22 Februari 2009

Anda mahu tahu sejarah Wilayah Jengka dan sekitarnya ?


Jengka

Wilayah Jengka merupakan penempatan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Wilayah Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran.

Dengan adanya tanah-tanah rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu seratus peratus iaitu Bandar Jengka.

Bandar jengka adalah satu inspirasi bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak untuk mengujudkan satu bandar 100 peratus orang melayu.

Tetapi kini Bandar Jengka yang telah diubah nama kepada Bandar Tun Razak Jengka, tidak lagi dimonopoli oleh orang melayu sahaja, kerana di kawasan Jengka 15 terdapat satu deret kedai yang telah ditembusi oleh peniaga bukan melayu.

Nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai kecil yang terdapat di sini iaitu sungai Jengka. Wilayah Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah.

Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25, di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga.

Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenal pasti kawasan yang lebih awal dibuka. Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25.

Dalam kawasan jengka juga terdapat tanah rancangan felda yang tidak menggunakan nama jengka, kerana ianya di tubuhkan lebih dahulu dari jengka itu sendiri, antaranya ialah felda kampong awah 1963, felda ulu jempol 1965, felda sungai nerek 1967.

Setiap kawasan penempatan Jengka mengandungi antara 300 hingga 600 buah keluarga, sebagaimana di tanah rancangan FELDA lain, penduduk Jengka juga disebut sebagai 'peneroka felda' manakala isteri mereka di panggil 'Penerokawati ' dan ditadbir oleh seorang pengurus yang dilantik oleh pihak pegurusan FELDA.

Penduduk

Para peneroka tersebut datang daripada seluruh Malaysia yang terdiri daripada rakyat termiskin (di bawah paras kemiskinan). Ramai kalangan peneroka Jengka berasal daripada negeri-negeri utara seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan juga negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, Selain itu terdapat juga peneroka yang berasal dari negeri lain seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, selain daripada penduduk asal Pahang.

Justeru dapat dilihat adat dan budaya yang bercampur-campur diamalkan di Jengka memandangkan para pendatang ini mengekalkan adat dan budaya kampung asal masing-masing.

Terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan kaum India namun majoriti peneroka adalah kalangan kaum Melayu. Hal ini kerana majoriti rakyat termiskin adalah kaum Melayu. Manakala kaum India pula hanya mewakili beberapa peratus sahaja dari penduduk Malaysia.

Pelancongan

Terdapat beberapa destinasi menarik berhampiran kawasan jengka, antaranya Pusat Latihan Pertanian Tun Abdul Razak (Tekam Plantation Resort) yang menawarkan pelancongan bertemakan pertanian, kompleks gua Kota Gelanggi  dan rangkaian gua-gua di Gunung Senyum.

Berhampiran dengan Felda Ulu Jempol terdapat satu kawasan pelancungan berasaskan air terjun, kawasan ini diberi nama Lubuk Yu, kedinginan airnya dan kehijauan hutannya telah menarik ratusan pengunjung pada hujung minggu, kedudukannya hanya 15km dari Bandar Jengka.

Gunung Senyum yang terletak di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486 meter (1,594 kaki).

Gunung Senyum mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, terdapat banyak flora atau tumbuhan herba di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Antara gua menarik di sini ialah Gua Kelam dan Gua Jebak Puyuh.

Terdapat juga gua-gua yang masih mengalami proses pertumbuhan stalagtait dan stalagmait. Gua-gua di sini dibawah jagaan PERHILITAN, terdapat beberapa versi mengenai asal-usul nama Gunung Senyum ini.

Antaranya, dikatakan semasa Sultan Pahang sampai di kaki gunung tersebut, baginda bertanya tentang nama gunung itu kepada para pembesar yang mengiringi baginda, namun tidak ada seorang pun yang tahu mengenainya, sebaliknya para pembesar tersebut hanya mampu tersenyum.

Gunung Senyum terletak berhampiran Sungai Pahang dan boleh didatangi melalui jalan darat daripada Temerloh atau Jerantut.

Jika melalui pekan Kuala Krau, pengunjung perlu menyeberangi Sungai Pahang dengan menggunakan perkhidmatan bot yang diusahakan oleh penduduk tempatan, tetapi terkini sebuah Jambatan telah dibina, dan  telah di buka dengan resminya oleh KDYMM Suitan Pahang dan boleh digunakan mulai  Mac 2010 .


2. Pekan Sungai Jerik

Pekan Sungai Jerik terletak berhampiran dengan Wilayah FELDA Jengka dan Ulu Jempol, Pahang. Dahulunya tempat ini dikenali sebagai pekan "Tongkiat" bersempena nama seorang tauke berbangsa Cina yang membuka kilang di kawasan berkenaan. Dihuni oleh kebanyakannya kaum Cina. Suatu masa dahulu, tempat ini adalah kawasan hitam kerana ancaman daripada komunis.



3. Kota Gelanggi

Gua Kota Gelanggi merupakan tempat yang menarik untuk dilawati, gua ini terletak di daerah Jerantut di negeri Pahang.

Di dalam kompleks ini terdapat banyak gua, antaranya ialah Gua Tongkat, Gua Angin, Gua Batu Sanding, Gua Kota Balai, Gua Penyu, dan Gua Kelawar. Apabila sampai di gua ini, anda akan bertemu dengan gua yang berbentuk pintu gerbang, di dalamnya terdapat alur air yang mengalir air jernih lagi sejuk.

Gua Kota Balai telah berlaku perubahan bentuk kerana suatu masa dahulu (sekitar 1970an) telah berlaku aktiviti penggalian dan pengambilan najis kelawar secara besar-besaran untuk dijadikan baja tanaman. Nama Gua Tangga diambil sempena tangga besi yang ada di situ. Tangga itu telah dibina oleh pengusaha yang mengambil tahi kelawar pada masa itu.

Perihal gua-gua ini ada disebut di dalam buku Sejarah Melayu dengan sebutan Kota Kelangkio. Dikatakan puteri Onangkio daripada Siam telah singgah di sini semasa mengikuti rombongan ke Pahang.

Terdapat sebatang anak sungai berhampiran kawasan ini dinamakan Sungai Siam (Sungai Siang) menurut dakwaan lisan daripada penduduk tempatan, bahawa kononnya gua ini boleh dihubungkan dengan negeri-negeri lain diPantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan atau Siam, melalui sebuah terowong rahsia .

Dakwaan ini berpunca daripada hubungan dengan Siam dan juga perihal Pahlawan Mat Kilau yang berjaya lari ke Siam tanpa diketahui oleh orang ramai, namun dakwaan tersebut tidak dapat disahkan, kerana terowong tersebut tidak pernah ditemui .

Ada juga dakwaan daripada penduduk tempatan bahawa kononnya, Gua kota Gelanggi juga adalah merupakan perkampungan orang-orang bunian, iaitu sejenis makhluk yang mirip manusia, tetapi sangat kecil, yang kononnya tidak boleh dilihat oleh mata kasar .

Gua Kota Gelanggi ini terletak berhampiran kampung Pulau Tawar iaitu tempat asal pahlawan Melayu Mat Kilau.

Sebuah gugusan Felda yang berhampiran gua ini juga dinamakan Felda kota Gelanggi, iaitu meliputi Felda Kota Gelanggi 01 (tempat bermastautinnya penulis), 02, 03, dan 04 .

Keunikan gua ini telah menarik minat pengeluar filem Sumpah Semerah Padi untuk menjadikannya sebagai lokasi penggambaran filem tersebut.

Rangkaian gua-gua di sini agak terancam dengan adanya usaha-usaha pihak tertentu membuka kuari berhampirannya bagi mengambil batu-batan, tetapi mujurlah kuari tersebut telah ditutup
beberapa tahun yang lampau .

Bandar paling hampir ialah Jerantut dan Bandar Tun Razak Jengka.

Bandar Tun Razak Jengka


Bandar Tun Razak Jengka atau dahulunya dikenali sebagai Bandar Pusat Jengka, adalah sebuah bandar utama ditengah-tengah segitiga Jengka Pahang, atau dikenali sebagai FELDA Jengka, Segitiga Jengka ini ialah sebuah gugusan terbesar FELDA di Malaysia .

Dibandar Tun Razak Jengka juga terdapat sebuah pusat pengajian tinggi iaitu UiTM Jengka yang dihuni oleh lebih dari 3,000 orang pelajar dari seluruh Malaysia .

Senarai pembentukan FELDA di Segitiga Jengka


Jengka 1 FELDA Anggerik
Jengka 2 FELDA Cempaka
Jengka 3 FELDA Dahlia
Jengka 4 FELDA Kemboja
Jengka 5 FELDA Kekwa
Jengka 6 FELDA Keembung
Jengka 7 FELDA Kenanga
Jengka 8 FELDA Kesidang
Jengka 9 FELDA Kesumba
Jengka 10 FELDA Mawar
Jengka 11 FELDA Melati
Jengka 12 FELDA Melor
Jengka 13 FELDA Puteri Malu
Jengka 14 FELDA Raya
Jengka 15 FELDA Semarak
Jengka 16 FELDA Sena
Jengka 17 FELDA Seri Pagi
Jengka 18 FELDA Seroja
Jengka 19 FELDA Siantan
Jengka 20 FELDA Tanjung
Jengka 21 FELDA Teratai
Jengka 22 FELDA Terkis
Jengka 23 FELDA Tonkin
Jengka 24 FELDA ?
Jengka 25 FELDA ?

Lain-lain :

FELDA Ulu Jempol
FELDA Kampung Awah
FELDA Sungai Tekam




Info tambahan di bawah ......

Bandar Jengka -(sila klik)





8 ulasan:

Adiy berkata...

thanks for da information.

upac berkata...

jengka 15 - felda semarak
jengka 18 - felda seroja
jengka 23 - felda tonkin

Don Balon berkata...

LKTP,
tahniah..
satu usaha yang baik..
Koi asey Gelangi 2..
cuma ada beberapa perkara yang koi ingin sentuh :)
Wilayah Jengka, bukan Gugusan Jengka..
gugusan hanya kecil seperti gugusan kota gelanggi ataupun gugusan Bera (bukit kepayang, purun, mayam etc.)

Jika merujuk Ibu Pejabat di jalan semarak, gugusan kota gelanggi termasuk dalam wilayah jengka, hatta sg retang dan padang piol sekalipun..

itu sahaja..

LKTP1328 berkata...

Terima kasih Don Balon diatas teguran sdr, saya sudah betulkan nama Gugusan Jengka tersebut kepada Wilayah Jengka.

Eagle'sEye berkata...

salam perkenalan LKTP,
usaha murni yg patut menerima pujian..15 & 16 Julai ini, kami akan ke felda jengka 23 untuk menjalankan program pemeriksaan kesihatan mata...jika berkesempatan boleh la kita berjumpa insyaallah...

Kak Long Qaseh berkata...

salam LKTP

Tahniah saudara,saya ambil untuk rujukan.Terima kasih

edzuan berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
edzuan berkata...

felda sg tekam utara xde masuk ke?