PM jamin kerajaan laksana perbelanjaan berhemah
|
|
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dan bijaksana agar pembangunan yang dirancang benar- benar memberi manfaat kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata, atas kesedaran itu kerajaan sedang meninjau projek-projek yang menjadi keutamaan rakyat seperti mana yang telah dilaksanakan dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
“Saya sedar dengan harapan rakyat dan bersetuju bahawa kerajaan perlu berbelanja secara berhemah dan bijak kerana kami menggunakan wang rakyat,” katanya dalam blognya di www.1malaysia. com.my.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas komen seorang pengirim yang memberi pandangan bahawa kerajaan perlu menilai Pulangan Bagi Pelaburan (ROI) dari segi nilai sosial, modal insan dan kesihatan sebelum memperuntukkan bajet untuk sebarang program.
Tambah pengirim itu, jika semua aspek tersebut diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat, maka, tiada siapa yang boleh mempersoalkan tindakan yang diputuskan oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberitahu, dalam melaksanakan perbelanjaan berhemah, kerajaan pada masa sama juga harus memastikan agar ekonomi negara terus berkembang.
Bagi tujuan itu, Najib berkata, kerajaan telah meluluskan Dana Fasiliti berjumlah RM20 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi mengalakkan sektor swasta untuk melabur di negara ini.
“Melalui penggunaan sebahagian kecil wang awam, kerajaan yakin kita mampu mengurus dan meningkatkan jumlah pelaburan sektor swasta. Kerajaan sedar mengenai hal ini dan berharap dapat memenuhi kehendak rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengenal pasti antara projek yang menjadi keutamaan rakyat adalah pembasmian kemiskinan dan menambah baik sistem pengangkutan awam.
Selain itu, jelas Najib, rakyat juga mahu melihat, penurunan kadar jenayah dan rasuah, peluang pendidikan berkualiti selain mahu kerajaan membantu golongan yang kurang bernasib baik. ( sumber asal )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan