08 Mac 2009

Pernahkah anda merasai masakkan ikan patin gulai tempoyak di Temerloh ?







Temerloh, adalah satu bandar yang berada ditengah-tengah negeri Pahang, bagi para penduduk disekitar Jengka, Temerloh adalah bandar yang paling hampir dan terbesar, yang mempunyai banyak kemudahan yang diperlukan

Bagi generasi lampau, Temerloh adalah satu bandar yang terletak berhampiran sungai Pahang, yang menjadi nadi penghubung, sebelumnya wujudnya rangkaian jalan raya, istimewanya Temerloh ialah kerana ianya terletak berhampiran dengan bandar Mentakab dan berkemunkinan besar dimasa akan datang ianya akan bercantum menjadi satu .


Temerloh adalah lebih dikenali sebagai Bandar Ikan Patin, nama Temerloh juga adalah sama nama dengan nama daerahnya. Temerloh terletak kira-kira 163 kaki dari paras laut dan mempunyai latitud 327 disebelah utara dan 102 26 di sebelah selatan.

Terletak lebih kurang 130 km dari Kuala Lumpur dan disitu juga terdapat Kuala Sungai Semantan.

Ianya juga adalah terletak ditengah-tengah laluan antara Kuantan dan Kuala Lumpur, Temerloh juga adalah Bandar kedua terbesar di Negeri Pahang Darul Makmur ini.

Ikan Patin atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi, terdapat berbagai jenis patin seperti Patin Muncung, Patin Buah, Patin Lawang, Patin Mas (kacukan patin buah & muncung), Patin Juara dan sebagainya.

Ikan Patin asalnya memang hidup bebas didalam Sungai Pahang, dan dimasa dahulu sangat mudah diperolehi, dengan pelbagai cara untuk menangkapnya, seperti menggunakan tajor, aran,
setapu atau pancing .

Dimasa itu jaring atau pukat belum wujud, dan
orang yang menangkapnya pun tidak ramai,
oleh sebab itulah, ikan tersebut, sangat mudah diperolehi .

Tetapi oleh kerana keadaan telah berubah,
manusia semakin bertambah dan ikhtiar menangkapnya pun semakin canggih,
maka wujudlah jaring atau juga dikenali dengan pukat .

Pukat ini pula ada berbagai-bagai cara dan yang
popular ialah pukat hanyut, selain dari bom dan tuba, pukat hanyut inilah menyebabkan ikan patin sungai semakin sukar diperolehi dan menyebabkan harganya meningkat sehingga ke RM220.00 sekilo, manakala yang sudah dimasak boleh berharga sehingga RM100.00 seketul .

Itulah sebabnya timbul cerita, bagaimana orang luar yang tidak tahu betapa mahalnya ikan tersebut, telah memakannya untuk sekeluarga, apabila mahu membayarnya, terkejut besar mereka dan akhirnya terpaksa meninggalkan jam, rantai emas dan sebagainya, untuk bayaran
kerana tidak cukup wang .



Oleh kerana ikan Patin sungai menjadi begitu mahal, maka timbul idea untuk menternaknya, mula-mula orang menternaknya didalam kolam, tetapi ikan patin yang diternak didalam kolam, rasanya sangat jauh berbeza dari ikan patin sungai, rasa lumpur dan sebagainya, oleh itu ianya tidak popular.

Maka timbullah idea menternaknya didalam sangkar, dan sangkar tersebut pula diletak didalam sungai, iaitu ditempat habitat asalnya dan didapati rasanya tidak jauh berbeza dari ikan patin sungai, malah boleh pula dijual dengan harga yang jauh lebih murah, oleh itu ianya popular secara mendadak .

Menyedari potensi ternakan Ikan Patin ini boleh dilakukan secara komersil, Jabatan Perikanan Daerah telah menggalakkan orang ramai menternak ikan didalam sangkar, dengan menyediakan bantuan nasihat dan kewangan .



Ikan Patin Sangkar ini diberi makan yang cukup berkhasiat seperti Pallet, TP, Cargill, Bintang dan bermacam-macam lagi seperti disyorkan oleh Jabatan Perikanan Daerah Temerloh, makanan ini mempunyai protein yang amat tinggi dan baik untuk kesihatan.

Pihak Jabatan Perikanan Daerah sering memantau penternak Ikan Patin ini agar tidak memberi makanan selain dari apa yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan ini.

Okey, mari kita cerita sedikit tentang harga ikan Patin Sangkar ini. Ianya dijual sekitar RM10 – RM12 sekilogram. Ikan Patin Sangkar ini ada dijual di Pasar Besar Temerloh, Pasar Minggu atau “Pekan Sehari” (setiap hari Ahad), Pasar Tani Temerloh, Pasar Malam dan juga di tempat ternakan ikan serta juga ditepi-tepi jalan .


Kalau anda ada masa, silalah datang pada hari Ahad, dari jam 6 pagi sehingga jam 2 petang, kerana pada hari tersebut adalah hari Pekan Sehari Temerloh .

Pekan sehari ini letaknya di sepanjang Jalan Sultan Ahmad Shah hinggalah ke Jalan Semantan di Lurah Semantan iaitu ditepi Sungai Pahang, dipekan sehari ini terdapat berbagai-bagai jualan yang tidak munkin diperolehi ditempat lain, seperti kueh-kueh tradisional, ikan pekasam Pahang dan lain-lain.




Hmmm…apa kata kita bercerita sedikit tentang masakan ikan Patin ini, yang paling istimewa sekali tentang masakan ikan Patin ini, ialah masak gulai tempoyak, itulah masakan yang paling disukai ramai di Temerloh ini, bukan sahaja orang Temerloh yang menggemarinya, malah orang luar pun beritahu yang lauk ini cukup istimewa, seketul ikan patin sangkar masak gulai tempoyak, dijual dalam harga RM10.00 .


Rata-rata di Temerloh, sama ada di kedai makan, restoran, atau hotel, ada menjual masakan gulai tempoyak ikan patin, antara kedai yang sering menjadi tumpuan orang ramai ialah, Gerai Pak Usop, Gerai MPT Lurah Semantan, Anjang JR, R & R Bukit Angin Nan Planed, Taman Esplanade MPT, Restoran Selera Puncak (berhadapan Mini Stadium Temerloh ) Borak-Borak Café, Hotel Seri Semantan, Hotel Seri Malaysia Temerloh, dan SZ Restoran (sebelah Stesen Minyak BHP Seberang Temerloh) .


Kita sesungguhnya bolehlah andaikan bahawa Ikan Patin Sangkar ini sebagai antara ikan yang paling baik didunia, rasanya yang amat manis dan sedap jika dibandingkan dengan Ikan Salmon atau ikan- ikan yang lain, oleh itu, bagi mereka yang belum mencuba ikan patin sangkar, apa kata anda berkunjung ke Bandar Temerloh, dan rasai sendiri masakan tempatan yang cukup menyelerakan lagi enak ini.

Ok lah, berbalik kita kepada cerita ikan Patin Sangkar ini, kalau nak kenal macamana rupanya Ikan Patin Sangkar, ianya mempunyai jalur hitam dikedua-dua belah badannya disamping badannya yang putih ataupun cerah, ekor Ikan Patin Sangkar ini biasanya agak rosak sedikit kerana pergeseran didalam sangkar, jangan takut atau bimbang jika anda ternampak ekornya rosak, kerana itu sebenarnya adalah perkara biasa.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salamm n thanx for d info..