Apakah anda percaya dengan e-mel lunak seperti itu? Malangnya ada yang percaya. Ulang sekali lagi: ada yang percaya! Pesanan dari e-mel itu dijawab. Kemudian datang e-mel lanjutan, meminta si pemenang membayar RM5,000 sebagai kos pengurusan untuk memindahkan wang berjuta itu ke dalam akaun pemenang.
Pemenang pun segera memasukkan RM5,000 tunai ke dalam akaun pengendali cabutan bertuah itu menerusi nombor akaun yang diberi. Dan wang RM5,000 hilang begitu sahaja. Tidak fasal-fasal bakal jutawan itu tiba-tiba pokai RM5,000.
Bukan orang sembarangan, bukan orang tidak sekolah, bakal jutawan yang ditipu itu adalah seorang wanita, peguam muda. Kes ini dilaporkan kepada polis, dan menjadi berita menarik tidak lama dulu. Tentu sekali polis tidak dapat berbuat apa-apa. Maka yang RM5,000 kira hangus. Demikianlah hebatnya penyangak di era siber!
Penipuan seperti ini juga berlaku di luar alam siber, termasuk di pusat-pusat membeli belah, di tempat letak kereta, di perhentian bas, hatta di mana sahaja. Itulah penipuan ‘gores & menang’ atau 'GNM' yang kini menjadi-jadi semula setelah senyap beberapa ketika.
Hanya beberapa bulan lalu, seorang doktor muda (wanita juga!) didatangi oleh sekumpulan jurujual di tempat letak kereta di Kuala Lumpur. Dia diberi satu sampul surat untuk digores. Setelah digores doktor muda itu diberitahu bahawa dia telah memenangi hadiah cepumas bernilai kira-kira RM100,000, termasuk sebuah kereta dan barang-barang elektrik.
Mudahnya! Sebenarnya tidak semudah yang disangka. Untuk mendapatkan hadiah istimewa itu doktor tersebut diminta membuat pembayaran tunai RM3,500 untuk urusan pendaftaran dengan JPJ, cukai jalan dan sebagainya. Rezeki datang menggolek, dan doktor muda itu terus mengeluarkan wang dari ATM menyerahkan wang kepada jurujual itu.
Petang itu seperti yang dipersetujui, doktor telah pergi ke pejabat seperti yang diberikan alamatnya oleh jurujual berkenaan. Apabila dia tiba, ternyata pejabat itu tidak wujud. Nombor telefon yang diberi oleh jurujual itu juga sudah tidak aktif. Barulah doktor muda itu sedar dia telah ditipu. Ini yang dipanggil ditipu hidup-hidup!
Tidak sahaja di Kuala Lumpur, sindiket 'GNM' bergerak di mana-mana sahaja di seluruh negara. Selain di pusat-pusat membeli belah atau di tempat letak kereta, anggota sindiket ini juga mengunjungi rumah-rumah untuk memberikan tawaran paling menarik kepada sesiapa sahaja. Siapa tidak mahu hadiah percuma. Siapa tidak mahu kaya sekelip mata.
Tentu sekali dalam keadaan meleset seperti sekarang, orang lebih mudah terpedaya dengan gula-gula yang tabur dengan kaedah yang amat meyakinkan itu. Ada kad kerja, ada kad nama, malah ada nombor akaun bank, alamat nombor telefon dan sebagainya. Siapa yang tidak percaya.
Beribu-ribu orang telah menjadi mangsa penipuan di siang hari ini. Berjuta-juta ringgit telah disonglap oleh sindiket licik ini. Banyak laporan polis telah dibuat, banyak juga aduan kepada persatuan-persatuan pengguna telah dilakukan. Banyak juga perangkap telah dipasang oleh pihak berkuasa untuk mengesan sindiket.
Bagi saya laporan polis boleh dibuat. Aduan kepada persatuan pengguna pun boleh. Kalau mahu buat aduan ke Jabatan Peguam Negara pun boleh. Hatta, sekiranya ada dukun ilmu hitam paling hebat pun boleh dibuat aduan. Tetapi, percayalah duit anda yang lesap itu pasti tidak akan kembali lagi. Tidak kira berapa ribu, anggaplah itu sebagai sedekah. Jangan garu kepala hingga botak, jangan juga hantukkan kepala ke dinding hingga berdarah.
Jangan salahkan sindiket, jangan salahkan persatuan pengguna. Tidak patut juga menyalahkan dukun Siam yang meminta 'penggeras' tinggi itu sekiranya pengamal ilmu hitam itu gagal membusungkan perut anggota sindiket.
Salahkan diri anda sendiri! Tidak kira anda seorang peguam, doktor atau apa sahaja profesion hebat-hebat, anda tetap tertipu sekiranya tidak berhati-hati. Betapa hebat pun tawaran, dan tidak kira bagaimana manisnya kata-kata si jurujual, jangan diterima secara bulat-bulat. Si penyangak itu akan ketawakan ada, sambil dalam hatinya bersorak: "Bodohnya orang ini!"
Anda mungkin ditawarkan RM1 juta, mungkin mungkin juga dijanjikan banglo dua tingkat dan kereta mewah. Semuanya percuma. Gunakan akal, dan fikirlah secara logik: mana boleh kemewahan itu datang sekelip mata, percuma pula.
Hanya lampu ajaib Aladin sahaja yang dapat menawarkan kemewahan itu secara percuma dalam sekelip mata. Tetapi ingatlah lampu Aladin itu hanya cerita dongeng, tidak terjadi di alam nyata mahupun alam siber!
Jadi, kalau ada orang menawarkan anda kereta baru atau rumah besar percuma, jangan percaya. Dan jangan tamak. Tidak ada lagi yang percuma, sebab zaman sekarang semuanya berbayar, termasuk untuk kencing di tandas awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan