11 Mei 2012

Perlanggaran Maut Di Kota Gelanggi 01

Pagi ini lebih kurang jam 9.30 pagi, berlaku satu perlanggaran yang mengerikan diantara Lori membawa batu dengan Jeep Felda Kota Gelanggi 4 di satu selekoh dekat kilang sawit Kota Gelanggi 01 yang penduduk Gelanggi 01 menamakannya sebagai selekoh Betik.

Akibat dari perlanggaran tersebut menyebabkan driver Jeep meninggal dunia kerana tersepit didalam Jeep





Bertudung merah adalah isteri simati (Fauziah), seorang kerani di pejabat felda gelanggi 02, seorang anak peneroka Gelanggi 03.


Dan berita paling terbaru  :   
Selepas perlangaran yang di beritakan diatas maka berlakulah tumpahan minyak diatas jalan raya, oleh kerana kesibukan, pihak bomba tidak berpeluang membersihkan tumpahan tersebut.
Pada jam 4.00 ptg berlaku pula kemalangan yang melibatkan kereta proton milik seorang guru dari  Lepar, akibat kemalangan tersebut kereta tersebut berpusing-pusing dan terbabas kedalam longkang, nasib baik tiada kereta di belakang atau dihadapan jikalau tidak, apa yang akan terjadi hanyalah Allah yang tahu.....

Sebenarnya saya sendiri mempunyai pengalaman buruk di selekoh maut ini, kira-kira 10 tahun yang lalu, isteri saya yang memandu keseorangan dari bandar Jerantut ketika melalui selekoh ini telah terbabas ketepi jalan yang ketika itu baru lepas hujan, keretanya berpusing-pusing beberapa kali diatas jalan raya, nasib baik tiada kereta dari hadapan atau belakang jika tidak apa nak jadi pun tidak tahulah, lebih bernasib baik kereta tersebut mengundur secara perlahan dengan cara tayarnya terus berpusing laju kehadapan lalu terus turun kedalam paya sehingga tercabut sepokok anak sawit, namun begitu tidak melibatkan sedikit kerosakan pun, cumanya saya terpaksa membayar upah kereta tunda untuk menarik kereta tersebut dari dalam paya ke atas jalan raya serta upah basuh kereta .

Perhatikan kesan hitam tayar kereta yg bergerak perlahan secara menggundur sehingga masuk kedlm paya.

Kereta masih didlm keadaan baik meskipun melanggar pokok sawit sehingga terbalik.



04 Mei 2012

Polisi Felda Berubah Demi Politik

Hari ini saya bersama dua orang rakan dari felda Kota Gelanggi 01 pergi ke ibu pejabat felda diatas dua urusan, urusan pertama ialah berkaitan penarikan balik sijil saham, Skim Pinjaman KPF Peneroka dan perkara kedua berkaitan Penyata Hutang Peneroka.

Berkenaan perkara pertama, iaitu Skim Pinjaman KPF Peneroka, skim ini adalah satu kemudahan pinjaman yang mana peneroka tidak perlu membayar balik pinjaman dimana felda mendahulukan pembelian saham kpf sebanyak RM10,000 dan dari dividen yang diperolehi dari pelaburan RM10,000 itu terus diberikan kepada peneroka didalam bentuk saham kpf.

Untuk memperolehi kemudahan ini peneroka dikehendaki membayar duti stem sebanyak RM50.00 dan menandatangani satu surat perjanjian dimana peneroka bersetuju untuk tidak menjual saham tersebut selagi tidak mancapai tarikh matang.

Didalam kes yang saya hadapi ini, setelah tahun pertama saya telah menerima dividen sebanyak RM1,000 dan masuk ditahun kedua tiba-tiba ianya ditarik balik iaitu pelaburan pokok dan dividen, Saya dan rakan-rakan yang terlibat ada memprotes namun jawapan yang diberikan ialah kerana saya dan rakan-rakan telah engkar dari perjanjian kononya saya telah menarik diri dari menyertai felda.

Takrifan menarik diri dari menyertai felda ditafsirkan kerana saya dan rakan-rakan telah mengambil alih semula pengurusan kebun dari diuruskan oleh felda technoplant dan menguruskannya sendiri kebun pada 1hb jan.2008 yang lalu.

Saya dan rakan-rakan pada mulanya akur dengan tindakan tersebut dan hanya mendiamkan diri, namun setelah masa berlalu saya dapati peneroka yang mengambialih kebun mereka kemudian daripada saya tidak pula ditarik kemudahan pinjaman tersebut. Setelah disiasat, rupanya dimasa-masa mutakakhir ini felda sudah menukar polisi mereka, kalau dahulunya peneroka yang mengambil alih kebun mereka dianggap musuh, kini mereka dianggap sahabat pula.

Semuanya adalah kerana muslihat politik, ini berlaku kerana peneroka yang mengambialih kini semakin ramai dan tidak terhad kepada penyokong pembangkang sahaja sebaliknya termasuk dari kalangan penyokong kerajaan sendiri, semuanya gara-gara felda technoplant gagal menjaga kebun peneroka secara sempurna.

Oleh itu jika felda meneruskan polisi lama dengan menganggap peneroka yang mengurus sendiri kebun mereka sebagai musuh, maka kerajaan BN bimbang akan kehilangan sokongan dan oleh itu polisi pun diubah.

Sesampai saya ke ibu pejabat felda, saya dan dua orang rakan tadi terus berjumpa pegawai yang berkaitan, saya juga membawa bersama senarai nama 41 orang lagi peneroka yang mengalami nasib yang sama seperti saya, setelah menceritakan masaalah saya dan berhujah sedikit sebanyak dengannya seperti mana saya jelaskan diatas, beliau akhirnya akur dan berjanji akan meperbetulkan semula keadaan.

Berkaitan masaalah kedua iaitu Penyata Hutang Peneroka, juga berlaku kekeliruan dimana satu jumlah yang sepatutnya ditolak dari hutang saya sebaliknya dicampur pula menjadikan hutang saya yang sepatutnya sedikit menjadi banyak dan alhamdulillah setelah diterangkan pegawai berkaitan berjanji akan memperbetulkan semula segala kekeliruan tersebut.




19 April 2012

Perwakilan KPF Beri Cek Kosong Kepada Isa Samad

Setelah begitu lama saya tidak menulis, maka hari ini saya ingin mencoretkan beberapa perkara, sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF dimana  saya adalah salah seorang dari 1,227 orang perwakilan yang membuat keputusan berkaitan penjualan pegangan KPF sebanyak 51%  didalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik felda holding kepada FGVH yang diadakan di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur.








Setelah Ahli Lembaga Pengarah yang di ketuai oleh Pengerusi KPF iaitu Y.Bhg Dato` Dzulkifli Abd.Wahab memberikan taklimat kepada para perwakilan berkaitan penjualan dan kesannya kepada organisasi kpf di masa hadapan, serta para perwakilan di berikan kesempatan membahaskan usul penjualan tersebut,  maka para perwakilan pun di benarkan membuat keputusan dengan membuat pengundian secara sulit melalui kertas undi.

Semasa taklimat tersebut, ALP Koperasi telah meperingatkan para perwakilan bahawa walau pun ALP bersetuju berkaitan penjualan tersebut namun ada beberapa perkara lagi yang di tuntut oleh ALP Koperasi demi kepentingan para peneroka masih tidak mendapat jawapan dari pihak FGVH.

Oleh itu secara tersirat ALP KPF seolah-olah meminta para perwakilan supaya jangan mengundi  menyokong penjualan tersebut sebaliknya membuat keputusan bijak demi masa depan peneroka sendiri.

Namun saya perhatikan kebanyakan perwakilan sudah tidak mengambil kira lagi apa juga kesan dari penjualan tersebut, bagi mereka keputusan sudah di buat dan nekad supaya kpf melupuskan kepentingan di dalam felda holding, oleh kerana itulah apabila pengundian dilakukan di dapati hanya 120 undi sahaja yang menentang manakala 1102 undi lagi menyokong.

Tahniah Isa Samad, kau telah berjaya membuat peneroka menjadi seperti kerbau di cucuk hidung, kini kau boleh tarik peneroka kemana sahaja engkau mahu., jangan risau mereka tidak melawan punya.........

Dengan keadaan ini yang berlaku, saya menafsirkan bahawa para perwakilan telah memberikan cek kosong yang telah siap ditanda tangani oleh para perwakilan supaya Isa Samad menuliskan jumlahnya mengikut rasa hati beliau sendiri, sekurang-kurangnya itulah yang boleh saya difahami.

Apa tidaknya, dari keadaan rundingan berkaitan penjualan tersebut masih belum jelas, para perwakilan sudah bersetuju dengan majoriti besar mengundi menyokong.

Kenapa ini terjadi ?

Antara sebabnya dari pandangan saya ialah kerana para perwakilan rasa terlalu teruja untuk mendapatkan durian runtuh seperti mana yang diwar-warkan oleh Isa Samad, persoalannya sebanyak
manalah bayarannya..........bagaimana jika jumlahnya tidak sebesar mana ?

Faktor kedua saya rasa ialah, kerana rasa percaya kononnya " tak kanlah Datuk Sri Najib mahu menginiayai para peneroka di mana ayahnya Tun Razak merupakan pengasas felda "

Saya percaya kedua-dua faktor inilah yang membuatkan para perwakilan telah hilang akal sehingga memberikan undi yang begitu besar menyokong penjualan harta kpf yang begitu berharga dengan tidak pula kpf memperolehi apa-apa kuasa di dalam FGVH, sesuatu yang pelik tetapi benar.

Persoalan meletakkan kepercayaan kepada  Datuk Sri Najib bagi saya tidaklah boleh dijadikan sandaran, ini kerana tidak mentahil Datuk Najib juga sudah mendapat nasihat yang salah dari pihak yang berkepentingan, yang menggunakan Datu Najib sebagai batu loncatan untuk menjadi bilioner (atas daripada jutawan) ini tidak mustahil.

Oleh itu sepatutnya para perwakilan perlu lebih bertanggung jawab membuat keputusan kerana mereka mewakili sebahagian besar para peneroka, namun semuanya sudah berlaku Inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai, cempedak sudah menjadi nangka









Perkara Berkaitan :


PENDAFTARAN SSM FELDA GLOBAL VENTURES


Nama company: Felda GLOBAL VENTURES Plantation (Malaysia) Sdn Bhd.
No pendaftaran : 974143-H
Tan Sri Mohd Isa bin Abdul Samad - Director 1
Dato' Sabri bin Ahmad - Director 2
Ida Hartati bte Ab Rahim - Secretary 1
Bceramah bte Maarof - Secretary 2
Syarikat telah didaftarkan pada 6.1.2012. 




( di ambil dari blog gaya peneroka )







25 Februari 2012

Penyenaraian Felda Global, apakah masa depan peneroka terjamin ?


Hampir keseluruhan daripada kita mahukan kos sara hidup yang berpatutan, pendapatan yang setimpal ... minyak murah, makan minum murah, tempat tinggal murah dan selesa, pembiayaan anak anak dari kecil sehingga dewasa yang tidak begitu membebankan ... MALANGNYA ... mengapa?? sesetengah daripada kita memandang SINIS mereka-mereka yang meluangkan masa, akal, tenaga, keringat malahan darah dan nyawa untuk memperjuangkan IMPIAN KITA SEMUA .............Mazlan Aliman.


Pada masa sekarang, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh FELDA.

FHB adalah sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif telah mencatat perolehan (revenue) sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar dari keuntungan FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang sahama majority di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini telah membawa kepada kejayaan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jelas menunjukkan hasil dari dividen dan bonus yang diperolehi dari keuntungan FHB telah menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan KPF selaku pemegang amanah bagi pihak ahli-ahlinya, terutama para peneroka di tanah-tanah rancangan FELDA.

Pada tahun 2010 sahaja, FHB telah membayar dividen sebanyak RM237.64 juta kepada KPF dan sekaligus menjadi antara penyumbang utama terhadap bayaran dividen sebanyak 15% yang diagihkan oleh KPF kepada 220,210 orang anggotanya, selain dari hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan sendiri oleh KPF dan anak-anak syarikatnya yang lain.

Tidak syak lagi peneroka dan ahli keluarga peneroka adalah ‘tulang belakang KPF’ di mana keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.

Manakala dari segi modal syer, peneroka merupakan pemilik kepada RM1.17 bilion nilai modal syer yang bersamaan dengan 71.83% dari keseluruhan modal syer KPF.

Di dalam struktur baru selepas dari pentrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF dikatakan akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% di dalam struktur baru FGVH ini bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

Soal pegangan KPF sebanyak 51% atau 60% sebenarnya tidaklah begitu penting sangat.       PERSOALAN 
paling penting dan paling mustahak untuk diberikan jawapan ialah : APAKAH JAMINAN BAHAWA FGVH SELEPAS DISENARAIKAN NANTI AKAN MAMPU MEMBAWA PULANGAN/KEUNTUNGAN DALAM BENTUK DIVIDEN DAN BONUS UNTUK DIBAYAR KEPADA KPF, DALAM JUMLAH YANG SAMA SEBAGAIMANA YANG MAMPU DIBAYAR OLEH FHB SEBELUM INI IAITU RM289.69 JUTA PADA TAHUN 2009 DAN RM237.64 JUTA PADA TAHUN 2010 ?

Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi pada FGVH pula yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara hanya nampak gah dari segi nama, tetapi pencapaiannya begitu mengecewakan dan memalukan.

Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan bagaimana pelaburan-pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies melalui Twin Rivers Technologies US (TRT), FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia semuanya mencatakan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

Persoalannya, bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti ‘profitability’nya?

Tidakkah dari segi amalan kewangan dan perakaunan, FHB yang kukuh dari segi kewangannya akan terpaksa menampung dan menangggung segala macam kerugian dan masalah yang dialami oleh FGVH?

Jika ini berlaku, kita tak nampak bagaimana FGVH boleh memberikan pulangan yang diharapkan kepada peneroka dan apa yang boleh dicapai hasil dari penyenaraian ini.

Terlebih penting ialah penyenaraian FGVH akan membuka ruang kepada orang luar(bukan bumiputera) menjadi pemegang saham; sekaligus menjejaskan kepentingan hak melayu atas Felda yang wujud sejak tahun 1956. Akan ada orang luar menjadi Lembaga Pengarah yang bakal mencorakkan polisi Felda di masa depan.

Ianya tidak pernah di minta oleh orang luar; sebaliknya pemimpin politik melayu UMNO sendiri yang memberinya! Mana dia ikrar dan tempik sorak HIDUP MELAYU serta sumpah keramat sanggup mati demi melayu yang menjadi zikir pemimpin UMNO? Adalah jelas, pemimpin UMNO menjadi PENGKHIANAT kepada orang melayu!

Penyenaraian FGVH adalah merupakan percubaan kedua yang gagal kali pertama di zaman Tun Dr Mahathir tahun 2003. Ia didalangi oleh seorang menteri kabinet. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau membatalkan cadangan penyenaraian Felda Holding ke BSKL(kini Bursa Malaysia).

Perdana Menteri ketika membentangkan bajet pada 7 oktober lalu mengisytiharkan dengan bangganya bahawa peneroka akan mendapat ‘durian runtuh’ apabila FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.

Anak difahamkan setiap peneroka akan mendapat saham percuma sebanyak RM15,000. Gula-gula untuk memperdaya peneroka agar bersetuju dengan penyenaraian tersebut yang kononnya bakal memberi pulangan lumayan. Inilah taktik yang sama digunakan oleh penjajah jika berdepan dengan penduduk atau menjinakkan penentangnya. Adakah pemimpin UMNO dan kuncu-kuncunya menjadi penjajah moden? 

22 Februari 2012

Isa Samad Halau Perwakilan Berbangsa India.

Hari ini sepatutnya berlangsung satu Mesyuarat Agung Perwakilan khas KPF yang membincangkan tentang cadangan penjualan pegangan KPF sebanyak 51% didalam Felda Holding Berhad dan 10 anak -anak syarikatnya kepada Felda.

Namun kerana satu perintah oleh Mahkamah Tinggi Kuantan yang melarang sebarang perbincangan yang berkaitan perkara penjualan tersebut maka Mesyuarat Agung itu dibatalkan.

Oleh kerana saya adalah salah seorang perwakilan ke mesyuarat tersebut maka saya di perlukan hadhir jika mensyuarat tersebut berlangsung, Saya pada awalnya telah lega kerana tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur, namun tiba-tiba mendapat SMS dari pengurus felda di tempat saya berbunyi  " Maklum kepada perwakilan kpf, pengerusi felda nak jumpa jam 3.00 ptg esok di dwn perdana felda ".

Saya sebenarnya telah tersilap faham diatas SMS tersebut, saya menyangka yang nak jumpa perwakilan itu ialah pengerusi KPF  Dato' DZulkifli Abd Wahab dan fikir saya, munkin ada satu maklumat penting yang mahu disampaikan oleh Dato' Dzul kepada para perwakilan. Namun setelah majlis tersebut berlangsung, rupa-rupanya yang hadhir ialah pengerusi felda Tan Sri Isa Samad, kalaulah saya tahu Isa Samad yang akan hadhir memberikan taklimat sudah pasti saya tidak akan hadhir kerana saya tahu sangat modal yang akan diperkatakan oleh Isa.

Kehadiran Isa Samad sebenarnya tidak mengemukakan sesuatu yang baru, beliau hanya mengulangi apa yang diperkatakan sebelum ini iaitu meminta beliau di beri kepercayaan untuk meningkatkan ekonomi para peneroka melalui penyenaraian Felda Global ini, beliau juga mengambil kesempatan mengutuk pihak yang membawa perkara berkaitan KPF ini ke Mahkamah dan turut mengutuk Pas, khususnya Mazlan Aliman.

Selepas beberapa minit mengutuk pembangkang, beliau pun memberikan laluan kepada para perwakilan untuk mengemukan soalan, maka bangunlah beberapa orang perwakilan yang secara umumnya hanya bertanyakan bila Durian Runtuh akan dibayar dan perlunya juga alaun kehadiran turut dibayar.



Tidak ada seorang pun yang bertanyakan sesuatu yang membina selain memuji langkah penyenaraian tersebut, didalam keadaan yang sedemikian rupa, sekoyong-koyong muncul seorang hamba Allah berbangsa India iaitu Thangam dari felda Sendayan yang memberi ingatan kepada Isa Samad tentang apa yang berlaku kepada peneroka felda Sendayan di Negeri Sembilan semasa di bawah pemerintahan Isa Samad waktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu.

Thangam
Hamba Allah ini mengingatkan para perwakilan dan para peneroka bahawa mereka perlu berhati-hati bersabitan penyenaraian ini kerana munkin boleh merugikan masa depan peneroka sendiri oleh pelbagai kemunkinan yang terjadi dimasa hadapan.

Isa Samad tiba-tiba melenting dengan kenyataan Thangam yang berani ini dan menyatakan bahawa jika kamu tidak suka kamu boleh keluar dari Dewan ini.

Perwakilan berbangsa India tersebut membalas dengan mengatakan bahawa Isa Samad tidak berhak menghalaunya kerana dia telah 50 tahun menjadi ahli koperasi sedangkan Isa Samad masih baru menjadi ahli dan kerusi pun belum panas lagi.

Saya yang menyaksikan perkara tersebut berlaku didepan mata agak terkejut kerana para perwakilan lain yang saya yakin dari ahli Umno, menjerit-jerit meluahkan perkataan perkauman dan turut menghalau malah mahu menumbuk hamba Allah ini sedangkan pada pandangan saya, apa yang diperkatakan oleh peneroka berbangsa India ini adalah betul.

Sedih saya memikirkan bangsa saya yang sudahlah tidak mampu membincangkan dan menilai baik buruk penyenaraian Felda Global ini namun apabila ada orang lain yang berani mengingatkan supaya berhati-hati tentang permainan orang politik berkaitan penyenaraian ini, tiba-tiba melenting macam ulat nangka dan bertindak berlebih-lebihan pula.

Sebenarnya kalaulah saya tahu perkara seperti ini akan berlaku, saya pasti tidak akan hadhir, buang masa saya sahaja .......................




http://azinang.blogspot.com/2011/11/penyenaraian-fgvh-adakah-masa-depan.html



04 Januari 2012

'Peneroka Berjaya' Halang KPF Adakan Mesyuarat Agung Khas (AGM) Esok !!

KUANTAN, 4 Jan - Peneroka Felda akhirnya berjaya menghalang Mesyuarat Agung Khas (AGM), Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang dijadualkan esok (5 Januari). 
Sejak awal lagi kira-kira 500 orang peneroka Felda telah berhimpun di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuantan pagi tadi. Dalam keputusan penghakiman hari ini, Peguam (plantif), Mohd Harris Abdullah (foto) memaklumkan saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang mesyuarat tersebut ditarik balik. 
Keputusan tersebut dibuat oleh Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, Maran setelah mereka dimaklumkan bahawa mesyuarat itu telah dibatalkan. setelah peguam bagi pihak Felda iaitu J. Doshi mengemukakan pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya bahawa mesyuarat tersebut (AGM KPF) dibatalkan. 
Bagaimana pun, Harris menjelaskan mereka akan menfailkan semula injuksi jika pihak Felda meneruskan Mesyuarat Agung Khas (AGM) itu. Beliau turut memaklumkan, pihaknya gagal untuk memohon kos mahkamah ditanggung oleh pihak Felda. 
Rabu lalu, beliau telah mengemukakan “interim injunction” di mahkamah berkenaan bagi menghalang Meyuarat Agung KPF pada 5 Januari ini (esok). Sebelum itu, empat orang peneroka Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya ahli KPF dari Felda Jengka 15, telah memfailkan saman pemula terhadap KPF danFelda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh. 
Saman tersebut adalah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding. Difahamkan, mesyuarat khas KPF itu adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia. Keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Sebahagian daripada para peneroka yang telah hadir di mahkamah pagi tadi
Ahli Lembaga Pengarah KPF, Dato' Zainal Hassan (juga bekas Exco Pahang)
serta Dato' Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi PKR Pahang) turut hadir
Mazlan Aliman (Presiden ANAK) dan Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi
(Ketua Pemuda PAS) serta pimpinan PKR yang lain juga turut hadir
ADUN Beserah, YB Sy. Mohamad Sy.Loni, Cikgu Sulaiman Md Derus (PAS)
Kamarzaman M.Yunus, Hatta, Syed Talib dan Hj.Zahari (PKR) juga hadir
Bersemangat, Kamarul Hatta Ali (SAMM) pimpin laungan "Hidup Peneroka"
Antara muslimat, isteri peneroka yang turut hadir di mahkamah pagi tadi
Bergambar sambil pegang dokumen berkaitan selepas keputusan diumumkan

Satu renungan dari saya ..... ( azinang )
Andaikata kumpulan peneroka tidak berusaha membawa kes penyenaraian Felda Global Ventures ini ke Mahkamah, apakah Felda ( baca Isa Samad ) akan membatalkan Mesyuarat agong Khas tersebut ?
Jawapannya ialah, pasti tidak.
Kenapakah kumpulan peneroka ini bersungguh-sungguh sangat mahu membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures di Bursa Malaysia  sedangkan mengikut kata Isa Samad, peneroka tiada ruginya , malah beroleh keuntungan......
Apakah benar peneroka akan untung dan jika benar sebanyak mana keuntungannya ?
Jawapannya ialah, dari segi jangka pendek memang peneroka akan untung namun keuntungannya tidaklah banyak bagi peneroka biasa, kecuali bagi peneroka yang jumlah pelaburannya banyak di dalam KPF.
Itu pun di jangka perolehan keuntungannya tidaklah lama kerana di ramalkan beberapa tahun mendatang, kadar dividen yang di perolehi akan merosot oleh kerana kaedah pengurusan yang berbeza.


Malah di jangka tidak mustahil KPF ini berakhir  dengan masaalah yang di hadapi oleh saham-saham amanah peringkat negeri yang berkesudahan  dengan  kerugian demi kerugian.
Persoalannya, apakah berbaloi dengan keuntungan jangka pendek dengan masaalah yang bakal di hadapi oleh masyarakat peneroka berkaitan dengan peneyenaraian ini,

Antara masaalah yang paling di geruni ialah berkaitan penyerahan oleh kerajaan negeri kepada Felda Global ventures  secara pajakan selama 99 tahun, tanah-tanah kosong, tapak perniagaan dan lain-lain yang selama ini di usahakan oleh peneroka .

Apakah nasib tanah-tanah ini apabila ianya menjadi milik syarikat di satu masa nanti, itulah yang lebih penting di fikirkan,

27 Oktober 2011

Benarkah, Pelaburan melebihi had: FELDA terdedah kepada risiko ?

 
Sejak dikuasai Perdana Menteri Najib Razak, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula terpesong dari objektif utamanya, iaitu bertunjangkan pembangunan tanah pertanian, dan pelaburan sebagai sampingannya - kepada sebuah agensi pelaburan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati bahawa dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan untuk tiga tahun berturut-turut, malah memperbarui rekod tertinggi dari tahun ke tahun.

Ketua Audit berpendapat, "Penggunaan dana akaun FELDA yang melebihi had telah mendedahkan dana tersebut kepada risiko pelaburan saham siar harga melebihi daripada yang telah diluluskan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA.  Ini boleh menjejaskan kemampuan kewangan dan memberi kesan kepada operasi serta aktiviti utama FELDA jika pelaburan yang dijalankan tidak dapat memberikan keuntungan yang dijangkakan."

Pada masa yang sama, tindakan ini seolah-oleh memaksa peneroka FELDA untuk menanggung risiko pelaburan yang lebih tinggi, tanpa disedari peneroka FELDA.

FELDA ditubuhkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 pada 1 Julai 1956, dan telah dipinda kepada Akta Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) (Pindaan 1991).  Objektif penubuhan FELDA adalah untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif, melaksanakan projek pembangunan tanah dan menggalakkan pertumbuhan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, FELDA telah membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio bagi mendapat pulangan yang optimum.  Sehingga tahun 2010, FELDA telah membuat pelaburan bernilai RM5.55 bilion termasuk pelaburan dalam saham siar harga berjumlah RM891.34 juta.

Malah, pihak Audit mendapati dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan iaitu 24% seperti yang ditetapkan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan FELDA.

Lebihi had untuk tiga tahun berturut-turut

"Pelaburan dalam saham siar harga dan tidak siar harga yang menggunakan dana Akaun FELDA pada tahun 2010 adalah sejumlah RM3.14 bilion atau 68.5%, tahun 2009 sejumlah RM2.28 bilion atau 70.7% dan tahun 2008 sejumlah RM713.20 juta atau 31.8%," menurut Laporan Ketua Audit.
Apa yang perlu diambil perhatian adalah, lebihan pelaburan adalah sebanyak 44.5% bagi tahun 2010, 46.7% bagi tahun 2009 dan 7.8% bagi tahun 2008.

Menurut agihan sumber dana pelaburan portfolio, dana dalam akaun FELDA hanya dibenarkan untuk melabur di Ekuiti Tempatan (24%), Ekuiti Asing (10%), Bon Kerajaan, Bon Korporat dan Sekuriti Hutang Persendirian termasuk Bon Islamik (6%), selain Tunai, Pasaran Wang dan Deposit Amanah (60%).

Sehingga akhir tahun 2010, FELDA telah melabur sejumlah RM891.34 juta dalam saham siar harga.  Pelaburan yang dibuat daripada Akaun FELDA berjumlah RM355.42 juta atau 39.9% manakala sejumlah RM535.92 juta atau 60.1% daripada Akaun Peneroka.

Tiada pakar pelabur

Analisis Audit mendapati pelaburan saham siar harga FELDA berjumlah RM891.34 pada tahun 2010 meningkat sejumlah RM106.45 juta atau 13.6% berbanding sejumlah RM784.89 juta pada tahun 2009.  Nilai pasaran pelaburan saham siar harga pada tahun 2010 adalah RM4.43 bilion dengan keuntungan tidak nyata berjumlah RM3.54 bilion atau 397.1%.  FELDA telah memperoleh pendapatan dividen pada tahun 2010 berjumlah RM166.14 juta 18.6%, tahun 2009 berjumlah RM101.15 juta atau 12.9% dan RM138.62 juta atau 20% daripada jumlah pelaburan.

FELDA juga telah mengalami kerugian tidak nyata terkumpul yang berjumlah RM50.14 juta melibatkan 12 kaunter saham bagi tempoh 31 Disember 2008 hingga 30 November 2010.  Daripada kerugian tersebut, sebanyak empat kaunter saham iaitu Syarikat PK Resources Berhad, Takaful Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Tradewinds Corporation Berhad telah mengalami kerugian berterusan sejak tahun 2008.

Bagaimanapun, lapan daripada 12 kaunter telah membayar dividen kepada FELDA berjumlah RM33.11 juta bagi tahun 2008 hingga 2010.

Sementara itu, Ketua Audit mengingatkan bahawa pengasingan tugas merupakan mekanisme kawalan dalaman yang penting bagi memastikan wujudnya kawalan dalam proses urus niaga saham.  Semakan Audit mendapati FELDA tidak mempunyai pengasingan tugas yang jelas bagi urus niaga saham selaras dengan amalan yang baik.

Selain itu, FELDA tidak mempunyai pegawai pelaburan atau pegawai penyelidik pelaburan yang mempunyai kepakaran dan kompetensi untuk membuat analisis prestasi pelaburan FELDA.  "Ini adalah penting bagi memastikan kajian dan pemantauan pelaburan dapat dibuat secara menyeluruh," menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 25 Oktober 2011.

Rencana diatas di petik dari akhbar internet Merdeka Review




Catitan Penulis -


Sebagai seorang peneroka, sudah tentulah saya terlibat sama dengan projek penyenaraian Felda Global Ventures  yang akan berlangsung tidak berapa bulan lagi itu,  oleh kerana peneroka ini bukanlah tergolong dikalangan orang yang pandai, maka terpaksalah kita berusaha mencari maklumat tambahan dari lain-lain sumber dan tidak boleh bergantung kepada penerangan dari akhbar, tv dan media perdana lainnya  selain  dari penerangan kakitangan felda .


Wakau macam mana pun saya sedar bahawa saya tidak boleh mempercayai semua berita yang sampai, baik dari pihak felda, mahu pun dari kalangan pihak pembangkang.


Ini adalah kerana mereka semua ada peranan dan kepentingan masing-masing, apakah benar setelah penyenaraian nanti, kehidupan peneroka felda akan lebih baik ?


Bagi saya pengalaman sudah memberikan pengajaran bahawa kehidupan peneroka banyak bergantung kepada kitaran harga buah kelapa sawit atau getah, jikalau baik harga kedua-dua bahan komoditi tersebut maka baikklah pendapatan bulanan peneroka, jika tidak, alamat melepeklah para peneroka menghadapi kehidupan mereka.


Didalam menghadapi keadaan ini, saya berharap agar para pemimpin kita, terutama Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak, di jauhi dari bersifat buruk yang mahu menjadikan felda sebagai batu loncatan bagi mencapai cita-cita peribadi, seperti yang di gembar-gemburkan oleh parti pembangkang.


Walau macam mana pun, amaran cerdik pandai dari parti pembangkang tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana sejarah juga menunjukkan bahawa kebimbangan mereka ada kebenarannya.


Begitu juga, sejarah pernah menunjukan bahawa telahan pembangkang pernah ada yang tersasar jauh dari sasarannya, begitulah hakikat manusia, kita berusaha dan tuhan juga yang menentukannya.........wallahhuaqlam.