16 Jun 2010

Anda juga sepatutnya berani melakukan seperti ini




Guru tampar ahli sindiket gores dan menang


KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang guru wanita yang diperdaya sebanyak RM4,000 oleh sindiket 'gores dan menang' bukan sahaja berjaya menuntut semula wangnya malah sempat melepaskan geramnya dengan menampar seorang kakitangan syarikat berkenaan.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ong, 54, dikatakan berbuat demikian setelah hilang sabar ketika rundingan diadakan di pejabat syarikat terbabit di Taman Perindustrian Kuchai Lama, petang semalam.

Kejadian itu turut mengejutkan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Wilayah Persekutuan, Benny Chin dan tiga pembantunya yang menemani mangsa untuk membuat tuntutan itu.

''Penolong pengurus syarikat yang berunding dengan kami berjanji untuk mengembalikan wang kepada mangsa tetapi hanya RM3,000 sahaja. Dia juga meminta supaya diberikan tempoh dua jam.

''Mangsa bagaimanapun berang lalu tiba-tiba menampar muka lelaki itu. Ia berlaku dalam sekelip mata saja dan di luar dugaan kami," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di ini hari ini.

Benny memberitahu, insiden itu dipercayai akibat sikap lelaki terbabit yang disifatkan cuba berdolak dalik.

Ong, yang berasal daripada Taiping, Perak, membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, kelmarin, selepas menyedari dirinya ditipu kononnya memenangi cabutan bertuah sebuah tilam dan dapur digital bernilai RM9,000.

Terdahulu, mangsa didatangi dua lelaki di stesen LRT Bukit Jalil yang memintanya untuk membuat cabutan bertuah.

Selepas melakukannya, mangsa dimaklum bahawa dia memenangi hadiah ke-13 bernilai kira-kira RM9,000, namun diminta untuk membayar RM4,000 sebelum boleh menuntut hadiah-hadiah berkenaan.

Menurut Benny, ahli kumpulan itu pandai memujuk sehingga sanggup menyerahkan Mykad milik mereka untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka bukan penipu.

''Ong kemudian mengeluarkan wang di mesin ATM (mesin juruwang automatik) untuk diserahkan kepada dua lelaki itu di pejabat syarikatnya di Kuchai Lama.

''Mangsa selepas itu diberi sekeping resit yang tercatat dua hadiah kemenangan dan diberitahu ia akan dihantar ke rumahnya. Tanpa disedari, mangsa sebenarnya telah terperangkap," jelas Benny.






Tiada ulasan: