26 Ogos 2009

Puasa dulu - dulu

Oleh kerana saya orang lama ( tak mau mengaku tua tu....) maka tentulah banyak nostalgia dulu-dulu kalau mahu di coretkan.

Orang dulu-dulu (sekitar awal tahun 60an) berbuka berpuasa tidak sama dengan orang-orang sekarang Puasa, dulu berbuka Puasa dengan kueh-kueh kampung je, pulak tu sebelum nak buat kueh, bukan main seksanya, apa tidaknya, beras pulut ke, beras gansar ke ( org Pahang panggil beras biasa yg kita makan sekarang " beras gansar " ) sebelum boleh di buat kueh, kena kisar dulu, pulak tu pengisarnya di perbuat dari batu, masa mengisarnya makan masa sejam juga, setelah siap di kisar, ditapis pulak dengan kain putih, setelah itu barulah melalui proses seperti sekarang.

Tetapi seksanya masih belum tamat, masak pakai kayu api, nak menghidupkan api bukannya mudah macam kita pakai gas sekarang, sekali petik je dah menyala, dulu kena racik kayu api tersebut kecil-kecil, selepas tu di bakar sesuatu seperti getah sekerap ke, atau apa sahaja yang mudah menyala sebagai penghidup api tersebut, setelah itu kena tiup pulak kearah api, puas meniup menggunakan buluh yang berlubang barulah menyala, pendek kata proses memasak memakan masa yang lama dan menyeksakan.

Beras pulak kalau nak dimasak nasi, bukannya boleh diambil dari dalam kampit dan dicurah terus kedalam periok, padinya kena tumbuk dulu didalam lesung, tentu orang sekarang akan tanya apa itu lesung ? susah nak cerita, (nasib baik saya tanya encik google dan dia ada memberikan gambarnya di sini )

Sebelum ditumbuk padi tersebut kena jemur dipanas matahari terlebih dahulu, kalau cuaca tak panas contohnya di musim hujan kena salai pulak, oi.....nak makan nasi bukannya mudah.

Lauk pulak kena cari dan tangkap sendiri, kalau di tepi Sungai Pahang, kena pakai tajor, aran, setapu dan aneka jenis lagi alat tangkapan tradisional yang saya sendiri nak menyebut pun tak tahu.

Kalau rumah tepi paya, tangkaplah ikan paya seperti ikan ruan, keli, puyu, sepat dan lain-lain lagi, dengan menggunakan serkap, bubu, candik dan sebagainya.

Tentang keseronokan menagkap ikan ini susah nak digambarkan, tetapi cukup kalau saya katakan sangat seronok, masa itu ikan sangat banyak dan mudah mendapatkannya kalau kena musimnya, tetapi bila diluar musim, alamat makan nasi dengan ikan kering dan sambal lada sahajalah.

Masa nak berbuka, bagi yang ada Radio bolehlah mendengar Azan melalui Radio, tetapi bagi yang tiada Radio, kena tengok bulu roma, jika tak nampak bulu roma barulah boleh berbuka, masa tu rumah dikampung-kampung antara sebuah rumah dengan rumah yang lain bukannya dekat, munkin jaraknya 500meter atau 1 km sekarang.

Bersahur begitu juga, kadang-kadang munkin akibat berjaga sikit, terus tertidur sehingga siang, langsung tidak sempat bersahur, jam loceng masa tu tak ramai yang memilikinya walau pun jam loceng sudah ada.

Begitulah lebih kurang kisah orang dulu-dulu berpuasa dan bersahur .....







Tiada ulasan: