PUTRAJAYA 8 Jan. – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pernah didakwa mengugut untuk mengusir 354 orang peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan daripada tanah rancangan itu jika mereka mengambil tindakan yang boleh menjejaskan reputasi agensi kerajaan tersebut.
Peguam Yusfarizal Yusof berhujah, ugutan itu dibuat dalam satu pertemuan antara pengurusan tertinggi Felda dengan pihak peneroka pada pukul 9.30 malam, 1 November 2002 di Pusat Kegiatan Ummah Felda Kemahang Tiga.
Beliau yang mewakili kumpulan peneroka tersebut menyatakan, perjumpaan itu turut dihadiri oleh Datuk Mustapa Mohamed yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Jeli. Turut hadir, Naib Pengerusi Felda Kemahang Tiga, Aziz Zakaria.
Yusfarizal berhujah, berikutan ugutan itu, peneroka-peneroka tersebut membuat laporan polis, dua hari kemudian.
Menurut peguam, pada 13 Oktober 2001, mereka pernah membuat laporan polis lain setelah mengesyaki wujud unsur-unsur penipuan dan konspirasi terhadap sistem timbangan kelapa sawit bagi mengurangkan mutu hasil tanaman itu bermula tahun 1997 hingga 2002.
Penipuan itu disedari apabila salah seorang peneroka menemui salinan asal ‘Akuan Penerimaan BTS’ (berat timbang sawit) yang dikeluarkan itu mengandungi cop ‘penjual mengakui hantaran mutu BTS di bawah KPG (kadar perahan gred) 18 peratus’ sedangkan ia bercanggah dengan mutu perahan sawit yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Peneroka mendakwa, penipuan itu menyebabkan mutu KPG buah/hasil sawit susut nilai antara dua dan tiga peratus KPG bagi setiap tan menyebabkan mereka kerugian di antara RM30 dan RM50 setiap tan buah yang dijual.
Peguam itu berhujah, pihak peneroka kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi selepas mereka diugut untuk diusir dari kawasan penempatan itu berikutan penyerahan memo kepada seorang pegawai Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah menolak rayuan Felda terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang tidak membenarkan permohonan agensi itu untuk membatalkan penghakiman ingkar selepas ia diperintah membayar RM7.8 juta kepada 354 peneroka itu.
‘‘Mereka telah menunggu selama enam tahun supaya kes mereka didengar dan hingga kini seramai 54 peneroka telah meninggal dunia dan dikhuatiri hak mereka untuk menuntut keadilan akan dinafikan,” ujar Yusfarizal.
Bahawa sesungguhnya saya sangat sedih mengikuti kisah yang dialami oleh 354 orang peneroka di Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan diatas.
Bagaimanakah ianya boleh berlaku, dan adakah peristiwa yang sama juga berlaku di tempat lain ? tak tahulah, tetapi kes ini setahu saya, tiada berlaku di tempat saya di felda kota gelanggi 01.
Nilai pampasan yang perlu dibayar oleh felda adalah sebanyak RM7.8 juta, banyak juga tu......... kalau dibahagikan untuk seramai 354 orang, dapat juga ratusan ribu seorang .
Yang menghairankan kenapa pihak pengurusan tertinggi felda cuba mengugut Peneroka didalam percubaan mereka menyembunyikan kes tersebut .
Persoalannya ialah kenapa perlu disembunyikan, tidakkah ini bermakna pihak pengurusan di ibu pejabat felda turut sama bersekongkol dengan mereka ? dan adakah tindakan telah diambil terhadap pengurus tersebut.
Inilah jadinya jika amanah di berikan kepada orang yang tidak bertanggung jawab, sanggup seorang pengurus bersekongkol dan menipu orang-orang yang dhaif ............... semoga ianya boleh menjadi pengajaran kepada felda dimasa depan dan sama-samalah kita berdoa kehadrat Allah S.W.T supaya para peneroka di felda kemahang tiga memenangi kes tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan