20 Jun 2010

Najib pertahan pelantikan Mohd. Bakke


KUALA LUMPUR 19 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan pelantikan Datuk Mohd. Bakke Salleh sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (GCE) Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang baru dengan menegaskan ia dibuat atas faktor kelayakan.

Perdana Menteri berkata, Lembaga Pengarah Sime Darby telah membuat penilaian dalaman selain menggunakan khidmat head hunters (pencari pekerja profesional) untuk menentukan tahap profesionalisme calon jawatan berkenaan.

Tegasnya, pemilihan itu juga dibuat daripada beberapa nama calon yang disenarai pendek untuk menerajui Sime Darby.

"Ada beberapa nama disenarai pendek dan Lembaga Pengarah berpendapat inilah nama yang berada pada senarai teratas untuk mengambil alih (teraju) Sime Darby.

"Dan kalau berdasarkan pengalaman dan trek rekod, memang Mohd. Bakke mempunyai kemampuan untuk memulihkan Sime Darby," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk (PPP) Ke-57, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip mempersoalkan pelantikan Mohd. Bakke yang didakwanya dibuat secara tergesa-gesa tanpa menunggu keputusan forensik audit seolah-olah mahu menutup kelemahan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian konglomerat tersebut.

Sime Darby yang merupakan syarikat perladangan senaraian awam terbesar dunia mengalami kerugian dianggar mencecah RM1.63 bilion.

Mohd. Zahid turut mendakwa Mohd. Bakke pernah dikaitkan dengan kerugian pelaburan Felda Global Ventures (FGV) di Amerika Syarikat dan Arab Saudi yang dikatakan berjumlah hampir RM250 juta.

Mohd. Bakke, 56, sebelum ini telah berkhidmat di pelbagai kapasiti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan antaranya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd., Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Haji dan Pengarah Divisyen Hartanah Pengurusan Danaharta Bhd.

Dalam Perkembangan berkaitan, Perdana Menteri dengan tegas menafikan pelantikan Mohd. Bakke dibuat secara tergesa-gesa.

Katanya, jika kekosongan jawatan itu dibiarkan terlalu lama, masyarakat akan beranggapan pihak Lembaga Pengarah tidak responsif.

"Sebenarnya tidak tergesa-gesa sebab sudah dilakukan proses penilaian dalaman termasuklah oleh pihak ketiga (head hunters).

"Saya nafikan ia dibuat secara tergesa-gesa dan saya berharap semua pihak memberi peluang kepada Mohd. Bakke menjalankan tugas beliau sebab bukan mudah untuk menyelesai dan memulihkan keadaan di Sime Darby," katanya. (teks asal)


Terfikir kita, kalau Mohd Bakke ni bagus sangat, kenapa Felda Global Ventures boleh rugi RM250 juta ?

Ada terdengar kononya kebijaksanaan yang di miliki oleh Mohd Bakke ini ialah, beliau pandai menyembunyikan fakta penyelewengan, sehingga yang terserlah dan mampu dilihat oleh para-para juru audit ialah kerugian biasa yang biasa-biasa dialami oleh mana-mana syarikat, sehingga tidak memunkinkan sebarang tindakan boleh diambil terhadapnya.

Apakah kerana kebijaksanaan ini maka beliau dipilih ?

Kalaulah benar seperti apa yang di bisikkan itu, maka tak tahu nak cakap apa lagilah...............

Bak kata pak pandir moden, ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut diam............




1 ulasan:

lompinlai berkata...

Ada udang disebalik batu...Mudahan Sime Darby akan jadi lebih parah daripada Felda.

Takut lari dari mulut buaya masuk pula mulut harimau.. Hentam saja lah Labu.