08 April 2010

Muak Dan Memualkan

Kita sudah terbiasa sangat dengan kenyataan-kenyataan stereotaip setiap kali kerajaan hendak menaikkan harga satu-satu barangan atau perkhidmatan. Kata-kata yang dikeluarkan selalunya amat lunak, manis lagi mesra pengguna. Soal betul atau tidak kata-kata itu, belakang kira.

Sekiranya contoh-contoh sebelum ini hendak dijadikan KPI – sekarang siang malam orang bercakap mengenai KPI! – ternyata sekali yang lunak-lunak itu akhirnya menimbulkan rasa muak; yang manis bertukar menjadi masam lagi pahit.

Tentu semua masih ingat bahawa apabila harga bahan penting atau perkhidmatan utama hendak dinaikkan, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang menjadi alasan kerajaan untuk menjustifikasikan tindakan tersebut:

No.1, harga bahan berkenaan sudah lama tidak naik. Oleh sebab kos pengilangan semakin tinggi dan harga bahan mentah meningkat di pasaran dunia, kita tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga.

No.2, harga bahan tersebut di tempat kita adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain (biasanya yang akan disebut ialah negara di mana harga lebih tinggi, negara yang harga lebih rendah dari kita tidak disebut!).

No. 3, kenaikan harga ini tidak akan sekali-sekali membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah, sebab “kerajaan akan bertindak tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan atas kenaikan ini!”

Sementara alasan No.1 dan No.2 sukar untuk dinilai kebenarannya oleh rakyat terbanyak, No.3 boleh dirasakan kesannya oleh kita dalam masa sehari dua – ada ketikanya dalam masa hanya sejam dua! – setelah kenaikan harga baru dikuatkuasakan.

Kita ambil contoh tepung gandum. Kerajaan kata kenaikan harga bahan tersebut tidak akan membebankan rakyat. Tetapi dalam masa hanya tiga hari, rakyat biasa sudah merasa beban. Kebanyakan restoran dan gerai menaikkan harga roti canai. Setiap keping naik antara 10 sen hingga 20 sen, malah ada juga yang 30 sen.
http://www.pasjohorbahru.com/inc/img.php?idIsu=127
Sesetengah penjual, konon atas semangat cintakan pengguna, mengekalkan harga lama. Memang harga tidak berubah tetapi saiz berubah – roti canai menjadi lebih kecil, semakin nipis seperti sapu tangan. Tidak boleh lagi kata sekeping, tetapi patut kata sehelai roti canai.

Samalah juga halnya apabila harga gula dinaikkan belum lama dulu. Kenyataan stereotaip dikeluarkan, dan rakyat juga yang menerima akibatnya. Kerajaan menegaskan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan lain sesuka hati.

Kesan segera kenaikan harga gula ialah kenaikan teh tarik. Gula naik 25 sen sekilo, teh tarik naik 20 sen segelas. Malah ada sesetengah restoran yang menaikkan teh tarik sebanyak 50 sen. Bukan sahaja teh tarik yang menjadi minuman separuh wajib sebahagian besar rakyat, makanan bergula yang lain pun turut naik.

Kerajaan tidak berupaya untuk mengawal kenaikan harga, jauh sekali untuk mengambil tindakan tegas ke atas peniaga. Apa yang termampu dibuat oleh kerajaan ialah menasihatkan orang ramai supaya memulaukan peniaga yang menaikkan harga teh tarik. Pengguna juga yang kena!

Apabila petrol naik harga, semua orang terkesan dan terbeban sebab semua barang dan khidmat turut naik. Sehinggakan mamak penjual cendol pun menaikkan harga atas alasan: “Itu petrol harga sudah naik, jadi cendol mesti naik juga!” Pada hal dia tidak menggunakan motosikal, sebaliknya hanya berbasikal untuk menjual cendol. Mana ada basikal guna petrol!

Sebab itu jangan cepat berasa lega apabila kerajaan kata “tidak membebankan rakyat” jika ada barang naik. Sebaliknya, kita hendaklah bersedia dan mencari langkah selamat apabila ada barang atau perkhidmatan hendak dinaikkan harga. Terimalah hakikat bahawa kenaikan walau sesen pasti akan membebankan kita.

Sengaja saya timbulkan ini sebab mulai 1 Julai harga perkhidmatan pos akan dinaikkan. Alasan kerajaan sama seperti No.1 hingga No.3 di atas. Cuma tambah satu lagi, bahawa kenaikan ini akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pos. Ini pun cakap biasa. Sebelum ini tarif air naik, tarif elektrik naik, tarif telefon naik, perkhidmatan macam biasa juga.

Kerajaan kata kenaikan setem tidak akan membebankan rakyat. Setem pos biasa kini 30 sen, mulai awal Julai akan menjadi 60 sen, iaitu kenaikan 100 peratus. Macam mana kenaikan setinggi itu dikatakan tidak membebankan? Walaupun ada disediakan apa yang dipanggil ‘surat rakyat’ pada harga sama, kenaikan sekali ganda setem itu tetap terkena pada rakyat.

Sebenarnya kenyataan-kenyataan stereotaip itu tidak perlu. Adalah lebih baik kerajaan berterus terang bahawa kenaikan setiap harga barangan dan perkhidmatan pastikan akan menjejaskan kehidupan rakyat. Dan, rakyat kena menghadapi hakikat itu. Biarlah kenyataan itu pahit, mudah-mudahan ia menjadi ubat. Tidak guna kata-kata lunak, sebab akhirnya rakyat muak.

Tulisan- ABD JALIL ALI dan dipetik dari Sinar Harian.







3 ulasan:

Omen Necrofis berkata...

BN = Barang Naik

ice♥ice berkata...

roti canai dLm gambar tu nmpk sedap..heheh..

LKTP1436 berkata...

Terima kasih Omen Necrofis dan Icewise.