KUANTAN 20 Feb. - Disangka dadah, rupa-rupanya wang tunai berjumlah RM10,000.00
Itulah pengalaman yang berlaku ke atas seorang peneroka ketika dia menziarahi saudaranya yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Ahad lalu apabila terpandang sebuah bungkusan di kawasan letak kereta.
Mohamad Ibrahim, 46, dari Felda Selendang 1, Rompin terkejut apabila mendapati bungkusan tersebut mengandungi wang kertas pound sterling pelbagai not dianggarkan bernilai RM10,000.
''Kejadian pada pukul 8.30 malam itu memang mengejutkan saya. Saya pandang kiri dan kanan tetapi tiada siapa yang boleh saya syak sebagai pemilik wang tersebut.
''Saya nekad untuk mencari pemilik wang itu sendiri dan segera meletakkan nombor telefon saya pada sebuah kereta berhampiran wang itu dijumpai," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurutnya, apabila menemui pemilik kereta itu dia hampa kerana pemandu berkenaan menyatakan dia tidak kehilangan wang.
''Saya terpaksa tinggalkan nombor telefon di kaunter wad kecemasan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai jalan terakhir mencari pemilik wang tersebut.
''Sehingga semalam, baru saya menerima panggilan daripada seorang wanita berusia 54 tahun, yang mengesahkan bahawa duit itu miliknya,'' jelasnya.
Rentetan daripada panggilan tersebut, satu pertemuan diatur di pejabat wanita tersebut di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini bagi menyerahkan wang tersebut.
''Saya lega dapat serahkan wang itu sendiri kepada pemiliknya kerana selama ini saya tidak beritahu sesiapa mengenainya.
''Malah, saya hanya menyimpan wang itu di bawah kerusi di dalam kereta saya,"ujarnya.
Sementara itu, wanita tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai F.K. Khoo melahirkan rasa lega kerana wang tersebut berjaya ditemui semula.
''Saya memang tak sangka akan dapat wang ini semula. Terima kasih kepada Mohamad kerana dia sangat jujur," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan