17 April 2010

Layanan mesra wanita Sumatera jadi tarikan


KUALA LUMPUR 16 April - Sifat penyabar terhadap suami yang pulang lewat serta layanan mesra di meja makan adalah antara kualiti dimiliki wanita Sumatera yang menyebabkan lelaki Malaysia mudah tertawan dengan mereka.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap berkata, kebanyakan lelaki Malaysia tertarik dengan layanan yang lebih baik yang mampu diberikan oleh wanita Sumatera itu berbanding wanita Malaysia.

"Contohnya, kawan saya sendiri berkahwin dengan wanita Sumatera, isterinya tidak kisah suaminya pulang lewat malah akan diberi layanan yang sangat baik tanpa perasaan marah dan ragu-ragu walaupun ditinggalkan sehingga lewat malam.

"Selain itu, wanita Indonesia tidak akan meninggalkan suami yang makan di meja makan seorang diri, perkara itu akan berterusan walaupun mereka telah lama berkahwin. Ini merupakan adat budaya wanita Indonesia dari dahulu lagi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khairudin bagaimanapun tidak menafikan perkahwinan antara wanita Sumatera dengan lelaki Malaysia tidak semestinya berkekalan dan menjaminkan kebahagiaan.

Kata beliau, ada juga yang kecundang kerana berhadapan dengan pelbagai masalah apabila lelaki Malaysia itu dengan sewenang-wenangnya mengabaikan tanggungjawab terhadap wanita Indonesia.

Ditanya, apakah kelebihan wanita dari Sumatera sedangkan ada antara mereka tidak berpelajaran tinggi, menurut Khairuddin, mereka terkenal dengan rupa paras yang cantik.

"Saya dapati kerana kecantikan mereka itu, lelaki negara ini tidak putus-putus pergi ke Medan, Indonesia terutama hari Jumaat dan pulang pada hari minggu.

"Berdasarkan maklumat, kebanyakan mereka yang pergi ke sana untuk bermain golf tetapi kemudiannya secara tidak langsung tertawan dengan kecantikan wanita di sana,'' ujar beliau.

Khairudin menambah, kemakmuran Malaysia dan sumber pendapatan yang lumayan di kalangan lelaki negara ini turut menjadi faktor wanita Sumatera terpikat dengan lelaki Malaysia.

Malah, kata beliau, wanita Sumatera turut beranggapan jika menjadi isteri kepada lelaki Malaysia masa depan mereka dan keluarga akan lebih cerah dan terjamin.

Beliau mendedahkan faktor lelaki Malaysia tertawan dengan wanita Indonesia terutama dari Sumatera.

Ia ekoran laporan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang merekodkan dalam tempoh lima bulan, 30 lelaki Malaysia berkahwin wanita Sumatera setiap bulan.


Maaf ye.....saya saja postingkan berita ini kerana ada unsur tarikannya......

manalah tahu kot..kot ada peneroka yang teringin mahu mencari isteri orang Sumatera juga.................kah..kah..kah.




• Wanita seberang lebih berani penuhi fantasi lelaki?

. 'Ada udang di sebalik batu'

• Saya sangat kecewa - Shahrizat




12 April 2010

Pelakon Remaja Terbaik 2010


Sejak keluar berita dua tiga hari yang lepas, berkenaan pelajar pintar dari Bera dengan kelulusan 8A 1B didalam SPM 2009, yang berjaya melakonkan watak Tuan Muda dengan jayanya, sehingga berjaya menyakinkan pengarah PLKN dan exco negeri Pahang (klik disini)

Namun kejayaan watak Tuan Muda tersebut tidak lama dan telah digagalkan oleh rakan sekolahnya sendiri yang mengenali serta melapurlan kepada pihak berkuasa di PLKN.

Saya terfikir, andai rakannya tidak berada di Majlis tersebut, munkin lakonannya masih berjalan dan tiada siapa yang tahu bahawa watak yang dibawanya hanyalah sekadar lakonan semata-mata.

Kini dia sudah berada didalam tahanan polis dan menghadapi siasatan di dalam tempoh tahanan reman sehingga selasa ini.

Kadang-kadang terfikir juga, apakah akan terjadi kepada remaja ini jika dia dewasa nanti, apakah dia akan jadi seorang kaki kelentong, melihat diatas keberaniannya melakonkan watak tersebut, tidak mustahil dia boleh jadi seorang yang pintar memperdayakan orang.

Satu lagi yang terfikir oleh kita ialah berkaitan persekolahannya selepas ini, apakan dia boleh menyambung pembelajarannya ? andaikata dia tidak boleh menyambung lagi pelajarannya oleh kerana kes ini, memang malang sungguh nasibnya.

Diharap pihak berkaitan akan membenarkan dia menyambung kembali persekolahannya, munkin dengan terjadinya peristiwa ini, dia sudah insaf dan tidak akan lagi berani menjadi pelakon yang tidak diundang seperti itu.


Berkaitan.......


KUANTAN 15 April - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengampunkan seorang pelajar cemerlang yang menyamar sebagai 'Tuan Muda' sekiranya dia memohon maaf dan membuat akujanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.





08 April 2010

Muak Dan Memualkan

Kita sudah terbiasa sangat dengan kenyataan-kenyataan stereotaip setiap kali kerajaan hendak menaikkan harga satu-satu barangan atau perkhidmatan. Kata-kata yang dikeluarkan selalunya amat lunak, manis lagi mesra pengguna. Soal betul atau tidak kata-kata itu, belakang kira.

Sekiranya contoh-contoh sebelum ini hendak dijadikan KPI – sekarang siang malam orang bercakap mengenai KPI! – ternyata sekali yang lunak-lunak itu akhirnya menimbulkan rasa muak; yang manis bertukar menjadi masam lagi pahit.

Tentu semua masih ingat bahawa apabila harga bahan penting atau perkhidmatan utama hendak dinaikkan, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang menjadi alasan kerajaan untuk menjustifikasikan tindakan tersebut:

No.1, harga bahan berkenaan sudah lama tidak naik. Oleh sebab kos pengilangan semakin tinggi dan harga bahan mentah meningkat di pasaran dunia, kita tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga.

No.2, harga bahan tersebut di tempat kita adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain (biasanya yang akan disebut ialah negara di mana harga lebih tinggi, negara yang harga lebih rendah dari kita tidak disebut!).

No. 3, kenaikan harga ini tidak akan sekali-sekali membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah, sebab “kerajaan akan bertindak tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan atas kenaikan ini!”

Sementara alasan No.1 dan No.2 sukar untuk dinilai kebenarannya oleh rakyat terbanyak, No.3 boleh dirasakan kesannya oleh kita dalam masa sehari dua – ada ketikanya dalam masa hanya sejam dua! – setelah kenaikan harga baru dikuatkuasakan.

Kita ambil contoh tepung gandum. Kerajaan kata kenaikan harga bahan tersebut tidak akan membebankan rakyat. Tetapi dalam masa hanya tiga hari, rakyat biasa sudah merasa beban. Kebanyakan restoran dan gerai menaikkan harga roti canai. Setiap keping naik antara 10 sen hingga 20 sen, malah ada juga yang 30 sen.
http://www.pasjohorbahru.com/inc/img.php?idIsu=127
Sesetengah penjual, konon atas semangat cintakan pengguna, mengekalkan harga lama. Memang harga tidak berubah tetapi saiz berubah – roti canai menjadi lebih kecil, semakin nipis seperti sapu tangan. Tidak boleh lagi kata sekeping, tetapi patut kata sehelai roti canai.

Samalah juga halnya apabila harga gula dinaikkan belum lama dulu. Kenyataan stereotaip dikeluarkan, dan rakyat juga yang menerima akibatnya. Kerajaan menegaskan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan lain sesuka hati.

Kesan segera kenaikan harga gula ialah kenaikan teh tarik. Gula naik 25 sen sekilo, teh tarik naik 20 sen segelas. Malah ada sesetengah restoran yang menaikkan teh tarik sebanyak 50 sen. Bukan sahaja teh tarik yang menjadi minuman separuh wajib sebahagian besar rakyat, makanan bergula yang lain pun turut naik.

Kerajaan tidak berupaya untuk mengawal kenaikan harga, jauh sekali untuk mengambil tindakan tegas ke atas peniaga. Apa yang termampu dibuat oleh kerajaan ialah menasihatkan orang ramai supaya memulaukan peniaga yang menaikkan harga teh tarik. Pengguna juga yang kena!

Apabila petrol naik harga, semua orang terkesan dan terbeban sebab semua barang dan khidmat turut naik. Sehinggakan mamak penjual cendol pun menaikkan harga atas alasan: “Itu petrol harga sudah naik, jadi cendol mesti naik juga!” Pada hal dia tidak menggunakan motosikal, sebaliknya hanya berbasikal untuk menjual cendol. Mana ada basikal guna petrol!

Sebab itu jangan cepat berasa lega apabila kerajaan kata “tidak membebankan rakyat” jika ada barang naik. Sebaliknya, kita hendaklah bersedia dan mencari langkah selamat apabila ada barang atau perkhidmatan hendak dinaikkan harga. Terimalah hakikat bahawa kenaikan walau sesen pasti akan membebankan kita.

Sengaja saya timbulkan ini sebab mulai 1 Julai harga perkhidmatan pos akan dinaikkan. Alasan kerajaan sama seperti No.1 hingga No.3 di atas. Cuma tambah satu lagi, bahawa kenaikan ini akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pos. Ini pun cakap biasa. Sebelum ini tarif air naik, tarif elektrik naik, tarif telefon naik, perkhidmatan macam biasa juga.

Kerajaan kata kenaikan setem tidak akan membebankan rakyat. Setem pos biasa kini 30 sen, mulai awal Julai akan menjadi 60 sen, iaitu kenaikan 100 peratus. Macam mana kenaikan setinggi itu dikatakan tidak membebankan? Walaupun ada disediakan apa yang dipanggil ‘surat rakyat’ pada harga sama, kenaikan sekali ganda setem itu tetap terkena pada rakyat.

Sebenarnya kenyataan-kenyataan stereotaip itu tidak perlu. Adalah lebih baik kerajaan berterus terang bahawa kenaikan setiap harga barangan dan perkhidmatan pastikan akan menjejaskan kehidupan rakyat. Dan, rakyat kena menghadapi hakikat itu. Biarlah kenyataan itu pahit, mudah-mudahan ia menjadi ubat. Tidak guna kata-kata lunak, sebab akhirnya rakyat muak.

Tulisan- ABD JALIL ALI dan dipetik dari Sinar Harian.







04 April 2010

Tunggu Wakil Rakyat Mati.......

HULU SELANGOR 3 April - Kerajaan sekali lagi mengotakan janjinya untuk mendahulukan rakyat apabila bersetuju membina sebuah lagi projek perumahan warga Felda untuk Gugusan Felda Sungai Dusun di kawasan ini.... Berita Penuh

Nampaknya perangai, setelah ada pilihanraya kecil baru nak buat projek, terjadi lagi didalam pilihanraya kecil di Parlimen Hulu Selangor kali ini.

Agaknya jikalau ahli Parlimen Jerantut atau ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar mati, tentulah Felda Kota Gelanggi akan dapat projek perumahan untuk warga felda, inikah yang dinamakan rakyat didahulukan ?
tunggu wakil rakyat mati baru dapat projek.

Tapi kita nak buat macam mana, memang dah trendnya begitu, maka orang ramai nampaknya perlulah berdoa supaya wakil rakyat dikawasannya cepat mati supaya ada pilihanraya kecil, barulah mudah dapat projek .............................entahlah.......







02 April 2010

Peneroka yang ambil kembali pengurusan kebun, akan ditangkap

Seperti yang saya katakan di dalam beberapa siri penulisan saya yang lepas, yakni perkara-perkara yang berkaitan dengan felda, saya mengatakan bahawa akan semakin ramai peneroka yang akan mengambil aleh pengurusan kebun mereka dimasa hadapan.

Dan kini perkara tersebut telah benar-benar berlaku, terkini perkara tersebut telah berjangkit pula ke felda kota gelanggi 03 iaitu jiran perkampungan (satu Masjid) kota gelanggi 01.

Di felda kota gelanggi 03, perkara ini di mulakan oleh sdr Hj.Husin, namun terjadi juga bertarik tali dengan pengurusan felda, felda cuba juga menahan, namun oleh kerana kedegilan sdr Hj.Husin ini, akhirnya pihak pengurusan felda terpaksa beralah.

Apabila kumpulan lain yang sejak lama teringin nak "merampas" pengurusan kebunnya melihat bahawa, keupayaan pengurus felda menahan peneroka untuk mengambil aleh kebun tersebut tidak kuat, maka mereka pun berpakat beramai-ramai (11 orang) " merampas " pengurusan kebun mereka.

Namun hari ini, saya di hubungi oleh salah seorang dari kumpulan "Perampas " tersebut iaitu sdr Pian, meminta saya menghubungi Hj.Suhaimi Said, iaitu seorang peguam veteran yang sejak lama bergaul dengan peneroka felda, meminta agar Hj.Suhaimi Said membantu mereka, kerana mereka di panggil ke Balai Polis Jerantut jam 3.00 ptg ini, bagi membantu siasatan kes pengambilalehan kebun tersebut.

Namun saya gagal menghubungi Hj. Suhaimi Said, munkin beliau ada hal dan kumpulan tersebut pergi ke Balai Polis Jerantut hanya sesama mereka sahaja.

Sekembalinya mereka, sdr Pian ada berjumpa saya, memaklumkan dari hal pertemuan tersebut, dia memberitahu, didalam pertemuan tersebut yang turut dihadiri oleh pengurusan felda, OCPD dan lain-lain pegawai Polis. OCPD Polis daerah Jerantut memberi amaran kepada semua peneroka felda, jika ada peneroka yang cuba mengambil alih pengurusan ladang mereka selepas ini akan ditangkap.

Sebenarnya ugutan seperti ini, bagi sesetengah orang memanglah boleh menghentikan, tetapi kepada yang lebih berani, mereka tak hairan pun, sebabnya mereka bukannya merampas hak orang lain, mereka cuma merampas pengurusan kebun mereka sendiri yang sebelum ini mereka serahkan pengurusannya kepada felda.

Memanglah didalam apa-apa juga urusan penyerahan, akan ada surat perjanjiannya, maka jikalau ada satu-satu pihak yang cuba engkar dari klausa-klausa perjanjian tersebut, pihak yang mahu keluar dari perjanjian tersebut perlu membuktikan bahawa perjanjian tersebut telah dilanggar.

Maka disinilah para peneroka yang mahu mengambil kembali hak pengurusan kebun mereka tadi perlu membuktikan bahawa felda telah melanggar perjanjian yang telah di persetujui bersama sebelum ini.

Contohnya, semasa dibawah pengurusan felda ketika ini hasilnya sangat kurang jika dibandingkan dengan orang yang urus sendiri, kebunnya semak dan banyak buah yang tidak di tuai, membaja tidak memuaskan dan sebagainya. Setelah semua ini berjaya di buktikan, usah takutlah...........felda tak boleh buat apa-apa.

Tetapi dengan keadaan peneroka yang kebanyakkannya tidak memiliki bukti yang meyakinkan, maka memanglah merumitkan bagi mereka yang berhajat mahu menguruskan sendiri kebun mereka selepas ini, tambahan lagi kepada yang penakut.

Oleh itu perlu ada yang sanggup menjadi lilin, yaini sanggup bermalam di lokap dan sanggup menghadapi perbicaraan di Mahkamah..................apa macam sanggup ke....?

Sebenarnya dengan terjadinya peristiwa ini, satu pengajaran di perolehi, iaitu, apa-apa juga yang mahu dilakukan hendaklah dari awal, apabila kita sudah berada dibelakang, maka ada dua mertabat, pertama munkin kita dapat banyak sebab orang lain sudah berada didepan dan yang tingal itu adalah yang baki untuk kita sahaja, kedua munkin kita tidak merasa langsung sebab orang yang dihadapan kita sudah menyapu bersih termasuk yang sepatutnya menjadi hak kita...........................








21 Mac 2010

Peminjam TEKUN akan didakwa


Pegawai TEKUN Johor Bahru, Moammar Gaddafi Ahmad berkata, disebabkan sikap segelintir peminjam yang liat dan enggan membayar pinjaman mereka, permohonan peminjam lain terpaksa ditangguh.

“Mulai tahun ini, mana-mana peminjam yang melanggar syarat pinjaman akan dikenakan tindakan mahkamah.

“Selain mengambil tindakan ke atas peminjam, TEKUN juga hanya memberi pinjaman kepada mereka yang telah ada perniagaan sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia pada majlis penyampaian cek pinjaman TEKUN Parlimen Johor Bahru di sini hari ini.

untuk berita selanjutnya (Klik disini)


Inilah yang sering terjadi kepada orang kita, diberi salah, tidak diberi salah. Diatas sikap seperti inilah, maka institusi " along " masih relevan dan boleh beroperasi dengan lancar walaupun munkin secara sembunyi-sembunyi.

Sikap mahu meminjam tetapi tidak mahu membayar, adalah satu sikap buruk yang tidak patut ada terutama dikalangan orang yang mengaku dirinya berugama Islam.

Yang peliknya, apabila mereka meminjam melalui along, pandai pula mereka membayarnya walaupun terpaksa membayar setiap hari, rupanya ada dikalangan kita ini suka dipaksa, apabila dipaksa barulah dia tahu menjelaskan hutang.

Oleh itu tiada jalan lain, paksa sahaja mereka membayar hutang dan paksa juga supaya mereka jangan menyalah gunakan pinjaman. Bagaimana caranya terpulang kepada kebijak sanaan.




11 Mac 2010

Mazlan Aliman Di Tahan Polis

Mazlan Aliman, satu nama yang semakin dikenali ramai khususnya didalam Felda, Mazlan di kenali dan diingati kerana peranan yang dilakukannya telah menyebabkan dua golongan akan sentiasa mengingatinya.

Golongan pertama ialah, para peneroka dan generasi kedua didalam felda yang akan mengingati, kerana Mazlan tidak putus-putus, cuba mengetengahkan beberapa masaalah yang dihadapi oleh para peneroka dan generasi keduanya.

Manakala golongan kedua pula ialah para pentadbir didalam rancangan felda, baik dari pengurusnya, pengawal wilayah, malah sampai kepada pengerusi felda Datuk Dr. Yusof Noor dan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak akan mengenali dan mengingatinya.

Cuma bezanya ialah cara mengingati Mazlan, satu pihak, iaitu para peneroka terutama yang urus sendiri kebunnya, akan mengingati Mazlan sebagai pembela kepentingan peneroka, manakala golongan kedua tadi, akan mengingati Mazlan sebagai pengacau, pemecahbelah masyarakat, malah sebagai musuh nombor 1.

Persoalannya, kenapa Mazlan, juga seorang anak peneroka felda, seorang yang telah berjaya didalam hidupnya, telah pun menjadi peguam tetapi sanggup menempuh pelbagai halangan, sehingga sanggup ditahan polis dan dikurung didalam lokap semalaman ?

Didalam memahami situasi ini, saya meletakkan beliau didalam dua kemunkinan.

(1) Beliau benar-benar berjiwa rakyat dan dari jenis tidak boleh melihat, golongan bapanya (peneroka felda) ditindas, diperkotakkatikkan, diperalatkan, dan pelbagai lagi tanggapan buruk mengenai felda yang menguasai dirinya.

(2) Beliau sengaja mahu mencari nama diarena politik, kebetulan pula beliau memegang jawatan sebagai salah seorang AJK di peringkat Pas Pusat dan bergiat pula didalam felda dan pernah bertanding di Parlimen Bera, Pahang.

Semasa Konvensyen Peneroka Felda anjuran PKR di Jerantut tempoh hari, didalam pembentangan kertas kerjanya, saya dapati beliau begitu bercita-cita besar, beliau menyatakan bahawa beliau telah bertemu Hj Hadi dan Nik Aziz menyatakan dan memohon perkenan andainya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia disatu hari nanti, beliau mencadangkan beberapa perubahan akan dilakukan didalam pentadbiran felda.

Antaranya=

(a) Menghapus atau memansuhkan akta GSA .

(b) Mengambil alih ladang-ladang felda plantation di seluruh negara dan menganugerahkan tanah-tanah tersebut kepada generasi kedua yang ramai anak tetapi tidak memiliki rumah dan menumpang di rumah keluarga, serta sedang bekerja didalam felda di sektor perladangan sebagai buroh.

(c) Semua kerja-kerja perladangan yang kini dibolot oleh Felda teknoplant sdn .bhd akan diberi kontraknya kepada koperasi peneroka dengan bayangan dan harapan segala keuntungan secara otomatik akan dinikmati oleh peneroka.

(d) Semua jawatan penting didalam felda dan agensinya , dari Menteri, pengerusi, pengarah besar, pengawal wilayah dan seterusnya kebawah akan diserahkan kepada anak-anak peneroka felda yang berwibawa dan berkebolehan.

Begitulah antara cita-cita dan harapannya yang diluahkan didalam konvensyen tersebut, saya yang mendengarnya merasakan bahawa beliau bukan membentangkan kertas kerja, tetapi menyampaikan satu manifesto pilihanraya.

Beliau menyampaikan ucapannya dengan begitu yakin sekali dan saya membayangkan jika Pakatan Rakyat menang, beliau pasti akan dilantik sebagai Menteri berkaitan Felda, Felcra dan Risda.

Adakah cita-cita ini yang menguatkan semangat Mazlan Aliman didalam memperjuangkan nasib para peneroka ? ......... itu saya tidak tahu..........kena tanya beliau sendirilah.


Berita berkaitan dibawah.

Mazlan Aliman dihadap ke mahkamah

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majisret Raub atas tuduhan melakukan pencerobohan jenayah.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS didakwa mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mazlan dibebaskan dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam semalam di ibupejabat polis Raub.

Beliau kemudiannya ditahan reman selama sehari ini berhubung siasat terhadap dakwaan beliau melakukan pencerobohan ketika mengadakan sesi dialog dengan peneroka.