05 Januari 2010

Ragam Manusia

Oleh kerana bosan dengan Pertelingkahan yang tidak berkesudahan berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Ugama Kristian, ada yang kata boleh dan ada yang kata tak boleh, maka saya mengambil jalan tengah, dengan lari dari kisah tersebut.

Didalam " pelarian tersebut " saya terjumpa posting ini di blog anak peneroka felda kota gelanggi 01, yang telah berjaya di bidang Katering yang diusahakannya................

Kita ikuti catitan pengalamannya semasa menjayakan majlis ketering kelolaannya ..........


Sebagai pengusaha perkhidmatan katering, saya sering melihat pelbagai ragam manusia ketika makan. Saya juga menyelami pelbagai kehendak dan citarasa di meja makan.


Salah satu penyediaan meja makan ialah keperluan makan VIP/VVIP.
Pastinya apabila melibatkan meja VIP, dekorasi dan peralatan berlainan diperlukan. Itu perkara biasa kerana harganya juga relatif agak tinggi jika dibandingkan dengan sajian secara bufet.

Sudah tentu saudara pernah ke majlis keraian Hari Raya Aidilfitri yang pastinya dihidangkan dengan pelbagai juadah. Ada sesetengah majlis itu sajian makanan disediakan secara bufet, dan kerap kali juga diasingkan ruang makan antara tetamu biasa dengan tetamu yang dikategorikan VIP (very important person/people).


Sebagai penyedia perkhidmatan katering, saya sebenarnya tidak kisah kerana harga sudah dipersetujui untuk perkhidmatan VIP ini. Tetapi sebagai manusia, saya melihat dari sudut yang berlainan.


Majlis sambutan atau keraian Hari Raya Aidilfitri merupakan sebuah acara beramah mesra dan merapatkan silaturrahim, bukankah begitu? Jika memang begitu, apa alasan mengasingkan dan mengadakan jurang antara sesama manusia, apa lagi ketika makan.


Saya kerap menerima rungutan dari rakan-rakan dengan mengatakan bahawa VIP duduk sesama mereka, dan dalam masa yang sama membiarkan para tetamu bukan-VIP lain berlegar-legar tanpa dihiraukan oleh ‘VIP-VIP’ tersebut.


Saya mengakui rungutan rakan itu. Tetamu VIP hanya duduk di meja VIP dan berbual-bual sesama mereka. Hilang sudah semangat ramah-mesra dan bermaaf-maafan yang menjadi agenda utama mailis diadakan. Sudahlah di masa lain sepanjang tahun, memang payah untuk bersua muka dengan orang-orang VIP tersebut, di majlis keraian juga terjadi hal yang sama.


Bagi majlis-majlis lain yang bukan keraian Hari Raya Aidilfitri, itu hak mereka sebagai orang penting syarikat, komuniti, negeri atau negara. Memang hak mereka untuk dilayan mengikut kelas VIP. Tetapi tidak bolehkah hanya setahun sekali cuba mencemar duli menjadi ‘rakyat biasa’? Bukannya luak pun kemuliaan VIP tersebut, malah akan menjadi lebih dipandang mulia oleh masyarakat atau tetamu.





Tiada ulasan: