12 Disember 2010

Cabaran Terbuka kepada Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, ADUN Pulau Tawar

Saya terbaca enrty ini dari blog Sdr Suhaimi Said dan saya dapati ada mutu, oleh itu saya panjangkan ke blog saya ini bagi bacaan kita bersama.........( azinang.blogspot.com )


Peneroka-Peneroka Felda Sebertak, Bera sedang mengadakan mesyuarat untuk menyaman Felda (setakat ini 1000 lebih peneroka gugusan Bera sudah bersedia menyaman Felda kerana tertipu perahan KPG)
==


Saya rojok kepada kenyataan akhbar Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, ADUN Pulau Tawar didalam Sinar keluaran 9hb Disember 2010 muka surat P 7.


Dr Shukri menasihatkan peneroka-peneroka Felda supaya mereka mengimbas kembali sejarah pembentukan Felda untuk pembangunan masyarakat luar bandar.


Beliau menyatakan bahawa kemenangan Peneroka-Peneroka Felda di Kemahang 3 Negeri Kelantan adalah kerana kecuaian Peguam Felda yang tidak menghadiri perbicaraan di Mahkamah.


Katanya bahawa didalam kes itu Felda telah mengambil tindakan menyaman semula peneroka-peneroka untuk membetulkan situasi sebenar.


Beliau seterusnya menasihatkan peneroka-peneroka Wilayah Jengka supaya tidak terpengaruh dengan pihak luar yang mempunyai agenda tersendiri sedangkan isu-isu yang ditimbulkan mampu diselesaikan secara berhemah dengan mengadakan forum melibatkan pengurusan Felda dan peneroka.


Dr Shukri mengingatkan peneroka bahawa mereka mendatangi rancangan Felda dulu dalam keadaan yang berbeza dan kini mereka mampu hidup dengan lebih senang dengan Felda memberikan pinjaman untuk perumahan, dan beliau menyifatkan sesetengah peneroka tidak tahu bersyukur.




Dr. Shukri,




Setiap kali peneroka-peneroka Felda menuntut hak mereka yang hakiki, setiap kali itulah kamu menyifatkan bahawa mereka ini tidak bersyukur.

Sesungguhnya, peneroka-peneroka sangat bersyukur kepada Allah swt diatas rezeki yang Allah kurniakan, tetapi wakil-wakil rakyat Barisan Nasional seperti Dr Shukri tidak mahu bersyukur dan tidak berterima kasih diatas pengorbanan peneroka-peneroka Felda.


Pernah peneroka-peneroka Felda semasa diperingkat awalan berada didalam rancangan-rancangan Felda hanya menerima barang-barang makanan sahaja dari kanteen (PNF) dan tidak mempunyai apa-apa pendapatan bulanan, bahkan ada diantara peneroka-peneroka itu menerima -RM10.00.


Mereka tetap bekerja sebagai peneroka didalam rancangan Felda walaupun kedudukan mereka begitu dhaif tanpa mendapat sebarang pendapatan. Mereka sanggup meneruskan kedudukan mereka sebagai peneroka Felda kerana mereka berkeyakinan bahawa dihari muka mereka akan mendapat pendapatan yang baik.


Keyakinan inilah yang menyebabkan mereka terus menduduki rancangan Felda dan melakukan tugasan harian sehinggalah mereka kini boleh mendapat pendapatan yang lebih baik.


Didalam keadaan mereka boleh mendapat pendapatan yang lebih baik, Felda telah mula menipu mereka.


Peneroka-peneroka sawit telah ditipu oleh Felda diatas isu perahan KPG. Peneroka-peneroka di Kilang Jengka 8 hanya diberikan perahan 17%-18% sahaja. Kadar perahan ini amatlah tidak berpatutan kerana buah sawit mereka boleh mengeluarkan perahan hingga 21% kiraan MPOB diatas kadar perahan dimakmal sebanyak 24%-25%.


Adakah Dr Shukri tahu berapakah jumlah kerugian peneroka-peneroka Felda kerana tidak diberikan perahan KPG diatas kadar yang sebenar. Kerugian setiap peneroka Felda yang memperolehi perahan KPG 17-18% adalah sebanyak 3%-4% setiap bulan. Setiap peratus kerugian itu boleh dikadarkan sebanyak RM20-RM40 setiap tan, maka jika pengeluaran sawit si peneroka itu 8 tan sebulan, maka kerugian kepada dia adalah RM20-RM40 x 8 tan x 3%-4% = RM480.00 - RM12870.00 setiap bulan.


Kepada Wakil Rakyat seperti Dr Shukri yang mempunyai elaun tetap yang besar sebagai wakil rakyat disamping pelbagai kemudahan yang diperolehinya, tentulah jumlah RM480.00 hingga RM1280.00 ini kecil, tetapi kepada peneroka-peneroka Felda jumlah ini amat besar. Dr Shukri kena maklum bahawa peneroka-peneroka yang menyerahkan ladang mereka kepada Felda hanya memperolehi pendapatan RM1500.00 (pendapatan kasar) sebulan.


Felda telah menipu Peneroka-Peneroka Felda dari sejak peneroka-peneroka itu mengeluarkan hasil sawit masing-masing dan mengikut equity peneroka-peneroka boleh menuntut untuk selama 15 tahun. Maka kalau dikirakan 15 tahun, Felda sudah mengaut secara tipu wang setiap peneroka Felda sebanyak antara RM480x12x15 - RM1280x12x15 iaitu antara RM86,000.00 hingga RM230,000.


Saman-menyaman bukanlah perkara yang mennyeronokkan dan peneroka-peneroka lebih berminat mencari penyelesaian secara rundingan tetapi rundingan itu biarlah menjuruskan kepada mencari penyelesaian bukan dengan cara pegawai-pegawai tinggi Felda mengambil kesempatan memaki-hamun peneroka-peneroka sebagai manusia yang tidak pandai bersyukur, tetapi biarlah diatas landasan mengikut fakta.


Kalau rundingan perlu diadakan maka kesefahaman seperti berikut perlu dipatuhi, iaitu, Felda wajib membayar kepada peneroka-peneroka mengikut kadar perahan sebenar.


Dan Felda kena bertanggungjawab menggantirugi peneroka-peneroka diatas kehilangan pendapatan saekurang-kurangnya untuk 15 tahun yang lampau (mengikut yang dibenarkan oleh equity).


Isu tandan muda, buah mekal dan tangkai panjang yang sentiasa dibuang oleh pihak kilang kena diselesaikan juga iaitu mana-mana tandan yang tidak dimasukkan untuk ditimbang hendaklah dikembalikan kepada peneroka-peneroka kerana setiap peneroka yang didapati membawa tandan muda, mekal dan panjang itu telah didenda oleh pihak kilang Felda; dan setelah buah-buah yang tidak masuk timbangan itu dibuang maka kadar perahan yang tertinggi mestilah diberikan kepada peneroka-peneroka tersebut.


Apa yang berlaku sekarang tandan-tandan yang dibuang dari lori sebelum ditimbang bukan sahaja tidak dikembalikan kepada peneroka-peneroka bahkan dicampur semula dengan tandan-tandan baik dan diperah bersama.


Kerugian kepada peneroka-peneroka hasil amalan yang tidak beretika ini boleh dihitung dengan kerugian hampir beratus ribu ringgit kepada peneroka-peneroka berkenaan.


Saya mencabar Dr Shukri supaya merundingkan masalah ini dengan Felda dan saya boleh berikan masa kepada Dr Shukri selama mana beliau masih menjadi Wakil Rakyat, dan kalau beliau gagal didalam rundingan itu dalam jangka hayat dia menjadi Wakil Rakyat, beliau hendaklah memohon maaf kepada peneroka-peneroka Felda dan tidak lagi membuat kenyataan-kenyataan yang sentiasa menghina peneroka-peneroka Felda.


Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh Dr Shukri ialah berhubung dengan kes Felda Kemahang 3. Amatlah dangkal bagi seorang wakil rakyat yang tidak mengetahui perjalanan sesuatu kes didalam Mahkamah. Amat dangkal baginya mengatakan bahawa Peguam Felda tidak hadir di Mahkamah.


Kes itu berjalan lebih dari 10 tahun. Felda kalah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, kalah lagi di Mahkamah Rayuan, kalah lagi di Mahkamah Persekutuan dan kalah lagi didalam semakan di Mahkamah Persekutuan.


Kes ini tidak akan dibawa ke Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan semakan di Mahkamah Persekutuan jika Felda tidak menggunakan khidmat peguam. Bahkan peguam yang digunakan oleh Felda adalah dari kalangan peguam kanan/elit dengan bayaran guaman yang tidak tergambar oleh Dr Shukri.


Mahkamah di semua peringkat didalam perintahnya mengatakan FELDA MENIPU.


Felda perlu menyaman peguamnya yang cuai jika benar kekalahan Felda itu disabitkan kerana peguamnya tidak hadir di Mahkamah. Tetapi hingga hari ini Felda tidak menyaman kembali peguam berkenaan itu!


Dan sekali lagi menunjukkan kedangkalan Dr Shukri apabila dia mengatakan bahawa Felda sedangan menyaman kembali peneroka-peneroka tersebut untuk menuntut kerugian.


Takkanlah seorang wakil rakyat yang pernah menjadi Ahli Exco Kerajaan tidak mengetahui sistem kehakiman Negara ini. Mahkamah Persekutuan adalah Mahkamah yang tertinggi di Negara ini, dan setelah perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan tidak ada lagi rayuan kemana-mana pihak apatah lagi apabila Felda turut kalah semasa membuat semakan di Mahkamah Persekutuan.


Felda hanya ada satu jalan sahaja lagi iaitu menjelaskan RM11 juta tersebut kepada peneroka-peneroka dan jika Felda gagal berbuat demikian peneroka-peneroka boleh mengambil tindakan pelaksanaan termasuklah tindakkan menggulung Felda atau tindakan menyitar Felda dan lain-lain tindakan sehingga Felda membuat bayaran.




Dr Shukri,




Kamu kena mengetahui bahawa peneroka-peneroka Felda adalah segolongan manusia yang telah memberikan pengorbanan kepada Negara, bahkan Felda melalui pengorbanan peneroka-peneroka menjadi penyumbang kedua kepada pendapatan Negara selepas Petronas.


Cuba pula kamu kaji dengan pemegang-pemegangan jawatan utama didalam Felda yang dikatakan memperolehi RM2 juta setahun, bandingkan dengan peneroka-peneroka Felda yang hanya mendapat RM1500.00 sebulan pendapatan kasar dan dibebankan dengan hutang antara RM60,000.00 hingga RM100,000.00.


90% lebih peneroka-peneroka Felda adalah orang Melayu, organisasi Felda sebagai suatu agensi Kerajaan adalah organisasi Melayu, maka kenapakah organisasi Melayu (Felda) sanggup menindas dan menipu peneroka-peneroka yang juga orang Melayu? Ketuanan Melayu ala-UMNO ini adalah penindas kepada masyarakat Melayu.


Akhirnya, saya cabar Dr Shukri untuk diadakan satu debat terbuka diadakan didalam mana-mana rancangan Felda termasuk didalam rancangan-rancangan Felda di Pulau Tawar iaitu kawasan DUN yang diwakili oleh Dr Shukri untuk mendebat isu Felda secara terbuka dan disaksikan oleh peneroka-peneroka Felda!
Dr Shukri,
Tidakkah anda telah dijemput oleh Peneroka-Peneroka Felda Kota Gelanggi 1 didalam kawasan Pilihanraya anda sendiri untuk menyelesaikan masalah hutang mereka yang sudah menjangkau RM90,000.00. Apakah yang anda buat?
Tidakkah anda diminta menyelesaikan isu geran tanah kepada peneroka-peneroka Felda Kota Gelanggi 4 yang sudah menjelaskan bayaran hutang mereka dan CAC sejak 14 tahun yang lampau tetapi hingga kini masih belum dikeluarkan geran tanah. Alhamdulillah, pihak saya telah merojok kepada Felda dan Felda telah memaklumkan bahawa pemperosesan geran sudah dihantar ke Pejabat Tanah Jerantut dan pihak saya sedang membuat follow-up dengan Pejabat Tanah Jerantut.
Harapkan YB kawasan Pulau Tawar? Tidur!   ( Sumber asal )

Tiada ulasan: