02 September 2009

Nasib petani



Harga keledek jatuh

BACHOK 1 Sept. - Petani di beberapa kampung di sini yang mengusahakan tanaman keledek merasa tertekan akibat kejatuhan mendadak harga tanaman itu daripada RM1.20 sekilogram kepada hanya 40 sen sekilogram sekarang.

Pada masa yang sama, mereka terpaksa berdepan pula dengan keadaan cuaca tidak menentu iaitu ada kalanya terlalu panas dan ada hari hujan lebat yang menyebabkan kualiti keledek yang dihasilkan agak rendah.

Seorang petani dari kampung Hujung Repek, Latipah Muda, 35, berkata, pada musim lepas beliau memperoleh hasil jualan sehingga RM6,000 semusim sepanjang tiga bulan diusahakan di kawasan lebih dua hektar, dengan pendapatan purata RM700 sehingga RM1,000 setiap tuaian.

"Bagaimanapun, kebelakangan ini untuk mendapatkan RM100 setiap tuaian agak sukar," katanya.

Seorang lagi petani, Deraman Ya, 51, berkata dahulu beliau mampu meraih sehingga RM2,000 semusim tetapi kini jualan hanya kira-kira RM200 bagi setiap kali tuaian.

"Usahkan nak beli persiapan Ramadan dan hari raya bagi keperluan tujuh orang anak saya, nak beli kuih bagi berbuka puasa pun susah," kata Deraman yang mengusahakan tanaman itu di Kampung Telong.

Beliau merayu bantuan Fama untuk mencari pasaran baru bagi hasil tanaman itu.

Penyelia Pembangunan Mukim Hujung Repek, Mohd Ghazali Ibrahim menyifatkan kejatuhan harga ubi keledek kali ini amat membebankan terutama sekali kepada keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai dan masih bersekolah.

"Saya mengharapkan supaya kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada golongan berkenaan bagi meringankan beban mereka," katanya.

Mohd. Ghazali berkata, kebanyakan petani terbabit sebelum ini bekerja sebagai penanam tembakau tetapi beralih kepada tanaman keledek sebagai menyahut seruan kerajaan yang tidak lagi menggalakkan mereka menanam tembakau. - Bernama


Inilah nasib para petani, pendapatannya sering tidak menentu, tidak pernah tetap, semuanya bergantung kepada pasaran.

Didalam keadaan sebegitu rupa
Ceupacs masih menuntut bonus raya, begitulah keadaan hidup, yang senang mahu lagi senang.

Setiap kali bonus keluar, barang-barang akan naik, yang menjadi mangsa ialah para petani, cuba anda bandingkan keadaan hidup masyarakat petani jika di bandingkan dengan kakitangan awam.

Kakitangan awam mendapat pelbagai kemudahan, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dengan faedah yang rendah atau tanpa faedah langsung, minta pula kemudahan Hospital class satu ............golongan petani dapat apa ?

Nasib.....nasib.





Tiada ulasan: