08 Julai 2009

Felda membuat pemotongan 20% dari jualan sawit ?

Berita ini saya petik dari blog The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah tulisan sdr. Hj. Suhaimi Said, seorang peguam terkemuka/Veteran, di Pahang.

Ikutilah lapuran seterusnya dari beliau ......................




Sudiro bin Ahmad Dini (kiri) dan Md Zin bin Awang
=======================================
Lebih 100 orang Peneroka Felda Jengka 9, Bandar Jengka, Pahang akan membuat laporan kepada SPRM terhadap Pengurus Felda Jengka 9 kerana Pengurus tersebut telah memotong 20% daripada pendapatan peneroka-peneroka yang menjualkan buah sawit mereka kepada Kilang Sawit Felda.

Dua orang wakil peneroka tersebut telah menemui saya di Pejabat saya pada 8hb Julai 2009, iaitu En Md Zin bin Awang dan En Sudiro bin Ahmad Dini, dan mereka mewakili rakan-rakan mereka seramai lebihh kurang 100 orang.

En. Md Zin menerangkan bahawa kesemua 100 lebih peneroka tersebut telah menanam semula sawit di kebun masing-masing tanpa sebarang bantuan dan pertolongan Felda. "Usahkan bantuan, kami nak beli anak sawit dan baja dari Felda pun, tidak dibenarkan oleh Felda", kata Md Zin, "Tetapi apabila kebun kami sudah mengeluarkan hasil, Felda membuat potongan terhadap pendapatan kami, seolah-olah kami mengerjakan kebun kami Felda."

En Md Zin berkata bahawa semua peneroka-peneroka yang menanam secara bersendirian sangat tidak puas hati kenapa Felda mesti memotong 20% pendapatan mereka, dan potongan itu pula dibuat tanpa mengeluarkan apa-apa resit dan bukti, "dipotong begitu saja," katanya.

Sebelum ini Koperasi Peneroka Felda Jengka 9 memilikki Lesen MPOB dan peneroka-peneroka Felda Jengka 9 boleh membuat timbangan sendiri, dan Koperasi pula mendapat bayaran untuk membolehkan peneroka-peneroka mengadakan khidmat bas kepada anak-anak peneroka yang bersekolah diluar daripada kawasan Jengka 9.

Tetapi sejak Lesen MPOB dibatalkan dan semua timbangan dan jualan mesti dibuat kepada Kilang Sawit Felda di Jengka 8, pendapatan kepada Koperasi telah hilang dan Koperasi tidak lagi berupaya menyediakan khidmat bas persekolahan itu kerana kos yang tinggi untuk membeli minyak, gaji pemandu dan kos pembaikan bas.

Kini Felda dan Kilang Sawit Felda memonopoli pembelian dan timbangan buah kelapa sawit dan mereka mengenakan potongan yang tidak munasabah. "Kami, peneroka-peneroka yang menjalankan tanaman secara bersendirian menentang tindakan Felda ini kerana Felda telah menyempitkan pendapatan kami yang mempunyai tanggungan berat untuk keperluan keluarga dan persekolahan anak-anak," kata En Md Zin.

En Md Zin berkata lagi bahawa bukan sekadar peneroka-peneroka yang menanam bersendirian sahaja yang menentang tindakan Felda memotong 20% pendapatan itu, bahkan peneroka-peneroka yang menanam semula melalui agensi Felda juga tidak bersetuju dengan potongan itu, dan mereka juga akan mengambil tindakan kepada Felda, dan jika sekiranya Felda berdegil, maka mereka akan memberikan jawapan mereka semasa Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Sementara itu, En Md Zin menyatakan bahawa Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil cawangan Jengka 9 akan mengadakan perjumpaan dikalangan ahli-ahli mereka pada 26hb Julai 2009 di Dewan JKKR Felda Jengka 9 jam 2.00 petang. Perjumpaan itu akan dihadiri oleh beberapa orang peguam yang telah dilantik mewakili mereka.

Haji Suhaimi Said,
Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda,
Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.
8hb Julai 2009.



Begitulah lapuran berkaitan kegiatan peneroka felda, apa pendapat anda ?










05 Julai 2009

Lagi terpedaya melalui internet

Rasanya tidak salah, untuk saya sekali sekala memetik lapuran dari akhbar, sekurang-kurangnya boleh disimpan untuk dijadikan ingatan dan ikhtibar bagi kita semua yang begitu ghairah dengan sesuatu yang baru dari internet.

Ini dia kisahnya yang di alami oleh sepasang suami isteri di Kuala Lumpur..............

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Hajat sepasang suami isteri ini ialah untuk mendapatkan pulangan lumayan hasil pelaburan mereka melalui Internet.

Tetapi malangnya selepas menambah pelaburan sehingga sebanyak RM30,000 dan berhenti kerja untuk menumpukan bisnes dalam Internet itu, rupa-rupanya ia hanya tipu helah belaka.

Kisahnya bermula apabila pasangan itu mendaftar di sebuah syarikat yang menawarkan kerja memasukkan data kononnya untuk kegunaan pasar raya besar terkemuka dunia, Wal-Mart.

Mereka membuat pelaburan awal sebanyak RM3,120 untuk membuka tiga akaun di syarikat itu sejak Februari lalu dan tidak curiga kerana pelaburan membuahkan hasil.

Sebagaimana dijanjikan iaitu RM600 sebulan bagi setiap akaun yang dibuka, pasangan itu berjaya memperoleh RM3,600 untuk tempoh dua bulan pertama.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Eshwar, 40-an menceritakan, setelah membuka akaun mereka diberikan kata laluan untuk mengakses laman web syarikat tersebut bagi kegunaan memasukkan data-data yang diberikan setiap hari.

"Tugas pemegang akaun ialah memasukkan kesemua 30 data yang dimuat turun dari laman web itu ke dalam ruangan disediakan," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

Beliau berkata, data-data tersebut didakwa transaksi pembelian barangan secara online dari seluruh dunia untuk pasar raya besar Amerika Syarikat, Wal-Mart.

"Kami yakin dengan pulangan itu dan mengeluarkan wang simpanan RM30,000 pula untuk membuka 27 lagi akaun, dua minggu lalu.

"Saya juga telah meletakkan jawatan sebagai jurufoto di sebuah syarikat pengurusan majlis untuk memberi tumpuan kepada kerja itu," katanya.

Beliau berkata, malangnya minggu lalu, laman web syarikat itu tidak lagi dapat diakses dan kunjungan ke pejabatnya pula mendapati ia telah ditutup dan tidak lagi beroperasi.

"Semasa ke pejabat syarikat itu, kami menemui ramai yang menjadi mangsa. Rupa-rupanya ada yang lebih malang dengan kerugian RM120,000.

03 Julai 2009

Peneroka felda kota gelanggi 01, boleh ambil balik geran di pejabat

Hari ini semasa mempengerusikan mesyuarat khas mengenai perlantikan AJK baru koperasi felda kota gelanggi 01, En. Hamid selaku pengurus felda telah mengambil sedikit peluang memberi tahu bahawa sesiapa diantara peneroka yang telah menyerahkan gerannya kepada felda semasa menyerahkan tanahnya untuk di uruskan oleh felda beberapa tahun dahulu, boleh mengambil kembali geran tersebut.

Alasan En.Hamid ialah, sewaktu beliau menjadi penolong pengurus di felda padang piol dahulu, tiada pula dikenakan syarat bahawa sesiapa yang mahu menyerahkan tanahnya kepada felda mesti menyerahkan geran.

Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk menyerahkan semua geran milik peneroka yang di pegang oleh pihak pengurusan rancangan kepada peneroka semula.

Saya sebagai salah seorang peneroka menyambut baik keputusan En. Hamid tersebut, walau pun saya tidak terlibat kerana geran saya memang berada didalam simpanan saya sejak dahulu.

Tetapi pelik juga, kenapa selama ini geran tersebut di simpan oleh oleh pihak pengurusan felda kota gelanggi 01, sedangkan di tempat lain tidak pula mengenakan syarat sebegitu rupa.

Walau macam mana pun terima kasihlah kerana felda sudi menyerahkan kembali geran tersebut, walau pun hutang peneroka dengan felda belum pun di lakukan pemotongan lagi.

Sebenarnya di kalangan orang kampung dan peneroka felda di seluruh negara, geran adalah lambang kebebasan seseorang didalam hidupnya, dengan memiliki geran tanah yang tertera namanya tertulis didalam geran tersebut, bermakna orang tersebut adalah pemilik sebenar tanah itu, begitulah pentingnya geran terhadap hidup petani.

Setelah bertungkus lumus sewaktu diawal menjadi peneroka felda dahulu, akhirnya setelah selesai membayar hutang, peneroka diserahkan geran tanah, tetapi terpaksalah pula membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri, sebagaimana syarat yang telah ditetapkan, malangnya ada juga segelintir peneroka yang mengabaikan tugas tersebut.

Di khabarkan ada diantara peneroka yang tidak membayar cukai tanah sejak dari mula menerima geran tanah sehingga sekarang ini, tetapi bilangannya kecil sahaja, walau macam mana pun, tindakkannya itu pasti akan menyusahkan dirinya di satu masa nanti.

Begitulah liku-liku hidup difelda yang kini telah meningkat tarafnya menjadi felda global............






02 Julai 2009

Bakke Salleh Presiden Felda Global ?

Teruja sungguh saya setelah menatap berita mengenai felda di utusan malaysia hari ini dengan tajuk Perdana Menteri lancar Felda Global dan Felda perlu jadi syarikat multinasional.

Berita pertama menyebut bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sekarang adalah masanya untuk Felda menjadi sebuah syarikat multinasional (MNC) dalam bidang pertanian multi-crop di peringkat antarabangsa.

Najib seterusnya berkata ‘‘Misi utama Felda Global ialah untuk membangunkan kekuatan dalam empat bidang perniagaan iaitu pertanian, minyak dan lemak, oleochemical serta logistik di peringkat antarabangsa,’’

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Felda Global yang menandakan bermulanya perjalanan Felda untuk mengembangkan aktiviti di luar negara dengan menetapkan pelaburan bernilai RM6 bilion dalam tempoh lima tahun di sini hari ini.

Najib berkata, wawasan beliau bagi syarikat tersebut ialah agar menjadi sebuah institusi yang mempunyai modal insan yang berkepakaran, membudayakan kejayaan berprestasi tinggi dan berpegang kepada standard yang tinggi dalam nilai-nilai utama.

Ujar beliau, ahli lembaga pengarah dan pengurusan Felda Global mempunyai tanggungjawab yang mencabar bagi menukar Felda menjadi MNC bertaraf dunia serta dihormati dalam bidang pertanian multi-crop.

‘‘Dengan adanya syarikat baru ini yang merupakan sayap komersial, Felda akan lebih jelas dalam arah yang dituju serta tanggungjawab perlu dilaksanakan bagi mencapai wawasan kerajaan bagi tempoh 50 tahun akan datang.

‘‘Struktur baru ini akan membolehkan Felda melaksanakan polisi pentadbiran dengan lebih cekap dan berwibawa bagi pelaburan komersial berdasarkan kepada tadbir urus antarabangsa serta lebih jelas dalam menterjemahkan peranan serta tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

Najib memberitahu, pengasas Felda dulu yang berani mengharung banjir, cuaca yang tidak menentu, berhadapan dengan keadaan yang merbahaya serta kawasan muka bumi yang sukar bagi meletakkan Felda dalam kedudukan yang dihormati sekarang.

Sehubungan itu, katanya, pengurusan Felda Global juga perlu tabah menempuh pelbagai cabaran yang akan dihadapi dalam usaha mencapai misi yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

‘‘Kita sekarang tinggal di dalam dunia tanpa sempadan yang mana ‘padang permainan’ telah diratakan dengan sekatan perdagangan telah dihapuskan yang menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia telah berusaha untuk melabur di luar negara.

‘‘Syarikat-syarikat ini tahu bahawa risiko yang dihadapi adalah tinggi dan keuntungan hanya bagi tempoh jangka pendek serta sederhana tetapi menyedari, untuk berjaya, mereka perlu mengerakkan inovasi dan mengadakan kerjasama yang betul bagi bersaing dalam keadaan sekarang,’’ katanya.

Najib memberitahu, Felda Global juga perlu melaksanakan perkara tersebut, jika tidak syarikat ini hanya akan beroperasi di negara sendiri dan paling buruk akan mendapati produk yang ditawarkan tidak lagi sesuai berikutan persaingan yang sengit.

Begitulah harapan dan semangat Najib semasa melancarkan projek Felda Globalnya, kita sebagai peneroka felda hanya mendoakan semoga Felda Global bakal meraih kejayaan.

Persoalan yang bermain dikepala saya ialah mengenai perlantikan Datuk Mohd. Bake Salleh sebagai Presiden Kumpulan Felda Global, ini adalah kerana sebelum ini sudah terdengar desas desus bahawa kononnya Datuk Bakke ini membawa masaalah kepada keuntungan felda.

Amatlah malang jika desas desus berkenaan adalah benar, lebih malang lagi jika Datuk Najib mengetahui perkara ini tetapi masih melantiknya sebagai Presiden Felda Global, malah bertambah malang jika sesudah bertahun-tahun nanti kehadapan, baru di ishtiharkan kononnya felda kerugian berbilion ringgit akibat pelaburannya di luar negara.

Diketika itu nanti di sebutkan bahawa antara punca kerugian ialah kerana dibawah Bakke Salleh tersebut, perbelanjaan adalah tidak terkawal, serta banyak dihabiskan kepada perkara-perkara yang tidak penting serta membazir akibat untuk menjaga imej koperat.

Begitulah selalunya yang berlaku, andainya ini yang berlaku nanti, maka tamatlah keagungan felda seperti mana tamatnya zaman keagungan MAS, akhirnya kita melihat betapa sukarnya Idris Jala untuk memulihkan semula MAS.

Somoga ini hanyalah khayalan saya sahaja dan diharapkan perkara ini tidak akan berlaku, kerana jika ianya berlaku, sudah tentu ia adalah satu malapetaka besar bagi seluruh peneroka felda.

Felda Logo


01 Julai 2009

Kecanggihan yang mengelirukan

Hari ini heboh di kedai kopi, biasalah peneroka ni, kalau tidak berpuas hati tentang sesuatu hal, maka kedai kopi adalah tempat yang pertama bagi mereka untuk meluahkan perasaan, perkara yang menjadi ketidakpuasan hati mereka pula adalah berkaitan dengan penyata hutang peneroka yang baru sahaja diterima setelah di pohon sejak tahun lepas.

Sebenarnya dimana-mana felda pun akan kedapatan tiga golongan, iaitu yang pertama ialah mereka yang menyerahkan terus pengurusan kebun mereka kepada felda, yang kedua mereka yang dulunya menyerahkan kepada felda tetapi mengambilaleh pengurusan dan menguruskannya sendiri, manakala yang ketiga ialah mereka yang dari awal mengusahakan sendiri dan terus menguruskannya sendiri sampai sekarang.

Yang bising di kedai kopi tadi adalah dari golongan yang dulunya menyerahkan kepada felda tetapi sudah mengambil aleh dan menguruskan sendiri kebun mereka sampai sekarang.

Yang dua golongan lagi senyap, sama ada mereka sudah berpuashati atau sengaja tidak mahu ambil kisah.

Setelah mendengar rungutan sebegitu rupa, maka saya pun kononnya cuba bertindak menjadi hakim yang tidak dilantik, oleh itu saya pun ke pejabat felda kota gelanggi 01.

Disana saya cuba untuk mendapatkan gambaran yang sebenarnya sambil menyemak hutang saya sendiri, setelah diamati, memang betullah seperti yang dibisingkan oleh peneroka tersebut, rupa-rupanya penyata tersebut memang bercelaru, yang patut hutang sedikit jadi banyak, yang patut banyak jadi sikit.

Saya sendiri yang tidak mengambil sara hidup, tertulis mengambil sara hidup dengan hutangnya sama dengan orang lain, apa punya akaun ni........

Kata felda canggih sangat, pakai on-line, tapi penyatanya macam orang duduk kat ulu sungai Serawak, maka saya pun beritahu kepada pengurus, bahawa saya menolak penyata tersebut dan mahukan penyata baru yang menepati hutang sebenar.

Oleh itu dibawah ini adalah penyata rakan-rakan saya, penyata saya tidak disertakan kerana saya tidak menerimanya. ........................


Walaupun dibawahnya tertulis bahawa penyata tersebut hanyalah sementara dan akan di betulkan kemudian jika ada kesilapan, tetapi jika tidak di beritahu dan dibetulkan, maka penyata tersebut kekallah seperti diatas.

28 Jun 2009

Menunggu lampu aladdin ..................

Setelah lebih dari dua minggu saya tidak melapurkan apa-apa, maka hari ini saya kembali membawa kisah tempatan, perkara yang akan saya lapurkan adalah berkaitan mesyuarat agung tahunan kali ke-31 bagi koperasi serbaguna jaya felda kota gelanggi satu berhad.

Kehadiran adalah lebih dari 350 orang tetapi seperti biasa, yang menunggu sehingga akhir mesyuarat tak ramai mana, yang lain mengambil tindakan sain buku kehadiran dan balik, matlamat ialah untuk mendapatkan elaun kehadiran 10% dari jumlah saham.

Yang merasmikan pun hanyalah pengurus rancangan En. Hamid, walau pun pada asalnya sepatutnya yang hadhir ialah seorang pegawai suruhanjaya koperasi malaysia, malangnya beliau tidak datang.


Dari lapuran yang di bentangkan memanglah diakui bahawa koperasi ini sedang nazak, tunggu masa sahaja untuk menghembuskan nafasnya yang terakhir, telan ubat apa pun, rasanya tiada harapan lagi untuk pulih, kecuali ada lampu aladin yang boleh menyelamatkannya.


Antara punca kenapa sampai penyakitnya tiada ubat macam orang kena penyakit aids ialah, perbelanjaan melebihi pendapatan, sudah pelbagai cara di cuba, malangnya semakin di ubati semakin teruk sakitnya.

Tahun lepas di cuba memasuki bidang kontrak pertanian, mengambil upah meracun, membaja dan lain-lain, malangnya bukan keuntungan yang di perolehi tetapi kerugian, jumlah kerugian pula bukan sedikit, lebih dari RM50,000, wang tahanan amanah RM20,000 habis begitu sahaja akibat sering didenda oleh felda plantation.



Kalau dah kerugian sebanyak itu apa yang nak di lakukan lagi, ada lori kargo dan di buat sewa, habis kena jual oleh penyewa, semuanya berlaku kerana kecuaian pengerusi ketika mahu memperbaharui road tax, diberikannya geran lori tersebut kepada penyewa, apa lagilah, kena pulak penyewa yang berjurus, (dialek kelantan) licin..........

Buat lapuran polis, sampai sekarang tak ada apa-apa ................... masuk angin keluar asap.

Begitulah lebih kurang yang dapat saya sampaikan untuk mengisi blog saya kali ini................
entah bila pulak saya akan menulis lagi.................. ngape gitu weh......entoh malas je..........







11 Jun 2009

Mazlan Aliman di felda kota gelanggi 01

Setelah sekian lama nama Mazlan Aliman tersebar ke seluruh pelusuk felda, ianya disebarkan oleh kerana peranannya sebagai Presiden persatuan anak-anak peneroka felda atau singkatannya ANAK dan juga sebagai salah seorang AJK pusat PAS yang baru terpilih di muktamar PAS baru-baru ini.

Maka pada malam tadi Mazlan Aliman telah hadhir disatu majlis ceramah anjuran pemuda PAS kawasan Jerantut di felda kota gelanggi 01.

Saya yang pertama kali mengikuti ceramahnya dan melihatnya dari jarak dekat, mendapati corak ceramahnya ada sikit-sikit gaya Hj.Hadi, dan alunan pidatonya tidaklah menarik sangat, cuma sekadar biasa-biasa sahaja.

Pada malam tadi beliau ada menyentuh sedikit perihal kerajaan perpaduan, dan didalam penjelasan singkatnya berkaitan kerajaan perpaduan ini, saya dapati beliau mengambil pendekatan yang salah, beliau menyalahkan Umno kononnya menggembar gemburkan perkara ini, sedangkan perkara tersebut tidak benar.




Sebagai seorang yang meletakkan kebenaran dihadapan, saya tidak boleh terima penjelasan yang sebegitu rupa.

Amat jelas dan nyata kerajaan perpaduan ini di mulakan oleh Hj.Hadi dan Nasharuddin Mat isa, tetapi lebih 80% ahli PAS diseluruh negara tidak boleh terima projek Hj.Hadi tersebut, namun munkin oleh kerana Mazlan Aliman tiada idea untuk menepis atau kurang maklumat berkaitan kerajaan perpaduan tersebut, maka beliau mengambil pendekatan menafikan perkara tersebut dan menyalahkan Umno.

Masaalah utama mengambil pendekatan sebegitu rupa ialah, dikalangan orang-orang yang tahu, kredebeliti Mazlan Aliman telah tercalar, didalam isu-isu lain beliau akan dianggap sebagai seorang yang suka mengambil jalan mudah, kurang berpengetahuan dan suka menyalahkan orang .

Oleh sebab itu apabila di fasa kedua ceramahnya, dan beliau menyentuh berkaitan felda dan peranan anak-anak syarikatnya, maka saya mula menjangkakan situasi yang sama akan berlaku dan saya dapati telahan saya agak tepat.

Beliau banyak menggunakan kaedah membuat perbandingan, contohnya bagaimana beliau menyebut bahawa Yusof Noor sebagai pengerusi felda dan anak-anak syarikatnya mendapat alaun hampir bernilai RM100,000 sebulan, manakala peneroka yang bertungkus lumus menjayakan felda tidak mendapat faedah yang setimpalnya.

Beliau juga menyebut perihal ada anak peneroka felda yang menyewa stor sebagai kediaman kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Hutang peneroka semakin banyak, ditambah lagi dengan pinjaman perumahan maka nilainya telah mencapai ke ratusan ribu ringgit, adalah di khuatiri hutang tersebut tidak akan habis sampai kemati.

Beliau juga mengimbas kembali bagaimana semasa mula-mula masuk rancangan dahulu, peneroka telah terpaksa membayar semua kos pembangunan, rumah, tanah, termasuk cangkul, parang dan benih rambutan.

Setelah saya teliti keseluruhan isi ceramahnya, saya dapati ceramah Mazlan Aliman sebenarnya sangat mudah di tepis, tetapi oleh kerana felda tiada keyakinan diri, atau felda sememangnya tidak tahan di kritik,, maka terjadilah isu sehingga majlis belia felda bertindak membakar buku tulisannya " felda dulu tolong kini along", tindakkan tersebut hanyalah menyebabkan beliau lebih dikenali ramai dan semakin popular.

Sebagaimana di ketahui umum, felda dan umno sangat marah kepada beliau, tetapi jika kita amat-amati, ada juga baiknya wujud orang seperti beliau. Secara peribadi walaupun saya bukan bersetuju dengan beliau seratus peratus, tetapi saya tetap menghormati perjuangannya.

Munkin ada orang mengatakan bahawa beliau berjuang demi kepentingan cita-cita politiknya,
tetapi didalam politik mana ada orang yang tidak ada cita-cita politik, semua orang politik ada cita-cita dan mengidam menjadi pemimpin negara satu hari nanti.

Tanpa orang politik, siapa nak membela kita, pemimpin umno juga ada cita-cita politik, dan mereka juga pernah berjasa melalui politik, oleh itu tidak salah Mazlan Aliman menjadikan perjuangan membela peneroka felda dan generasi kedua sebagai asas perjuangannya.

Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan jajaan Hj.Hadi kerana katanya kerajaan tanpa pembangkang adalah seperti manusia tanpa cermin, siapa nak tegur kerajaan jika tidak ada pembangkang.

Begitu juga tanpa Mazlan Aliman, siapa nak tegur felda, siapa berani, semuanya kecut perut, semuanya nak bodek, walau pun tidak semua apa yang diperkatakan oleh Mazlan Aliman itu betul, tetapi tidak munkin semua juga salah.

Kepada generasi felda yang terpengaruh dengan felda dan marah kepada Mazlan Aliman, fikirlah
walau pun pada pandangan kita kononnya Mazlan Aliman tidak tahu berterima kasih kepada felda dan kerajaan, tetapi dengan wujudnya orang-orang seperti inilah menyebabkan felda dan kerajaan terpaksa berhati-hati semasa menguruskan tanah peneroka.

Oleh itu didalam keburukan itu kadangkala ada kebaikannya, dan kalau kita membenci usah membenci semuanya dan kalau sayang pun berpada-padalah.