Kadang-kadang saya membayangkan, disuatu masa nanti, masyarakat felda, boleh berinteraksi melalui medan baru yang canggih, iaitu blog. Melalui blog, kita boleh melapurkan
pelbagai aktiviti kemasyarakatan didalam felda, contohnya melapurkan keputusan mesyuarat JKKK, koperasi, atau lain-lain.
Melalui blog juga, kita boleh memberi pelbagai cadangan dan bantahan terhadap apa-apa juga yang di fikirkan perlu oleh masyarakat.
Dan yang paling istemewanya ialah, blog boleh diakses dari mana-mana sahaja, walau pun diketika anda berada di luar negeri, yang penting anda ada komputer, atau handphone dan sambungan internet, anda pergi ke google dan taip je blog mana yang anda mahu lawati .
Buktinya ialah saudari yang menamakan dirinya Kuyus dan blognya* LUKISAN ALAM * dari Jakarta telah menghubungi saya melalui blognya.
Malangnya kadar celik IT dikalangan peneroka, buat masa ini adalah 000.1% sahaja, munkin 10 tahun lagi, barulah medan ini boleh digunakan, sementara menunggu masa tersebut, terpaksalah kita menggunakan cara lama.................
Dibawah ini ada saya siarkan, pandangan dari Prof. Abdullah dari UPSI tentang BLOG..............bacalah kisah seterusnya.....
Blog melahirkan masyarakat madani!
Pagi-pagi lagi saya menerima mesej singkat daripada sahabat lama, Prof. Wan Zawawi, semasa di Universiti Sains Malaysia dahulu. Kini beliau bertugas di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Oleh sebab saya tidak dapat membacanya dalam TheStar Online, maka saya bergegas ke Bukit Tinggi mencari akhbar tersebut. Lazimnya hidup di Janda Baik tidak ada gangguan apa-apa.
Dalam menulis entri ini saya bergantung pada resensi yang dibuat oleh Prof. Johan Saravanamuttu, seorang rakan lama juga dari USM.
Menurut Prof. Johan, sememangnyalah buku Jun-E Tan dan Prof. Zawawi yang berjudul Blogging and Democratization in Malaysia memberi banyak maklumat yang mencabar fikiran dan dapat mengekalkan minat kita membacanya.
Blog adalah suatu bentuk media baru yang interaktif, yakni kita dapat membacanya dan memberi ulasan pula. Ini adalah media yang dapat menyaingi dominasi media cetak pada hari ini. Di samping itu blog pula terlepas daripada saringan ‘penjaga pintu’ yang diamalkan oleh semua akhbar, yakni semua berita disaring oleh Editor Umumnya.
Namun, pada masa ini penulis blog tidak dapat dikatakan terlepas daripada tidakan undang-undang sepenuhnya. Walaupun ada yang bebas menulis, tetapi tindakan undang-undang terhadap blogger seperti Jeff Ooi, Rocky Bru, Nat Tan, dan Kickdefella menunjukkan kebebasan itu adalah rapuh belaka.
Tangkapan dan tahanan Raja Petra di bawah ISA juga menunjukkan alam siber ini tidak sebebas yang dipersepsi. Malah Alliance of Bloggers juga belum berhasil mempertahankan ahlinya daripada ISA.
Apakah dapatan Jun-E Tan dan Prof. Wan Zawawi mengenai aktiviti menulis blog di Malaysia? Mereka membuat tinjauan dalam tahun 2006, dan mendapati bahawa majoriti pembaca blog di Malaysia adalah daripada kalangan muda berusia antara 19-23 tahun, dan ini dikuti oleh kelompok berusia 24-28 tahun. Mereka membentuk 80% daripada pembaca blog.
Saya terfikir pula, berapa ramai pula pembacanya datang daripada kelompok usia saya, 65 ke atas? Apakah teknologi maya ini menjadi kepunyaan orang muda sahaja?
Memang, kita dapat menduga bahawa pembaca blog ini datangnya daripada Selangor dan Wilayah Persekutuan. Tetapi yang agak memeranjatkan juga, adalah bilangan pembaca blog dari Sarawak adalah lebih ramai daripada yang di Pulau Pinang.
Ditinjau daripada sisi jantina, wanita membentuk 44% daripada pembacanya. Tetapi sebagai diduga pecahan pembaca menurut kaum adalah seperti berikut: 78% Cina, 19% Melayu, 2% India, selebihnya 1% kaum lain-lain (Prof. Johan mencatatkannya sebagai 5%. Ini tidak mungkin sebab jumlah besarnya akan menjadi lebih daripada 100%)
Ini saya rasa memang benar. Buktinya, setiap kali saya berhadapan dengan pelajar sarjana daripada kalangan guru Melayu, saya mendapati mereka terkial-kial apabila diminta menghantarkan tugasan melalui emel atau memasukkannya ke dalam ruangan ulasan blog saya.
Malah ketiga-tiga calon Ph. D. saya dari Sabah, masih gagal menggunakan blog yang saya sediakan bagi menyelia tesis mereka, walaupun lima tahun sudah berlalu. Mereka masih belum celik internet.
Prof. Johan memberi maklumat penting melalui usahanya sendiri. Pengarang tidak memberi maklumat tentang sejauh mana aktiviti blog ini berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia. Melalui Google, beliau mendapat maklumat daripada Internet World Stats, yang mengatakan jumlah rakyat Malaysia yang menggunakan internet adalah tinggi, dan meningkat. Pada tahun 2000, ada 3.7 juta pengguna internet di Malaysia. Ini meningkat menjadi 14.9 juta pada tahun 2008, iaitu satu daripada dua rakyat Malaysia menggunakan internet.
Ini termasuklah saya, isteri saya dan cucu saya. Cucu? Ya. Dalam cuti sekolah lalu, cucu saya datang melihat datuk dan neneknya di Janda Baik. Sebagai datuk, sama seperti datuk-datuk lain, saya membawa mereka mengelilingi kampung menaiki Nissan Navara pacuan empat roda.
Apabila lalu di tepi kampung orang asli, saya memberi ulasan selari laksana pemandu pelancong. “Ini Kampung Orang Asli Ulu Cemperuh.” kata saya.
“Orang Asli itu apa, Datuk?” Tanya Azman.
“Diamlah, nanti balik kita Google.” Kata kakaknya Ameerah.
Apabila pulang, diam-diam saya bergegas ke bilik pustaka dan membuka Google. Betul ada maklumat mengenai orang asli, banyak. Lebih daripada cukup. Rupa-rupanya, generasi baru ini memanglah generasi elektronik.
Sudahkah blog ini dapat mendemokrasikan rakyat Malaysia? Menurut Jun-E Tan dan Prof. Wan Zawawi, fenomena ini memang sudah berlaku. Buktinya adalah tsunami politik yang berlaku dalam Piliranraya ke-12 lalu. Kuasa blog tidak dapat dibendung.
Lalu Prof. Johan mengatakan bahawa blog ini menunjukkan kita sudah dapat mengatasi isu perkauman sebab undi rakyat memenangkan calon bukan daripada kaum sendiri. Sudah matangkah rakyat kita? Sudah madanikah rakyat kita?
Namun, pada kilas pertama memang begitulah kesimpulan yang wajar dibuat.
Atau, bagaimana pula kiranya kita berfikir sejenak. Rakyat yang menguasai internet itu adalah 78% Cina, 19% Melayu, 2% India, dan 1% lain-lain. Mungkin yang sudah menjadi demokratik itu pengundi Cina!
Bagaimana halnya dengan pengundi Melayu yang belum celik internet? Ada yang berubah, ada yang masih belum. Mungkin kita ajukan kepada kerajaan supaya membekalkan setiap orang di kampung dengan capaian internet.
Namun apapun, tahniah kepada Jun-E Tan dan Prof. Wan Zawawi, dan terima kasih juga kepada Prof. Johan atas sumbangan resensi Tuan. Saya memanfaatkan resensi yang Tuan tulis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan