08 Januari 2009

JANGAN BUAT PERATURAN YANG BOLEH MENGELIRUKAN ORANG



Setelah hampir satu jam memandu dari Felda kota gelanggi 01, maka aku pun memasuki kawasan Hospital Pakar Temerloh, aku cuba mencari tempat untuk meletak kereta.

Setelah mengelilingi untuk kali kedua ditempat parking tersebut, lantas aku ternampak satu kekosongan, ada lambang kerusi roda di petak parking, aku fikir ini memang dikhususkan bagi orang-orang yang menggunakan kerusi rodalah agaknya, aku pun terus parking di situ .

Kebetulan pula aku memang sedang membawa anak aku Khairil Anwar yang mengalami kemalangan, akibat terjatuh dari atas siling setinggi 18 kaki, semasa mahu membaiki tangki air dirumah sewanya, di Pasir Gudang, Johor, kira-kira satu bulan setengah yang lalu.

Kaki kirinya patah tiga dan terpaksa dimasukkan besi, sementara kaki kanannya mengalami kerosakan teruk di buku lali dan tulang belakangnya juga ada sedikit kecederaan akibat hentakan kuat, sungguh pun tidaklah serious.



Sejak peristiwa tersebut, maka dia terpaksalah menggunakan kerusi roda, tetapi hanya untuk
kehospital, kalau di rumah dia terbaring saja diatas katil.

Ini adalah kali pertama aku membawanya ke Hospital Temerloh, untuk x-ray dan lain-lain rawatan susulan, setelah mendapatkan rawatan awal di Hospital Pakar, Sultan Ismail Johor Bharu, yang terletak paling hampir dari tempat dia ditimpa kemalangan dahulu.

Setelah melalui proses pendaftaran, proses menunggu giliran untuk berjumpa Doktor, seterusnya proses x-ray, dan jumpa Doktor sekali lagi, ianya memakan masa kira-kira 4 jam.

Setelah semuanya selesai, jam menunjukkan pukul 1.30tnghari perut pun sudah berkeroncong,
aku yang ditemani seorang lagi anak aku Mohd.Hafiz, yang kebetulan sedang bercuti semester dari Politiknik, di seberang Prai, Pulau Pinang, menyorong Khairil Anwar ke kantin hospital untuk makan.

Setelah selesai makan, kami pun pergi ke kereta, aku ternampak sekeping kertas putih diselitkan diwaper, setelah di amati, rupanya kertas SAMAN. aduh...kena saman pulak dah..... kesalahannya ialah kerana meletak kereta di petak yang dikususkan kepada orang yang kurang upaya ( berkerusi rodalah )

Ai........... ini sudah lebih.......kan aku bawa orang yang berkerusi roda, tak kan salah pulak.........

Kerana aku tidak berpuas hati, aku pun ke Balai Polis Temerloh, tetapi diminta pula ke Balai Polis Mentakab, kerana segala saman trafik diuruskan oleh bahagian trafik yang beroperasi di Mentakab.

Aku pun menyatakan rasa tidak puas hati aku, kenapa kena saman, petugas dikaunter trafik yang juga seorang anggota polis trafik, menyatakan bahawa petak tersebut perlu sentiasa dikosongkan, hanya boleh digunakan semasa menurunkan penumpang sahaja.

Aku memprotes, kalau begitu kenapa tidak di letakkan papan tanda bertulis " hanya untuk menurunkan penumpang sahaja ? "

Akhirnya petugas tersebut menyatakan bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan saman tersebut, tetapi boleh dibatalkan oleh ketuanya, iaitu OCS dibalai Polis Temerloh.

Dia mencadangkan supaya aku ke balai Polis Temerloh sekali lagi untuk membatalkan saman tersebut atau pilihan kedua membayar saman yang dikurangkan daripada RM100.00 kepada RM30.00 di kaunternya.

Aku membuat pilihan kedua, kerana penat untuk kesana, kesini dan hari pun sudah lewat petang.

Pengajaran yang diperolehi disini ialah, setiap peraturan hendaklah jelas, jangan membuat peraturan, ikut suka hati sahaja kerana ianya boleh menyusahkan orang ramai.







Tiada ulasan: