04 November 2009

iPHONE 3G, HONDA ACCORD & BERAS ST15

Petang tadi saya berbicara dengan seorang teman lama. Anak muda ini berusia awal 30an, sudah berumahtangga. Sambil minum petang, saya memerhatikan dua handphone yang diletakkan di atas meja -- satu iPhone 3G dan satu lagi Nokia E71. Dia memandu Honda Accord. Dari nombor plet, saya menjangkakan kereta itu masih baru.

Perbincangan kami berkisar kepada hal ehwal politik kepartian. Begitulah, setiap kali bertemu teman-teman, mereka akan memulakan topik politik walaupun saya cuba mengelak. Menjemukan bercakap politik sepanjang masa.

Teman itu mengkritik Kerajaan Pusat yang melakukan banyak perkara yang pada pandangannya adalah salah. Dato' Seri Najib Tun Razak salah. Tan Sri Muhyiddin Yassin pun salah.

Hati kecil saya berkata, "Ah, dia mesti penyokong Pakatan Rakyat."

Ternyata, tanggapan saya itu salah apabila tidak lama kemudian dia mula mengkritik kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abd Razak dan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Saya garu kepala yang tidak gatal. Rupa-rupanya semua orang tak kena. Saya cukup percaya sekiranya seseorang yang tidak mengenali dia akan terpesona dengan kata-katanya. Gayanya nampak mantap.

Bagaimanapun, oleh kerana kami dulu belajar di sekolah rendah yang sama, saya tahu sangat tentang keluarganya. Walaupun dia hidup mewah di Kuala Lumpur, ibu dan ayah masih tinggal di rumah usang di kampung.

Saya percaya beliau boleh melakukan banyak perkara untuk mengeluarkan ibu dan ayahnya dari kesukaran hidup kalau dia mahu. Saya tidak dapat menerima apabila anak hidup mewah di bandar, sedangkan ibu dan ayah tua terdampar dalam kesusahan di kampung.

Ternyata dia tidak mahu berkorban. Dia lebih rela ibu dan ayahnya terus tinggal di rumah kayu usang. Mungkin untuk melindungi rasa bersalah itu, dia banyak bercakap mengenai apa yang patut kerajaan lakukan -- bukannya apa yang patut dia sendiri lakukan kepada keluarganya.

Melalui pelbagai dasar-dasar pembangunan, kerajaan telah mengeluarkannya dari lingkaran ganas kemiskinan. Dulu anak miskin berkaki ayam, kini dia hidup senang. Sepatutnya dia memanfaatkan kedudukan sekarang untuk menentukan kehidupan yang lebih selesa untuk ibu dan ayahnya.

Malangnya dia tak sanggup berkorban iPhone 3G dan Honda Accord. Tanpa rasa bersalah dia membiarkan ibu dan ayahnya menjadi penerima bantuan zakat dan tentunya selepas ini masuk dalam senarai penerima bantuan kupon beras ST15!


Di petik dari blog Nobisha

Tiada ulasan: