang menggunakan Datu Najib sebagai batu loncatan untuk menjadi bilioner (atas daripada jutawan) ini tidak mustahil.

Oleh itu sepatutnya para perwakilan perlu lebih bertanggung jawab membuat keputusan kerana mereka mewakili sebahagian besar para peneroka, namun semuanya sudah berlaku Inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai, cempedak sudah menjadi nangka









Perkara Berkaitan :


PENDAFTARAN SSM FELDA GLOBAL VENTURES


Nama company: Felda GLOBAL VENTURES Plantation (Malaysia) Sdn Bhd.
No pendaftaran : 974143-H
Tan Sri Mohd Isa bin Abdul Samad - Director 1
Dato' Sabri bin Ahmad - Director 2
Ida Hartati bte Ab Rahim - Secretary 1
Bceramah bte Maarof - Secretary 2
Syarikat telah didaftarkan pada 6.1.2012. 




( di ambil dari blog gaya peneroka )







25 Februari 2012

Penyenaraian Felda Global, apakah masa depan peneroka terjamin ?


Hampir keseluruhan daripada kita mahukan kos sara hidup yang berpatutan, pendapatan yang setimpal ... minyak murah, makan minum murah, tempat tinggal murah dan selesa, pembiayaan anak anak dari kecil sehingga dewasa yang tidak begitu membebankan ... MALANGNYA ... mengapa?? sesetengah daripada kita memandang SINIS mereka-mereka yang meluangkan masa, akal, tenaga, keringat malahan darah dan nyawa untuk memperjuangkan IMPIAN KITA SEMUA .............Mazlan Aliman.


Pada masa sekarang, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh FELDA.

FHB adalah sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif telah mencatat perolehan (revenue) sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar dari keuntungan FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang sahama majority di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini telah membawa kepada kejayaan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jelas menunjukkan hasil dari dividen dan bonus yang diperolehi dari keuntungan FHB telah menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan KPF selaku pemegang amanah bagi pihak ahli-ahlinya, terutama para peneroka di tanah-tanah rancangan FELDA.

Pada tahun 2010 sahaja, FHB telah membayar dividen sebanyak RM237.64 juta kepada KPF dan sekaligus menjadi antara penyumbang utama terhadap bayaran dividen sebanyak 15% yang diagihkan oleh KPF kepada 220,210 orang anggotanya, selain dari hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan sendiri oleh KPF dan anak-anak syarikatnya yang lain.

Tidak syak lagi peneroka dan ahli keluarga peneroka adalah ‘tulang belakang KPF’ di mana keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.

Manakala dari segi modal syer, peneroka merupakan pemilik kepada RM1.17 bilion nilai modal syer yang bersamaan dengan 71.83% dari keseluruhan modal syer KPF.

Di dalam struktur baru selepas dari pentrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF dikatakan akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% di dalam struktur baru FGVH ini bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

Soal pegangan KPF sebanyak 51% atau 60% sebenarnya tidaklah begitu penting sangat.       PERSOALAN 
paling penting dan paling mustahak untuk diberikan jawapan ialah APAKAH JAMINAN BAHAWA FGVH SELEPAS DISENARAIKAN NANTI AKAN MAMPU MEMBAWA PULANGAN/KEUNTUNGAN DALAM BENTUK DIVIDEN DAN BONUS UNTUK DIBAYAR KEPADA KPF, DALAM JUMLAH YANG SAMA SEBAGAIMANA YANG MAMPU DIBAYAR OLEH FHB SEBELUM INI IAITU RM289.69 JUTA PADA TAHUN 2009 DAN RM237.64 JUTA PADA TAHUN 2010 ?

Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi pada FGVH pula yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara hanya nampak gah dari segi nama, tetapi pencapaiannya begitu mengecewakan dan memalukan.

Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan bagaimana pelaburan-pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies melalui Twin Rivers Technologies US (TRT), FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia semuanya mencatakan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

Persoalannya, bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti ‘profitability’nya?

Tidakkah dari segi amalan kewangan dan perakaunan, FHB yang kukuh dari segi kewangannya akan terpaksa menampung dan menangggung segala macam kerugian dan masalah yang dialami oleh FGVH?

Jika ini berlaku, kita tak nampak bagaimana FGVH boleh memberikan pulangan yang diharapkan kepada peneroka dan apa yang boleh dicapai hasil dari penyenaraian ini.

Terlebih penting ialah penyenaraian FGVH akan membuka ruang kepada orang luar(bukan bumiputera) menjadi pemegang saham; sekaligus menjejaskan kepentingan hak melayu atas Felda yang wujud sejak tahun 1956. Akan ada orang luar menjadi Lembaga Pengarah yang bakal mencorakkan polisi Felda di masa depan.

Ianya tidak pernah di minta oleh orang luar; sebaliknya pemimpin politik melayu UMNO sendiri yang memberinya! Mana dia ikrar dan tempik sorak HIDUP MELAYU serta sumpah keramat sanggup mati demi melayu yang menjadi zikir pemimpin UMNO? Adalah jelas, pemimpin UMNO menjadi PENGKHIANAT kepada orang melayu!

Penyenaraian FGVH adalah merupakan percubaan kedua yang gagal kali pertama di zaman Tun Dr Mahathir tahun 2003. Ia didalangi oleh seorang menteri kabinet. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau membatalkan cadangan penyenaraian Felda Holding ke BSKL(kini Bursa Malaysia).

Perdana Menteri ketika membentangkan bajet pada 7 oktober lalu mengisytiharkan dengan bangganya bahawa peneroka akan mendapat ‘durian runtuh’ apabila FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.

Anak difahamkan setiap peneroka akan mendapat saham percuma sebanyak RM15,000. Gula-gula untuk memperdaya peneroka agar bersetuju dengan penyenaraian tersebut yang kononnya bakal memberi pulangan lumayan. Inilah taktik yang sama digunakan oleh penjajah jika berdepan dengan penduduk atau menjinakkan penentangnya. Adakah pemimpin UMNO dan kuncu-kuncunya menjadi penjajah moden? 

22 Februari 2012

Isa Samad Halau Perwakilan Berbangsa India.

Hari ini sepatutnya berlangsung satu Mesyuarat Agung Perwakilan khas KPF yang membincangkan tentang cadangan penjualan pegangan KPF sebanyak 51% didalam Felda Holding Berhad dan 10 anak -anak syarikatnya kepada Felda.

Namun kerana satu perintah oleh Mahkamah Tinggi Kuantan yang melarang sebarang perbincangan yang berkaitan perkara penjualan tersebut maka Mesyuarat Agung itu dibatalkan.

Oleh kerana saya adalah salah seorang perwakilan ke mesyuarat tersebut maka saya di perlukan hadhir jika mensyuarat tersebut berlangsung, Saya pada awalnya telah lega kerana tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur, namun tiba-tiba mendapat SMS dari pengurus felda di tempat saya berbunyi  " Maklum kepada perwakilan kpf, pengerusi felda nak jumpa jam 3.00 ptg esok di dwn perdana felda ".

Saya sebenarnya telah tersilap faham diatas SMS tersebut, saya menyangka yang nak jumpa perwakilan itu ialah pengerusi KPF  Dato' DZulkifli Abd Wahab dan fikir saya, munkin ada satu maklumat penting yang mahu disampaikan oleh Dato' Dzul kepada para perwakilan. Namun setelah majlis tersebut berlangsung, rupa-rupanya yang hadhir ialah pengerusi felda Tan Sri Isa Samad, kalaulah saya tahu Isa Samad yang akan hadhir memberikan taklimat sudah pasti saya tidak akan hadhir kerana saya tahu sangat modal yang akan diperkatakan oleh Isa.

Kehadiran Isa Samad sebenarnya tidak mengemukakan sesuatu yang baru, beliau hanya mengulangi apa yang diperkatakan sebelum ini iaitu meminta beliau di beri kepercayaan untuk meningkatkan ekonomi para peneroka melalui penyenaraian Felda Global ini, beliau juga mengambil kesempatan mengutuk pihak yang membawa perkara berkaitan KPF ini ke Mahkamah dan turut mengutuk Pas, khususnya Mazlan Aliman.

Selepas beberapa minit mengutuk pembangkang, beliau pun memberikan laluan kepada para perwakilan untuk mengemukan soalan, maka bangunlah beberapa orang perwakilan yang secara umumnya hanya bertanyakan bila Durian Runtuh akan dibayar dan perlunya juga alaun kehadiran turut dibayar.



Tidak ada seorang pun yang bertanyakan sesuatu yang membina selain memuji langkah penyenaraian tersebut, didalam keadaan yang sedemikian rupa, sekoyong-koyong muncul seorang hamba Allah berbangsa India iaitu Thangam dari felda Sendayan yang memberi ingatan kepada Isa Samad tentang apa yang berlaku kepada peneroka felda Sendayan di Negeri Sembilan semasa di bawah pemerintahan Isa Samad waktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu.

Thangam
Hamba Allah ini mengingatkan para perwakilan dan para peneroka bahawa mereka perlu berhati-hati bersabitan penyenaraian ini kerana munkin boleh merugikan masa depan peneroka sendiri oleh pelbagai kemunkinan yang terjadi dimasa hadapan.

Isa Samad tiba-tiba melenting dengan kenyataan Thangam yang berani ini dan menyatakan bahawa jika kamu tidak suka kamu boleh keluar dari Dewan ini.

Perwakilan berbangsa India tersebut membalas dengan mengatakan bahawa Isa Samad tidak berhak menghalaunya kerana dia telah 50 tahun menjadi ahli koperasi sedangkan Isa Samad masih baru menjadi ahli dan kerusi pun belum panas lagi.

Saya yang menyaksikan perkara tersebut berlaku didepan mata agak terkejut kerana para perwakilan lain yang saya yakin dari ahli Umno, menjerit-jerit meluahkan perkataan perkauman dan turut menghalau malah mahu menumbuk hamba Allah ini sedangkan pada pandangan saya, apa yang diperkatakan oleh peneroka berbangsa India ini adalah betul.

Sedih saya memikirkan bangsa saya yang sudahlah tidak mampu membincangkan dan menilai baik buruk penyenaraian Felda Global ini namun apabila ada orang lain yang berani mengingatkan supaya berhati-hati tentang permainan orang politik berkaitan penyenaraian ini, tiba-tiba melenting macam ulat nangka dan bertindak berlebih-lebihan pula.

Sebenarnya kalaulah saya tahu perkara seperti ini akan berlaku, saya pasti tidak akan hadhir, buang masa saya sahaja .......................




http://azinang.blogspot.com/2011/11/penyenaraian-fgvh-adakah-masa-depan.html



04 Januari 2012

'Peneroka Berjaya' Halang KPF Adakan Mesyuarat Agung Khas (AGM) Esok !!

KUANTAN, 4 Jan - Peneroka Felda akhirnya berjaya menghalang Mesyuarat Agung Khas (AGM), Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang dijadualkan esok (5 Januari). 
Sejak awal lagi kira-kira 500 orang peneroka Felda telah berhimpun di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuantan pagi tadi. Dalam keputusan penghakiman hari ini, Peguam (plantif), Mohd Harris Abdullah (foto) memaklumkan saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang mesyuarat tersebut ditarik balik. 
Keputusan tersebut dibuat oleh Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, Maran setelah mereka dimaklumkan bahawa mesyuarat itu telah dibatalkan. setelah peguam bagi pihak Felda iaitu J. Doshi mengemukakan pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya bahawa mesyuarat tersebut (AGM KPF) dibatalkan. 
Bagaimana pun, Harris menjelaskan mereka akan menfailkan semula injuksi jika pihak Felda meneruskan Mesyuarat Agung Khas (AGM) itu. Beliau turut memaklumkan, pihaknya gagal untuk memohon kos mahkamah ditanggung oleh pihak Felda. 
Rabu lalu, beliau telah mengemukakan “interim injunction” di mahkamah berkenaan bagi menghalang Meyuarat Agung KPF pada 5 Januari ini (esok). Sebelum itu, empat orang peneroka Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya ahli KPF dari Felda Jengka 15, telah memfailkan saman pemula terhadap KPF danFelda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh. 
Saman tersebut adalah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding. Difahamkan, mesyuarat khas KPF itu adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia. Keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Sebahagian daripada para peneroka yang telah hadir di mahkamah pagi tadi
Ahli Lembaga Pengarah KPF, Dato' Zainal Hassan (juga bekas Exco Pahang)
serta Dato' Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi PKR Pahang) turut hadir
Mazlan Aliman (Presiden ANAK) dan Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi
(Ketua Pemuda PAS) serta pimpinan PKR yang lain juga turut hadir
ADUN Beserah, YB Sy. Mohamad Sy.Loni, Cikgu Sulaiman Md Derus (PAS)
Kamarzaman M.Yunus, Hatta, Syed Talib dan Hj.Zahari (PKR) juga hadir
Bersemangat, Kamarul Hatta Ali (SAMM) pimpin laungan "Hidup Peneroka"
Antara muslimat, isteri peneroka yang turut hadir di mahkamah pagi tadi
Bergambar sambil pegang dokumen berkaitan selepas keputusan diumumkan

Satu renungan dari saya ..... ( azinang )
Andaikata kumpulan peneroka tidak berusaha membawa kes penyenaraian Felda Global Ventures ini ke Mahkamah, apakah Felda ( baca Isa Samad ) akan membatalkan Mesyuarat agong Khas tersebut ?
Jawapannya ialah, pasti tidak.
Kenapakah kumpulan peneroka ini bersungguh-sungguh sangat mahu membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures di Bursa Malaysia  sedangkan mengikut kata Isa Samad, peneroka tiada ruginya , malah beroleh keuntungan......
Apakah benar peneroka akan untung dan jika benar sebanyak mana keuntungannya ?
Jawapannya ialah, dari segi jangka pendek memang peneroka akan untung namun keuntungannya tidaklah banyak bagi peneroka biasa, kecuali bagi peneroka yang jumlah pelaburannya banyak di dalam KPF.
Itu pun di jangka perolehan keuntungannya tidaklah lama kerana di ramalkan beberapa tahun mendatang, kadar dividen yang di perolehi akan merosot oleh kerana kaedah pengurusan yang berbeza.


Malah di jangka tidak mustahil KPF ini berakhir  dengan masaalah yang di hadapi oleh saham-saham amanah peringkat negeri yang berkesudahan  dengan  kerugian demi kerugian.
Persoalannya, apakah berbaloi dengan keuntungan jangka pendek dengan masaalah yang bakal di hadapi oleh masyarakat peneroka berkaitan dengan peneyenaraian ini,

Antara masaalah yang paling di geruni ialah berkaitan penyerahan oleh kerajaan negeri kepada Felda Global ventures  secara pajakan selama 99 tahun, tanah-tanah kosong, tapak perniagaan dan lain-lain yang selama ini di usahakan oleh peneroka .

Apakah nasib tanah-tanah ini apabila ianya menjadi milik syarikat di satu masa nanti, itulah yang lebih penting di fikirkan,