04 Januari 2009

PERLUKAN AZAM BARU SEMPENA TAHUN BARU 2009


Assalamualaikum, belum terlambat rasanya, untuk saya mencoretkan sesuatu sempena tahun
baru 2009 ini, hari ini masuk hari keempat kita menjalani kehidupan didunia yang Fana ini.

Tahun 2009 hanyalah berubah tahun, jika semangat dan jiwa kita masih tidak berubah. Sekarang ini kita tanyalah kepada ramai orang, apakah azam untuk tahun baru ini yang kebetulan berselang hari sahaja antara tahun Hijrah dan Masihi.

Masing-masing akan berkata dan berjanji yang elok-elok sahaja, tetapi mampukah kita berubah atau mampukah kita melunaskan janji yang telah dibuat?

Ada yang berjanji mahu menjadi lebih baik daripada tahun lalu. Baiklah, hari ini sudah hari keempat, sudahkah mula berubah? Atau masih menganggap baru empat hari... tak mengapalah, tunggu minggu depan atau bulan depan. Lalu pagi tadi, tengah hari ini dan malam nanti, berlalu sama sahaja seperti hari kelmarin. Oleh itu bolehkah anda berubah menjadi lebih baik pada esok hari?

Sepatutnya amal dan iman kita mesti sama-sama dipertingkatkan selaras meningkatnya usia kerana setiap langkah kita bermaksud kita semakin menghampiri destinasi terakhir.

Contohnya bertanya pada diri sendiri, aku sebagai pekerja apa mesti aku buat setiap hari masuk ke pejabat supaya menjadi lebih elok daripada semalam? Sekiranya ada pekerja lain yang buat perangai mestikah didiamkan sahaja dan kemudian kita sama-sama menjadi pembelot pada syarikat.

Masihkah suka membazir waktu atau masih leka dengan hal sendiri hingga usaha untuk memantapkan prestasi kerja masih di takuk lama. Atau kita mungkin berkata tak mengapa, esoklah aku mula berubah sebabnya buat apa kalau aku seorang sahaja berubah sedangkan orang lain masih tidak berubah.

Sebenarnya kita adalah diri kita sendiri. Tahun hanya berubah angka, kitalah yang semakin bertambah usia. Jadi tidak usahlah memeningkan kepala dengan azam tahun baru yang hanya retorik semata. Mahu yang baik-baik sedangkan kita langsung tidak berusaha untuk menjadi lebih baik atau masih terikut-ikut arus orang lain yang akhirnya membuatkan kita sama-sama hanyut.

Lebih banyak beribadah dan beramal adalah cita-cita paling mudah yang tidak memerlukan ringgit dan tenaga. Hal itu bukanlah payah cuma lebihkan usaha dan kuatkan semangat sahaja. Senyum kita adalah ibadah. Menyapa dan berprasangka baik, itu pun sudah dikira ibadah. Payahkah? Atau jika ada seseorang datang pada kita dan bertanyakan pendapat kita lalu kita berikan cadangan yang baik, itulah ibadah kita untuk hari itu. Begitu mudah.

Sebagai isteri apakah yang lebih baik untuk seorang suami? Bersyukur, bermanis muka dan bersabar serta merendahkan pertuturan bukannya memerlukan modal besar.

Itu sahaja sudah cukup untuk kita menambah ibadah pada tahun baru ini. Tidak perlu menunggu esok, sekarang ini pun cubalah menelefon suami dan berkatalah dengan sebaik-baik pertuturan dan sematkan itu adalah azam untuk tahun ini.

Dan sebagai suami, bukan payah untuk menghormati isteri. Bukannya payah juga untuk berlaku jujur pada isteri. Pandang wajah isteri dan tengok mata anak-anak, di situ anda akan temui erti tanggungjawab. Di situ ada erti dosa dan pahala.

Lebih banyak bersyukur, bersabar dan tabah dan lebih banyak memberikan kebahagiaan kepada orang lain semestinya akan mendapat balasan yang baik. Semoga kita dapat mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat tanpa sebarang modal besar.

Dan untuk memberi lebih pengertian kepada kehidupan kita, silalah jawab dengan jujur soalan-soalan ini: Aku sebagai pelajar apa mesti aku buat? Aku sebagai anak apa mesti aku buat? Aku sebagai adik apa mesti aku buat? Aku sebagai kakak apa mesti aku buat? Aku sebagai kawan apa mesti aku buat?

Akhir sekali sematkan dalam fikiran bahawa hijrah itu perpindahan yang memerlukan pengorbanan, tetapi tidaklah sampai berkorban nyawa dan darah. Cukuplah tangisan dan darah hanya ada di Palestin. Kita di Malaysia teruslah berkorban dengan cara kita asalkan semuanya
didalam keredaan Allah.





ARTIKEL TAMBAHAN UNTUK ANDA..............SILA BACA SETERUSNYA........
Kafe siber tumpuan pelajar ponteng
Daripada tidur dalam kelas lebih baik lepak
Denda rendah sukar banteras
Persepsi positif pelajar
Kafe Siber dari perspektif MPSJ, MPAJ
Ibu bapa bimbang perkara negatif
Perlukah blog dipantau ?



Tiada ulasan: