27 Oktober 2011

Benarkah, Pelaburan melebihi had: FELDA terdedah kepada risiko ?

 
Sejak dikuasai Perdana Menteri Najib Razak, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula terpesong dari objektif utamanya, iaitu bertunjangkan pembangunan tanah pertanian, dan pelaburan sebagai sampingannya - kepada sebuah agensi pelaburan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati bahawa dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan untuk tiga tahun berturut-turut, malah memperbarui rekod tertinggi dari tahun ke tahun.

Ketua Audit berpendapat, "Penggunaan dana akaun FELDA yang melebihi had telah mendedahkan dana tersebut kepada risiko pelaburan saham siar harga melebihi daripada yang telah diluluskan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA.  Ini boleh menjejaskan kemampuan kewangan dan memberi kesan kepada operasi serta aktiviti utama FELDA jika pelaburan yang dijalankan tidak dapat memberikan keuntungan yang dijangkakan."

Pada masa yang sama, tindakan ini seolah-oleh memaksa peneroka FELDA untuk menanggung risiko pelaburan yang lebih tinggi, tanpa disedari peneroka FELDA.

FELDA ditubuhkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 pada 1 Julai 1956, dan telah dipinda kepada Akta Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) (Pindaan 1991).  Objektif penubuhan FELDA adalah untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif, melaksanakan projek pembangunan tanah dan menggalakkan pertumbuhan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, FELDA telah membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio bagi mendapat pulangan yang optimum.  Sehingga tahun 2010, FELDA telah membuat pelaburan bernilai RM5.55 bilion termasuk pelaburan dalam saham siar harga berjumlah RM891.34 juta.

Malah, pihak Audit mendapati dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan iaitu 24% seperti yang ditetapkan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan FELDA.

Lebihi had untuk tiga tahun berturut-turut

"Pelaburan dalam saham siar harga dan tidak siar harga yang menggunakan dana Akaun FELDA pada tahun 2010 adalah sejumlah RM3.14 bilion atau 68.5%, tahun 2009 sejumlah RM2.28 bilion atau 70.7% dan tahun 2008 sejumlah RM713.20 juta atau 31.8%," menurut Laporan Ketua Audit.
Apa yang perlu diambil perhatian adalah, lebihan pelaburan adalah sebanyak 44.5% bagi tahun 2010, 46.7% bagi tahun 2009 dan 7.8% bagi tahun 2008.

Menurut agihan sumber dana pelaburan portfolio, dana dalam akaun FELDA hanya dibenarkan untuk melabur di Ekuiti Tempatan (24%), Ekuiti Asing (10%), Bon Kerajaan, Bon Korporat dan Sekuriti Hutang Persendirian termasuk Bon Islamik (6%), selain Tunai, Pasaran Wang dan Deposit Amanah (60%).

Sehingga akhir tahun 2010, FELDA telah melabur sejumlah RM891.34 juta dalam saham siar harga.  Pelaburan yang dibuat daripada Akaun FELDA berjumlah RM355.42 juta atau 39.9% manakala sejumlah RM535.92 juta atau 60.1% daripada Akaun Peneroka.

Tiada pakar pelabur

Analisis Audit mendapati pelaburan saham siar harga FELDA berjumlah RM891.34 pada tahun 2010 meningkat sejumlah RM106.45 juta atau 13.6% berbanding sejumlah RM784.89 juta pada tahun 2009.  Nilai pasaran pelaburan saham siar harga pada tahun 2010 adalah RM4.43 bilion dengan keuntungan tidak nyata berjumlah RM3.54 bilion atau 397.1%.  FELDA telah memperoleh pendapatan dividen pada tahun 2010 berjumlah RM166.14 juta 18.6%, tahun 2009 berjumlah RM101.15 juta atau 12.9% dan RM138.62 juta atau 20% daripada jumlah pelaburan.

FELDA juga telah mengalami kerugian tidak nyata terkumpul yang berjumlah RM50.14 juta melibatkan 12 kaunter saham bagi tempoh 31 Disember 2008 hingga 30 November 2010.  Daripada kerugian tersebut, sebanyak empat kaunter saham iaitu Syarikat PK Resources Berhad, Takaful Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Tradewinds Corporation Berhad telah mengalami kerugian berterusan sejak tahun 2008.

Bagaimanapun, lapan daripada 12 kaunter telah membayar dividen kepada FELDA berjumlah RM33.11 juta bagi tahun 2008 hingga 2010.

Sementara itu, Ketua Audit mengingatkan bahawa pengasingan tugas merupakan mekanisme kawalan dalaman yang penting bagi memastikan wujudnya kawalan dalam proses urus niaga saham.  Semakan Audit mendapati FELDA tidak mempunyai pengasingan tugas yang jelas bagi urus niaga saham selaras dengan amalan yang baik.

Selain itu, FELDA tidak mempunyai pegawai pelaburan atau pegawai penyelidik pelaburan yang mempunyai kepakaran dan kompetensi untuk membuat analisis prestasi pelaburan FELDA.  "Ini adalah penting bagi memastikan kajian dan pemantauan pelaburan dapat dibuat secara menyeluruh," menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 25 Oktober 2011.

Rencana diatas di petik dari akhbar internet Merdeka Review




Catitan Penulis -


Sebagai seorang peneroka, sudah tentulah saya terlibat sama dengan projek penyenaraian Felda Global Ventures  yang akan berlangsung tidak berapa bulan lagi itu,  oleh kerana peneroka ini bukanlah tergolong dikalangan orang yang pandai, maka terpaksalah kita berusaha mencari maklumat tambahan dari lain-lain sumber dan tidak boleh bergantung kepada penerangan dari akhbar, tv dan media perdana lainnya  selain  dari penerangan kakitangan felda .


Wakau macam mana pun saya sedar bahawa saya tidak boleh mempercayai semua berita yang sampai, baik dari pihak felda, mahu pun dari kalangan pihak pembangkang.


Ini adalah kerana mereka semua ada peranan dan kepentingan masing-masing, apakah benar setelah penyenaraian nanti, kehidupan peneroka felda akan lebih baik ?


Bagi saya pengalaman sudah memberikan pengajaran bahawa kehidupan peneroka banyak bergantung kepada kitaran harga buah kelapa sawit atau getah, jikalau baik harga kedua-dua bahan komoditi tersebut maka baikklah pendapatan bulanan peneroka, jika tidak, alamat melepeklah para peneroka menghadapi kehidupan mereka.


Didalam menghadapi keadaan ini, saya berharap agar para pemimpin kita, terutama Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak, di jauhi dari bersifat buruk yang mahu menjadikan felda sebagai batu loncatan bagi mencapai cita-cita peribadi, seperti yang di gembar-gemburkan oleh parti pembangkang.


Walau macam mana pun, amaran cerdik pandai dari parti pembangkang tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana sejarah juga menunjukkan bahawa kebimbangan mereka ada kebenarannya.


Begitu juga, sejarah pernah menunjukan bahawa telahan pembangkang pernah ada yang tersasar jauh dari sasarannya, begitulah hakikat manusia, kita berusaha dan tuhan juga yang menentukannya.........wallahhuaqlam.









1 ulasan:

Nizam berkata...

Akan datang gone la gamoknye....